Wednesday 4 December 2013

Pembangunan Halal Verified Engine Menerima Sambutan Baik di Kalangan Badan-badan Pensijilan Halal Di Australia.


Sistem Halal Verified Engine atau HVE yang sedang dibangunkan oleh Jakim terus mendapat sambutan baik di kalangan badan-badan pensijilan halal yang diikitraf oleh Jakim seluruh dunia.  Terbaru pada 12 November 2013, delegasi Jakim dan Daganghalal Berhad yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Puan Hajjah Hakimah binti Mohd Yusoff telah mengadakan perjumpaan dengan badan-badan pensjilan halal yang diiktiraf oleh Jakim seluruh Australia. Sebanyak enam (6) daripada lapan (8) badan pensijilan yang diiktiraf oleh Jakim telah hadir dalam perjumpaan tersebut. Perjumpaan yang diadakan di Pejabat Kedutaan Malaysia di Canberra, Australia telah mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada pejabat Kedutaan terutama First Secretary (Halal) Dr. Sirajuddin bin Suhaimi. Perjumpaan ini bertujuan memberi penerangan tentang HVE serta menjemput penglibatan dan penyertaan badan-badan berkenaan dalam HVE.
 
HVE adalah sistem yang dibangunkan sebagai pangkalan data berpusat bagi produk-produk atau bahan mentah yang telah disahkan atau mendapat pensijilan halal daripada 57 buah badan pensjilan halal yang diiktiraf oleh Jakim di seluruh dunia. HVE adalah projek usaha sama kerajaan dengan pihak swasta iaitu Daganghalal Berhad bagi membangunkan sistem yang akan digunakan sebagai saluran mengenalpasti produk yang telah disahkan halal oleh semua badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim.
 
Hasil daripada perjumpaan tersebut, semua enam (6) badan pensijilan yang hadir telah bersetuju menyertai HVE dan telah menandatangani perjanjian kerjasama untuk tujuan tersebut.  Dengan penyertaan enam (6) badan pensijilan di Australia ini, maka HVE kini telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 15 buah badan pensijilan daripada 57 badan pensijilan yang diiktiraf oleh Jakim seluruh dunia. Badan-badan pensijilan halal yang telah menandatangani persetujuan adalah The Central Islamic Committee of Thailand (Thailand), Total Quality Halal Correct Certification (Holland), Control Office of Halal Slaughtering  B.V & Halal Quality Control (Holland), Halal Food Council of Europe (Belgium), NZ Islamic Meat Management & NZ Islamic Processed FoodManagement (NZIM) (New Zealand), Federation of Islamic Association of New Zealand (FIANZ) (New Zealand),Halal Certification Agency (Vietnam), South African National Halal Authority (SANHA) (Afrika Selatan), The Muslim Food Council, (UK), The Perth Mosque of Western Australia Incorporated (Australia), Supreme Islamic Council of Halal Meat In Australia (SICHMA) (Australia), Islamic Co-Ordinating Council of Vistoria (ICCV) (Australia), Australian Halal Authority & Advisers (Australia), Al-Imam Mosque Islamic Society of South Australia (Australia) dan juga Adelaide Mosque Islamic Society of South Australia (Australia).
 
Pada masa yang sama kesempatan diambil oleh Jakim pada perjumpaan tersebut untuk menerangkan tentang usaha lain yang sedang dilakukan oleh Jakim dengan kerjasama syarikat swasta di Malaysia iaitu latihan dan pembekalan penyembelih halal. Latihan dengan modul yang komperehensif ini bertujuan mewujudkan penyembelih yang terlatih, berkemahiran tinggi dan mempunyai pengetahuan dan amalan agama yang baik untuk dibekalkan kepada rumah-rumah sembelih di seluruh Australia. Modul ini dibangunkan selaras dengan dasar yang ditetapkan dalam Protocol for the Halal Meat and Poultry Production iaitu keperluan setiap rumah sembelih mewujudkan selain penyembelih, iaitu penyelia dan juga pemeriksa halal. Usaha ini disambut baik oleh badan-badan pensijilan halal kerana ini dapat membantu mengatasi masalah kekurangan penyembelih terlatih yang sedang dihadapi oleh kebanyakan rumah sembelih di bawah pemantauan mereka.  Jakim melalui First Secretary (Halal) di pejabat Kedutaan Malaysia di Canberra akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai cadangan ini dengan kerajaan Australia terutama dari segi prosedur, permit dan juga keperluan lain sebelum penghantaran penyembelih dibuat.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tarikh: 
 Nov 28, 2013

No comments:

Post a Comment