Wednesday 4 December 2013

Kaunseling Syarie : Bukti Jakim Serius Menangani Isu Umat Islam Di Malaysia


Berasaskan konsep, falsafah, prinsip, fungsi dan etika syariah, kaunseling syarie merupakan satu pendekatan  baharu dalam bidang kaunseling yang lebih holistik dan Islamik. Pendekatan ini dilihat sebagai langkah alternatif bagi menyelesaikan isu-isu sosial yang melanda umat Islam. Sejajar dengan itu, satu Seminar Kaunseling Syarie Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti telah diadakan pada 21 dan 22 November 2013 bertempat di Bayu Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.
 
Program yang berlangsung selama dua hari satu malam ini dihadiri oleh 200 peserta yang terdiri daripada pegawai runding cara/pegawai khidmat nasihat yang bertugas di Jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, Pusat Pembangunan Keluarga Islam/Pusat Pembangunan Sosial, Bahagian Agama dan Kaunseling PDRM, Kor Agama Angkatan Tentera, Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Persatuan Kaunseling Syarie Malaysia dan pegawai kader Jakim yang bertugas di kementerian/jabatan dan hospital. Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’ (KPNCR) dari lima buah negeri juga turut mengambil bahagian dalam seminar ini.
 
Sebanyak tiga slot utama yang terdiri daripada taklimat, ceramah dan forum diadakan sepanjang seminar ini, iaitu :
 
1)    ”Modul Kaunseling Syarie : Konsep dan Amalannya”
Penceramah : YBhg. Dr. Abdul Ghaffar bin Surip (Jakim)
 
2)    ”Ke Arah Pelaksanaan Pendekatan Kaunseling Syarie di Malaysia : Harapan dan Cabaran”
Ahli Panel :    (i)  YBhg. Dr. Hjh Rusni Bt A.ghani (JPA)
(ii)  YBhg. Prof. Madya Dr. Zainab binti Ismail (UKM)
(iii) YBhg. Dr. Abdul Ghaffar bin Surip (Jakim)
                Moderator :   YBhg. Ustaz Ahmad Termizi bin Zainuddin (Jakim)
 
3)    ”Pelaksanaan Modul Runding Cara/Kaunseling Dalam Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM)”
Penceramah : YBhg. Ustazah Sabariah binti Salleh (Jakim)
 
Majlis perasmian seminar serta pelancaran Manual Kaunseling Syarie dan Persatuan Kaunseling Syarie Malaysia telah disempurnakan oleh YBhg. Puan Hajah Saimah binti Mukhtar, Pengarah Bahagian Pembangunan Insan, Jakim pada 21 November 2013 (Khamis), jam 8.30 malam. Setelah selesai majlis perasmian, satu sidang media khas yang diaturkan oleh Unit PRO Jakim yang melibatkan pihak media daripada RTM, Utusan Malaysia, Berita Harian dan Sinar Harian telah diadakan selama 30 minit.
 
Bagi mengukuhkan objektif seminar yang dilaksanakan, 200 peserta yang hadir telah mengambil 10 ketetapan yang meliputi pengukuhan perkhidmatan runding cara dan khidmat nasihat di JAIN/MAIN dan agensi-agensi yang berkaitan dengan pendekatan kanseling syarie, saranan pindaan kaedah dalam Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Islam berteraskan kaedah kaunseling syarie, cadangan kepada institusi pengajian tinggi supaya menawarkan program-program pengajian kaunseling syarie dan mengiktiraf kaunseling syarie sebagai satu alternatif memperkukuhkan kaunseling di Malaysia.
 
Modul Kaunseling Syarie disediakan dan dijayakan oleh panel penulis dan penilai yang terdiri daripada pegawai Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Bahagian Agama dan Kaunseling PDRM, ahli-ahli akademik dan wakil badan bukan kerajaan (NGO).
 
 
YBhg. Puan Hajah Saimah binti Mukhtar, Pengarah Bahagian Pembangunan Insan
sedang menyampaikan ucapan perasmian
 
 
Majlis Perasmian Seminar dan Pelancaran Manual Kaunseling Syarie dan Persatuan Kaunseling Syarie
 
 
Pelancaran Manual Kaunseling Syarie dan Persatuan Kaunseling Syarie
 
 
Sidang media bersama wartawan

 
 
Sesi forum ”Ke Arah Pelaksanaan Pendekatan Kaunseling Syarie di Malaysia : Harapan dan Cabaran”
 
 
 
YBhg. Puan Sabariah binti Salleh sedang menyampaikan taklimat”Pelaksanaan Modul Runding Cara/Kaunseling Dalam Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM)”
 
 
Sebahagian Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’ yang hadir
 
 
Para peserta Seminar Kaunseling Syarie Peringkat Kebangsaan Tahun 2013
 
 
Para peserta kusyuk mendengar ceramah yang disampaikan
 
 
Barisan urus setia Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jakim
 
Tarikh: 
 Nov 26, 201

No comments:

Post a Comment