Sunday, 27 November 2011

Dakwah Perlu Transformasi




Penyampaian dakwah yang seiring dengan perkembangan teknologi semasa menjamin keberkesanan dalam berdakwah. - Gambar hiasan
UMAT Islam dunia kini mencecah 2.1 bilion dan terus berkembang pantas daripada yang dianggarkan iaitu hanya 1.6 bilion pada 2011. Khabar gembira itu juga menunjukkan penganut ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW itu merupakan kumpulan terbesar menandingi bilangan penganut agama lain diseluruh dunia.

Ia berikutan kejayaan serta semangat perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah Islam yang tidak pernah berhenti sehingga nafas terakhir walaupun baginda sering menerima pelbagai tohmahan, cacian dan perlakuan buruk.

Bahkan, segala cabaran dan tentangan yang diterima Rasulullah SAW disambut dengan hati terbuka dan sedikitpun tidak mematahkan semangat untuk menjalankan kewajipan sebagai utusan Allah.

Malah Nabi sentiasa berusaha dan memikirkan cara untuk mengajak kaum Quraisy dan orang Arab agar menerima ajaran Islam dan meninggalkan kekufuran jahiliah.

Perkara inilah yang ditekankan oleh Ketua penolong Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Abdul Ghaffar Surip dalam ceramahnya bertajuk Transformasi dakwah dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) baru-baru ini.

Menurutnya, pendakwah perlu teliti dan mengkaji segala faktor kekuatan dan cabaran umat Islam serta keadaan Islam semasa bagi mencapai kejayaan dalam berdakwah.

Beliau berkata, penyebaran fahaman liberal dalam kalangan masyarakat serta kurangnya pendakwah terlatih yang mampu menguasai kaedah terbaik semasa berdakwah merupakan cabaran semasa yang berlaku di negara ini.

"Antara cabaran lain yang berlaku kepada Islam adalah berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam sendiri sehingga menjejaskan imej agama Islam hanya disebabkan perbezaan ideologi dan fahaman masing-masing," katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan para pendakwah supaya melakukan kajian terhadap golongan sasar sebelum menjalankan usaha dakwah di samping melakukan transformasi dalam berdakwah.

"Antara transformasi yang boleh dilakukan adalah memfokuskan dakwah kepada golongan berpengaruh atau berbangsa India dan Cina. Kejayaan menyebarkan dakwah kepada golongan berpengaruh akan dapat menarik pengikut bawahan individu tersebut untuk mengikuti Islam.

"Manakala pentingnya pendakwah dalam kalangan India dan Cina adalah kerana mereka lebih memahami bahasa, budaya dan adat mereka sendiri agar mudah menjelaskan kepada masyarakat bangsa mereka sendiri," kata Dr. Abdul Ghaffar.

Menurutnya, pendakwah juga perlu mengambil peluang menggunakan teknologi terkini dalam menyampaikan dakwah kerana generasi baru masa kini lebih gemar melayari internet.

"Dakwah juga boleh disebarkan melalui laman sosial seperti Facebook, Twitter, Blog atau sebagainya dengan penyampaian yang lebih interaktif dan menarik," katanya.

Sementara itu, menurut pegawai Dakwah dan Kebajikan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Amran Abdullah, pendakwah boleh mendatangkan tanggapan negatif terhadap Islam bahkan seluruh pengikutnya sekiranya menjalankan dakwah tanpa mengikut peredaran arus semasa.

"Pendakwah merupakan ikon Islam yang akan mencerminkan Islam kepada masyarakat. Orang bukan Islam akan mempertikai atau mempersenda Islam dengan perkataan buruk seperti Islam itu kolot, ketinggalan zaman, menyusahkan atau sebagainya sekiranya pendekatan yang dibawa oleh pendakwah itu tidak bertepatan dengan peredaran zaman.

"Oleh itu, pendakwah perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa agar tidak terlepas mengambil peluang mengaplikasikan semua jenis kemajuan teknologi yang ditawarkan dalam berdakwah," katanya.

Beliau berkata, antara perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh pendakwah adalah dari aspek penampilan diri dan pemakaian. Ini kerana masyarakat akan berasa kagum dan tidak berasa curiga untuk mengikuti ajaran yang dibawa pendakwah.

"Dakwah yang berkesan juga perlulah disertai dengan pendekatan yang harmoni dan hikmah. Sebagaimana firman Allah: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik. (al-Nahl: 125)," katanya.

Tambahnya, menegaskan semua pihak juga perlu turut membantu dan mengambil bahagian dalam menyebarkan dakwah kepada masyarakat mengikut kemampuan dan medium masing-masing sekurang-kurangnya kepada kenalan.

sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment