Wednesday 16 March 2016

Populasi Bangsa Cina Menyusut Bawah 20% Pada 2030?

  


Jumlah pekerja asing di negara ini mungkin mengatasi penduduk berbangsa Cina 14 tahun lagi iaitu pada 2030 apabila peratusan kaum itu menyusut ke paras di bawah 20 peratus.

Sinchew Daily melaporkan peratusan penduduk keturunan Cina di Malaysia akan menyusut ke 19.6 peratus pada 2030 dan dianggarkan menurun lagi ke 18.9 peratus pada 2035.

Dengan anggaran pekerja asing berdokumen dan tanpa izin yang mencecah enam juta orang dan rancangan untuk membawa masuk tambahan 1.5 juta pekerja baharu, keadaan itu menggugat kedudukan kaum Cina sebagai 'kaum kedua terbesar' Malaysia.

Terdapat lebih enam juta penduduk keturunan Cina di Malaysia pada ketika ini berbanding dua juta kaum India.

Ketua Perangkawan, Datuk Dr. Abdul Rahman Hasan berkata, walaupun populasi kaum Cina dijangka meningkat kepada 7.1 juta orang pada 2040, tetapi peratusannya berbanding kaum lain dijangka menurun kepada 18.4 peratus pada 2040 berbanding 21.4 peratus pada 2015.

"Populasi bumiputera sebaliknya akan meningkat daripada 19.2 juta orang kepada 26 juta orang.

"Dari segi peratusan berbanding kaum lain, bumiputera dijangka meningkat daripada 61.8 peratus kepada 67.5 peratus," katanya dalam wawancara dengan Sinchew Daily.




Katanya, turut mengalami trend serupa dengan kaum Cina ialah kaum India yang dijangka menunjukkan pertumbuhan populasi tetapi peratusan berbanding kaum lain akan menurun.

Menurutnya, kaum India dianggar mempunyai 2.3 juta orang pada 2040 iaitu 5.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Anggaran tersebut dibuat berdasarkan kadar kelahiran dan kematian di negara ini.

Abdul Rahman berkata, penyusutan peratusan Cina dalam populasi Malaysia didorong oleh penurunan kadar kelahiran secara mendadak.

Jelasnya, wanita Cina pada 1957 secara purata melahirkan 7.4 orang anak tetapi jumlah itu menyusut kepada hanya 1.4 orang anak.

Menurutnya, semasa baru mencapai kemerdekaan, kaum India mempunyai kadar kelahiran yang paling tinggi iaitu purata lapan orang anak.

"Pada masa itu, bumiputera hanya melahirkan purata 6.1 orang anak, iaitu paling sedikit berbanding dua kaum yang lain.

"Perubahan zaman bagaimanapun menyebabkan kadar kelahiran untuk semua kaum mengalami penurunan.

"Bumiputera bagaimanapun secara jelas mengatasi kaum lain dari segi kadar kelahiran," katanya lapor MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment