MENITI cabaran yang perlu dihadapi oleh umat Islam pada masa kini, sangat menggentarkan jiwa. Satu demi satu, usaha untuk mengganggu-gugat dan menjatuhkan martabat Islam giat dilakukan oleh musuh-musuhnya.
Tidak ketinggalan, musuh dalam diam yang merupakan salah satu cabaran terbesar umat Islam masa kini ialah fahaman liberalisme atau Islam liberal.
Apa itu liberalisme? Fenomena liberalisme atau Islam Liberal ini menurut Jurnal Hadhari 5(1) (2013)37-53 adalah satu aliran pemikiran yang menghendaki kepada keterbukaan dalam berijtihad yang melampaui batas-batas agama yang telah sedia ada sepertimana di dalam al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 -27 Julai 2006 telah membincangkan Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia.
Muzakarah telah memutuskan bahawa Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah.
Kelompok yang mengamalkan pemikiran ini dikategorikan sebagai perosak agama dan musuh Islam kerana mereka menggunakan label Islam liberal untuk memperjuangkan hak kebebasan dan hak asasi manusia.
Dalam tidak sedar, umat Islam masa kini secara perlahan-perlahan sudah diresapi pemikiran ini yang disifatkan cendekiawan, sebagai salah satu agenda doktrin Yahudi- Kristian untuk memesongkan akidah Muslim sekali gus menghancurkan Islam.
Sememangnya itulah misi utama mereka sehingga kiamat.
Kelompok ini memandang semua kebenaran adalah relatif (tidak pasti), sehingga tidak ada kebenaran mutlak, termasuk kebenaran agama.
Selain itu, gagasan pemikiran Islam Liberal juga menolak pelaksanaan Syariah Islam dengan mengatakan bahawa pelaksanaan hukum Islam pada saat ini hanya akan memberi kesan negatif kerana pelaksanaannya dianggap sangat bertentangan dengan hak-hak asasi manusia dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman.
Mereka, seperti beberapa kumpulan Melayu yang mengaku diri mereka profesional, berasakan hukuman Islam secara zahirnya kelihatan kejam, sedangkan sebagai seorang Muslim, haram hukumnya mempunyai perasaan seperti itu.
Dengan itu, aliran Islam Liberal ini tidak ragu-ragu untuk mengubah bentuk hukum yang sedia tertera di dalam al-Quran dan Sunnah seperti sistem pembahagian pusaka, kewajipan menutup aurat bagi kaum wanita, keharusan poligami, hukum hudud dan hukuman bunuh ke atas Muslim yang murtad, kepimpinan wanita dalam solat, hak mutlak suami untuk menceraikan isteri, larangan perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam serta undang-undang moral agama yang dikatakan melanggar hak asasi dan kebebasan manusia (Riduan Mohamad Nor & Ahmad Adan Fadhil 2009).
Sayangnya di Malaysia, kelompok liberal ini membabitkan kalangan intelektual Islam yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang hak asasi manusia. Apabila golongan berintelektual juga terpengaruh dengan fahaman seperti ini, apatah lagi orang yang kurang berpendidikan.