Jamil Khir juga menafikan ia berpunca daripada fatwa kebangsaan yang pernah membenarkan dua ajaran Syiah Jaafariah dan Zaidiah diamalkan di negara ini pada tahun 1984.
  
"Walaupun kita pernah membenarkan kedua-dua ajaran ini tetapi ia telah dimansuhkan dalam satu keputusan muzakarah khas jawatankuasa kebangsaan mengenai Syiah yang mengharamkan semua ajaran Syiah pada tahun 1996.
  
"Dengan yang demikian tidak timbul penyebaran Syiah berlaku semata-mata kerana kerajaan pernah membenarkan kedua-dua ajaran ini," katanya ketika perbahasan menggulung titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
  
Katanya selepas fatwa pengharaman Syiah diwartakan, kerajaan sentiasa mengambil langkah membanterasnya termasuk menahan 10 aktivis Syiah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1999.

"Fatwa tersebut memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain selain dari sunnah wal jamaah adalah bertentangan dengan hukum syarak dan pegangan Islam di negara ini, dengan demikian penyebaran ajaran yang lain daripada pegangan ini adalah dilarang," katanya.
  
Katanya keputusan jawatankuasa fatwa kebangsaan ini kemudian disusuli dengan fatwa pengharaman Syiah di kesemua 14 negeri di Malaysia.
  
Sehingga kini, katanya, hanya Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang sedang dalam proses mewartakannya manakala 10 negeri lain telah berbuat demikian.
  
Menjawab dakwaan kewujudan sekolah aliran Syiah di negara ini, Jamil Khir berkata pemantauan dan kajian yang dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati perkara ini hanyalah dakwaan semata-mata.
  
"Walau bagaimanapun Jakim sentiasa bekerjasama erat dengan pihak Kementerian Pendidikan untuk memastikan tiada kelulusan penubuhan sebarang sekolah beraliran Syiah di negara ini.
  
"Jakim setakat ini juga tidak menerima sebarang laporan pelajar aliran Syiah dari Iran menyebarkan ajaran ini kepada umat Islam negara ini," katanya.

Katanya kerajaan pusat fokus memerangi ajaran ini dan bekerjasama dengan agensi agama negeri termasuk media dalam menjalankan pelbagai program untuk mendedahkan kepada msyarakat tentang bahaya Syiah terhadap syariah, akhlak dan keselamatan negara.
  
"Antaranya ialah menyebarluaskan fatwa yang telah dibuat tentang pengharaman Syiah kepada masyarakat, sesi penjelasan melalui forum dan ceramah, memberitahu pengharaman ini melalui media cetak dan elektronik.
  
"Juga program pemantauan bahan-bahan media cetak dan elektronik dari tersebarnya fahaman Syiah melalui media-media berkenaan, meningkatkan kerjasama antara agensi agama dengan agensi keselamatan dalam menguatkuasakan undang-undang dalam menyekat fahaman Syiah daripada berleluasa dan tersebar kepada masyarakat," katanya.
  
Sementara itu, mengulas berhubung tindakan terhadap pelakon lelaki berpakaian wanita dalam lakonan sebuah stesen TV berbayar, Jamil Khir berkata tindakan hanya boleh diambil terhadap individu yang melakukannya di tempat awam dengan tujuan tidak bermoral atau melakukan maksiat.
  
Tindakan itu boleh diambil di bawah kesalahan jenayah syariah negeri-negeri dan di Wilayah Persekutuan ia termaktub di bawah Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, katanya.
  
"Tindakan terhadap lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya hanya akan diambil terhadap individu yang melakukannya di tempat awam dan bukan lakonan semata-mata," katanya.
  
Katanya, mana-mana lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan. - Bernam