Tuesday 19 February 2013

Penghafaz Al-Quran Harus Jadi Teladan Ummah



02 Februari 2013 – Kecacatan yang dialami oleh golongan kurang upaya masalah penglihatan (OKUMP) bukanlah halangan untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan-rakan normal yang lain.
Demikian diluahkan oleh Saudara Ahmad Qusairi binti Mat Zizi, pelajar program Diploma Tahfiz Al-Quran yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran 30 juzu’ pada Majlis Khatam Hafazan Al-Quran yang diadakan di Dewan Muktamar Darul Quran baru-baru ini.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Darul Quran khususnya kerana telah memberikan peluang untuk kami belajar di Darul Quran dan berjaya menghafaz al-Quran dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan” kata beliau.
Seramai 194 orang pelajar diraikan dalam majlis tersebut termasuk tujuh orang pelajar dari kalangan Orang Kurang Upaya Masalah Penglihatan (OKUMP).
Berucap merasmikan majlis tersebut, Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim berkata para pelajar yang telah berjaya mengkhatamkan hafazan al-Quran perlulah memelihara hafazan dan kesucian al-Quran disampingkan mengamalkan intipati dan ajaran yang terkandung di dalamnya.
Justeru kata beliau lagi, penghafaz al-Quran merupakan orang yang istimewa di hadapan Allah SWT dan RasulNya, kerana itu mereka harus menyandang amanah keistimewaan ini dengan selalu menunjukkan akhlak mulia sebagai ikutan dan teladan kepada masyarakat awam.
Menurut beliau lagi, JAKIM sentiasa menyokong dan komited terhadap segala program yang diatur oleh pihak Darul Quran ke arah memantapkan lagi program tahfiz al-Quran di negara ini.
Sebelum itu, Tuan Haji Paimuzi bin Yahya, Pengarah Darul Quran di dalam ucapan aluan beliau, mengucapkan tahniah dan syabas kepada ibu bapa dan para pelajar khususnya yang telah berjaya menamatkan hafazan 30 juzu’ al-Quran.
Beliau juga berpesan supaya para pelajar dapat memberikan fokus dan tumpuan kepada peperiksaan akhir diploma yang bakal dihadapi pada akhir bulan Februari.
Dato’ Haji Othman Mustapha turut menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang kepada dua orang pelajar iaitu, Saudara Dzafarul Idham bin Mohd Fuzi dan Saudari Siti Hajar binti Zulkifli.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan qasidah daripada kumpulan Asbabul Mustofa yang terdiri daripada para pelajar Darul Quran.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Us Abdul Kodir bin Sallah, Timbalah Pengarah (Akademik), Us Che Mat bin Che Deraman, Pendaftar Darul Quran, kakitangan Darul Quran dan ibu bapa pelajar.
web-DSC_0379
Perarakan pelajar menuju ke Dewan Muktamar tempat berlangsungnya majlis ini.
web-aDSC_0465
Sebahagian pelajar yang memperdengarkan bacaan pada Majlis Khatam Hafazan Al-Quran.
web-DSC_0420
Saudara Ahmad Qusairi (pelajar OKUMP) turut memperdengarkan bacaan beliau.
web-DSC_0502
Tuan Haji Paimuzi (Pengarah Darul Quran) ketika menyampaikan ucapan aluan beliau.
web-DSC_0520
Dato' Haji Othman (Ketua Pengarah JAKIM) berucap merasmikan majlis ini.
web-DSC_0576
Suasana ketika sesi penyampaian cenderahati kepada pensyarah tasmik.
• Klik thumbnails untuk melihat album penuh majlis ini (32 foto):
AnNamir Photography

No comments:

Post a Comment