Tuesday 19 February 2013

Ke Arah Pemantapan Draf Pelan Tindakan Dakwah Negara 2013 - 2018



 
Usaha memperkasa Agenda Transformasi Dakwah melalui Bengkel Penyelarasan Draf Pelan Tindakan Dakwah Negara (PTDN) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah berlangsung pada 13 - 15 Februari 2013 bertempat di Intekma Resort & Convention Centre, Shah Alam, Selangor. Bengkel ini merupakan tindakan susulan hasil daripada keputusan yang telah disepakati bersama dalam Bengkel Akhir Semakan Dasar Dakwah Negara yang diadakan pada 8 November 2012 yang lalu.
 
     Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada Fasilitator Jemputan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Pengarah-Pengarah Bahagian di JAKIM, Agensi-agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ketua-ketua Penolong Pengarah di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Pengarah Dakwah dari Badan-badan NGO Islam telah memberi komitmen terbaik dalam menjayakan bengkel ini.
 
      Lima (5) orang Fasilitator Jemputan/ Pakar Rujuk dalam Bengkel ini melibatkan  Prof. Dato’ Dr. Mohd. Yusof Hj. Othman, Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Zulkiple Abd. Ghani, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Haji Siraj, Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan UKM, Tuan Haji Yusof Abdul Rahman, Pengarah Kanan Sumber Kewangan dan Pembangunan Sosioekonomi, YAPEIM dan Dr. Mohd. Aderi bin Che Noh, Pensyarah Kanan di Jabatan Perkaedahan dan Amalan Pendidikan, UKM.
 
       Antara objektif mengadakan bengkel ini adalah untuk menentukan gerak kerja dakwah berdasarkan lima (5) Agenda Transformasi Dakwah Negara yang ditetapkan sebagai program-program yang perlu dilaksanakan di bawah PTDN selari dengan misi menyepadukan program-program dakwah tersebut dengan tujuh (7) bidang keberhasilan Negara (NKRA) seperti yang termaktub di dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP).
 
         Dalam ucaptama oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Jakim Tuan Haji Razali bin Shahabudin, beliau berharap agar usaha penyelarasan gerak kerja dakwah melalui bengkel ini akan mampu menghasilkan sebuah PTDN yang berimpak tinggi dan menyeluruh sifatnya mencakupi setiap ruang sasaran dakwah berdasarkan keutamaan isu kritikal dakwah yang perlu diberi perhatian dalam tempoh lima (5) tahun permulaan pelaksanaannya.
Ahli kumpulan 1 merangka tindakan dakwah bagi memperkukuh aspek akidah ummah
 
 
 
Ahli kumpulan 2 mencadang gerak kerja dakwah bagi memantap aspek ekonomi ummah
 
Kumpulan 3 mencari program/ tindakan dakwah bagi memperkasa aspek pengurusan Islam
 
 
Ahli kumpulan 4 merangka gerak kerja dakwah bagi memartabat aspek kefahaman dan
penghayatan Islam dalam kalangan  ummah
 
 
Ahli kumpulan 5 bersepakat mencadang gerak kerja dakwah bagi memperkukuh institusi
kekeluargaan Islam
 
Fasilitator-Fasilitator Jemputan yang mengetuai setiap kumpulan dalam bengkel ini

No comments:

Post a Comment