Friday 23 November 2012

Israel belanja USD30 juta pintas roket Gaza


Terjemahan Mohamad Yahya,23 Nov 2012
Pintasan Iron Dome ke atas roket Palestin semasa pertempuran lapan hari di Gaza melibatkan kos sebanyak $25 juta hingga USD30 juta, lapor kerajaan Khamis lalu, berhujah bahawa sistem yang disokong Amerika Syarikat itu adalah pelaburan yang sangat berbaloi.

"Andai Iron Dome diniagakan di bursa saham (Tel Aviv) atau Nasdaq, harga sahamnya akan naik berlipat kali ganda," ujar Menteri Pertahanan Awam Avi Dichter kepada Radio Israel dalam satu temu bual di mana beliau menerangkan perbelanjaan sistem tersebut.

Menggunakan peluru berpandu pemintas berpandukan radar, bateri Iron Dome yang ditunda menggunakan lima trak menembak jatuh 421 dari kira-kira 1,500 roket yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza antara 14 Nov sehingga Rabu lalu, lapor pihak tentera.

Ini meletakkan kadar kejayaan Iron Dome pada 90 peratus. Untuk mengurangkan kos, Iron Dome yang melancarkan dua peluru berpandu sekaligus hanya memintas roket yang mengancam kawasan berpopulasi padat.

Serangan roket telah membunuh lima rakyat Israel dan berpuluh-puluh cedera semasa konflik, lapor pihak polis. Tiga terkorban di pantai Ashdod pada hari sistem berkenaan mengalami kerosakan, seperti yang diberitahu Rafael Advanced Defence Systems Ltd, pengeluar Iron Dome milik Israel.

Seorang pegawai kanan kerajaan menganggarkan bahawa peningkatan itu boleh melibatkan kos sebanyak $380juta sehari kepada Israel. Dalam mengekang risiko tersebut, Amerika Syarikat telah membantu pembiayaan Iron Dome. Rabu lalu, Presiden Barack Obama berjanji untuk terus memberi sokongan.

Israel berkata mereka memerlukan 13 bateri untuk pertahanan negara yang memuaskan. Satu sumber industri pertahanan meletakkan kos sekitar USD50 juta seunit.

Fokus serangan udara Israel ke atas Gaza adalah stok simpanan dan silo roket yang diimport atau diubahsuai oleh Hamas dan pihak lain. Pegawai perubatan Gaza melaporkan seramai 162 rakyat Palestin terbunuh  dan lebih separuh daripada mereka adalah orang awam.

Roket yang paling berbahaya adalah roket yang direka Iran, Fajr-5S dengan julat 75 km (46 batu) dan 175 kg (385 lb) kepala peledak, walaupun Hamas juga menggunakan versi buatan Gaza, "Qassam M-75".

Iran menafikan membekal senjata kepada rakyat Palestin. Tetapi laman web Iranian Young Journalists Club web pada Rabu lalu memetik komander Pengawal Revolusi di republik Islam berkenaan, Mohammad Ali Jafari, mengatakan “pihak tentera Gaza memiliki teknologi peluru berpandu Fajr-5 dan sekarang beberapa peluru berpandu telah dibuat dan tersedia untuk mereka ". (todayszaman.com

No comments:

Post a Comment