Thursday, 1 December 2011

SIS, Kumpulan Liberal Melakukan Deislamisasi Di Malaysia

    
Sister In Islam (SIS) dan Fahaman Songsangnya

Sister In Islam (SIS) merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965. Keahlian yang aktif tidak melebihi sepuluh (10) orang, tetapi mereka terdiri dari kalangan professional wanita, khususnya dalam bidang undang-undang sivil. Mereka terkenal dengan watak drastik dalam mengutarakan isu-isu yang berkaitan dengan hak-hak wanita. Beberapa tokoh yang menonjol ialah Zainah Anwar selaku Pengarah Eksekutif, Nora Murad sebagai Pegawai Undang-Undang dan Nik Noraini Nik Badlishah seorang Pegawai Penyelidik.


Mereka kerap terlibat dengan forum, diskusi dan juga penulisan di media massa dalam isu-isu keadilan terhadap wanita. Apa yang mengelirukan dan dianggap menyeleweng apabila mereka secara berani cuba membuat tafsiran semula terhadap teks-teks al-Qur’an dan hukum hakam Islam yang telah muktamad. Begitu juga beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Sister In Islam (SIS) dianggap cuba mencabar institusi agama dan sekaligus cuba menafikan peranan Syariah di dalam Islam. Beberapa contoh kenyataan SIS yang dianggap megelirukan ialah;

i.                     Isu Fatwa

“ There is also an immediate need for the public, and our wakil rakyat in particular, to be educated to understand the difference between what is revealed and therefore divine and infallible and what changeable. The opinion of the Mufti, or Fatwa Council or state religious authorities is merely a human effort in interpreting the limitless message of the Qur’an. It is therefore open to questioning, debate and discussion....” ( Memorandum on the Syariah Criminal Offences Act anf Fundamental Liberties, 8 August 1997).


ii.                   Seolah-Olah Meyakini Adanya Rasul Dari Kalangan Wanita.

SIS kelihatannya seolah-olah meyakini adanya Rasul dari kalangan wanita walaupun hakikatnya semua Rasul adalah lelaki sesuai dengan tanggungjawab dan peranan mereka. Dalam satu risalah bertajuk Adakah Wanita dan Lelaki Saksama Di Sisi Allah ? SIS menyatakan seperti berikut ( Sister in Islam: Are Women and Men Equal Before Allah ? 2002: 4 ) :

“ Meskipun hanya wanita yang boleh melahirkan anak namun tidak terdapat apa-apa dalam al-Qur’an yang mengkhususkan sesuatu kepada lelaki. Malahan peranan risalah (yakni menjadi Rasul) tidak merupakan peranan kaum lelaki sahaja tetapi hanya dikhususkan kepada segolongan individu yang luar biasa sahaja. Ayat 21: 7-8 al-Qur’an menyatakan bahawa para rasul adalah lelaki hanya menjelaskan bahawa mereka adalah manusia bukan malaikat”
           
           
iii.                  Cadangan Mengkaji Semula Tafsiran Ayat al-Qur’an

SIS menyatakan bahawa “ penyelidikan kami” menunjukkan bahawa tafsiran al-Qur’an yang mendorongkan penindasan wanita ini telah dipengaruhi oleh prasangka dan nilai budaya yang menganggap wanita sebagai rendah kedudukannya dan tunduk kepada lelaki …. Usaha kami mengkaji semula al-Qur’an dan mempelajari wahyu Allah untuk memahami maksud sebenar merupakan pengalaman yang membuka cakerawala jiwa kami ( Sister in Islam: Are Women and Men Equal Before Allah ? 2002 : 1-2)


iv.                 Isteri Tidak Perlu Taat Kepada Suaminya

SIS menyatakan bahawa “ merujuk kepada surah an-Nisa’ ayat 34, ayat ini sering disalah tafsirkan sebagai membawa pegertian bahawa seorang isteri mestilah taat kepada suaminya …. Al-Qur’an tidaklah memerintahkan para isteri supaya taat pada suami tidaklah membawa maksud sifat ketaatan isteri terhadap suaminya atau sifat berserah seorang manusia terhadap sebarang manusia lain …Rangkaikata “jika mereka telah taat kepadamu” tidak membawa erta bahawa wanita mesti menurut perintah lelaki”.

Seterusnya beberapa pemikiran Sister In Islam (SIS) yang dianggap merbahaya ialah mereka (SIS) berpendapat perlunya umat Islam bersikap kritikal terhadap peribadi Rasulullah S.A.W. Bagi mereka Rasulullah hanyalah seorang tokoh historis yang harus dikaji dengan kritis sehingga tidak hanya menjadi metos yang dikagumi sahaja, tanpa memandang beliau sebagai manusia biasa yang juga banyak kekurangannya ( JAKIM Kertas Mesyuarat 2005 : 10-20).

Begitu juga mereka berpendapat tidak wujud apa yang dinamakan sebagai Hukum Tuhan seperti yang difahami oleh kebanyakan orang Islam. Bagi mereka Allah tidak pernah menurunkan hukum-hukum berkaitan dengan urusan muamalat, hudud, pemerintahan, munakahat dan sebagainya. Begitu juga mereka berfahaman bahawa agama Islam adalah sama sahaja dengan agama-agama lain di sisi Allah. Atas tujuan tersebut mereka cuba menghalalkan pernikahan antara Muslim/Muslimah dengan pemeluk agama apapun dan atau aliran kepercayaan apapun ( JAKIM Kertas Mesyuarat, 2005 :10-20).

Kesan dari pemikiran Islam Liberal ini menyebabkan Sister In Islam ( SIS) secara sedar telah terlibat dengan aktif untuk mewujudkan Sauruhanjaya Agama Malaysia (IRC). Suruhanjaya Agama Yang diusahakan penubuhannya  secara bersama dengan Majlis Peguam Malaysia dan Majlis Perundingan Agama Budha, Kristian, Hindu Dan Sikh (MCCBCHS) dan beberapa NGOs bukan Islam telah didukung secara aktif oleh para pimpinan Sister In Islam (SIS) ( Utusan Malaysia  25 Febuari 2005). 

Tindakan kumpulan Islam Liberal seperti SIS telah dianggap melampaui batas apabila mereka tanpa berselindung lagi telah berperanan membela kumpulan ajaran-ajaran sesat atas nama perjuangan hak asasi manusia.  Sebagai contoh apabila JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu (JAIT) cuba membenteras ajaran sesat kumpulan Ayah PIN ia telah mendapat pembelaan  dari kumpulan Sister In Islam. Tindakan JAIT ditohmahkan sebagai kejam, tidak demokratik dan menyalahi hak asasi manusia.

Gerakkan yang dilakukan oleh pertubuhan seperti  Sisters In Islam (SIS) boleh dianggap merbahaya dan mengugat keharmonian beragama umat Islam apabila tanpa berselindung lagi mereka telah bergabung dengan beberapa NGO bukan Islam menuntut agar kerajaan menghapuskan undang-undang moral di negara ini. Berkaitan amalan Islam di Malaysia pula, mereka menuntut agar kerajaan mengkaji balik institusi mufti, mengkaji kembali keistemewaan Islam di dalam Perlembagaan Malaysia, dan beberapa tuntutan lainnya. Tuntutan yang dilakukan oleh kumpulan Islam Liberal seperti SIS dan didokong oleh NGO bukan Islam  telah menimbulkan kemarahan sebahagian besar umat Islam. Keadaan ini telah menimbulkan ketegangan kaum dan agama di Malaysia (Utusan Malaysia: 16 November 2006).

                                                  
                                      Gerakan Deislamisasi Di Malaysia

Kemunculan kumpulan Liberal di kalangan umat Islam telah menjejaskan kefahaman orang Islam dan bukan Islam berkaitan hakikat ajaran  agama Islam sebenar. Akibat kekeliruan ini, segelintir individu bukan Islam telah mengambil kesempatan untuk memporakperandakan kehidupan beragama umat Islam yang begitu harmoni sejak zaman merdeka. Sejak tahun 2004 Kumpulan Liberal dan kelompok bukan Islam secara sedar dan terancang telah melakukan apa yang dinamakan gerakan ‘deislamisasi’ di negara ini.

Apa yang menarik berdasarkan kajian terdapat pertubuhan parti-parti politik tertentu secara langsung dan tidak langsung terlibat dengan gerakan ini sejak awal tahun 2004 lagi. Boleh disebutkan di sini, pimpinan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) bukan Islam, parti pembangkang bukan Islam seperti DAP dan beberapa NGOs bukan Islam seperti AWAM, ALIRAN dan lainnya adalah antara yang terlibat. Apa yang dilakukan oleh mereka dianggap sebagai satu fenomina baru yang jarang kedengaran sebelum tahun 2004 kecuali tentangan yang datang daripada parti DAP terhadap pelaksanaan dasar-dasar Islam kerajaan sebelum ini. Namun tindakan DAP masih dianggap sebagai tugas rutin parti pembangkang.

Walaubagaimanapun buat kali pertamanya sejak tahun 2004 parti-parti bukan Islam dari parti pemerintah BN, pembangkang bukan Islam seperti DAP dan NGOs bersuara satu nada menyentuh berkaitan amalan agama Islam di negara ini. Tindakan mereka dianggap sebagai anti Islam dan cuba memusuhi ajaran Islam yang tidak ada kaitan langsung dengan mereka.

                          Desakan Memansuhkan Perkara 121 (1A)

Antara beberapa tuntutan yang dianggap sebagai anti Islam dan cubaan melemahkan Islam sejak 2004 antaranya apabila mereka dengan beraninya mendesak kerajaan agar meminda peruntukan berkaitan kuasa mahkamah Syariah iaitu Perkara 121 (1A) di dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun latarbelakang tuntutan mereka sebelum ini dikaitkan dengan perasaan tidak puas hati mereka terhadap beberapa kejadian seperti isu perebutan mayat melibatkan Allahyarham Murthy Abdullah, isu mayat mendiang Nyonya Tahir dan mendiang Aryappan namun tuntutan mereka supaya kuasa mahkamah Syariah dimansuhkan sebagaimana diperuntukan di dalam Perkara 121 (1A) dianggap tindakkan anti Islam.

Menurut Prof Dr Abdul Aziz Bari isu kotroversi perebutan mayat Allahyarham Morthy Abdullah dengan tuntutan pemansuhan akta 121 (1A) mahkamah Syariah adalah dua perkara yang berbeza. Perkara 121 (1A) menurut beliau samasekali tidak menafikan hak orang bukan Islam tetapi peruntukan tersebut sebenarnya bermaksud untuk melindungi bidang kuasa mahkamah syariah ( Dr Abdul Aziz Bari, 2006, :4). Sekiranya peruntukan 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan untuk melindungi mahkamah Syariah, mahkamah yang bidangkuasa hanya membicarakan kes-kes umat Islam mengapa pula orang bukan Islam secara bersungguh-sungguh mendesak peruntukan 121 (1A) pula. Perkara ini telah menimbulkan banyak kecurigaan kepada umat Islam pula.

Pastinya tindakan mereka ialah semata-mata kerana untuk memastikan agar mahkamah Syariah tunduk dan diletakkan di bawah bidangkuasa mahkamah sivil sebagaimana keadaan yang berlaku sebelum tahun 1988 iaitu sebelum  pindaan ini dilakukan. Sekiranya ia berlaku sudah tentu mahkamah Syariah akan jadi mahkamah kelas kedua di negara ini. Segala keputusan berkaitan mahkamah Syariah boleh dicabar dan dibatalkan oleh Mahkamah Sivil. Sekiranya ini berlaku dengan sendirinya segala amalan dan perundangan berkaitan dengan Islam yang menggugat dan tidak disenangi oleh orang bukan Islam akan dicabar melalui mahkamah sivil. Ini bermakna pengamalan dan ajaran Islam dengan sendiri seolah-olah akan dikawal oleh bukan Islam di negara ini. Niat jahat kumpulan anti Islam dari golongan liberal dan segelintir orang bukan Islam telah difahami oleh orang-orang Islam. Keadaan ini telah menyebabkan sebahagian besar umat Islam sendiri telah melakukan penentangan.


             Mendesak Diwujudkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC)

Selain daripada tuntutan untuk memansuhkan 121 (1A) yang memberi implikasi perundangan yang besar kepada Mahkamah Syariah orang bukan Islam turut mendesak agar di wujudkan sebuah Suruhanjaya Antara Agama (IFC) di Malaysia ini. Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang nama asalnya ialah IRC-Inter Religiouc Council (IRC) adalah sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama akibat desakan penganut agama lain. Badan ini mirip sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad keatas agama terbabit. IFC juga akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama.

IFC ini digagaskan penubuhannya oleh Malaysia Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism (MCCBCHS) atau pun Majlis Perundingan Malaysia Agama Budhha, Kristian, Hindu dan Sikh melalui memorundumnya kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos, 2001. Antara bidang tugasnya kononnya untuk menjadi payung kepada kegiataan agama-agama di Malaysia termasuk agama Islam. Melalui IFC ini orang bukan Islam mahukan agar mereka mendapat layanan yang sama dalam urusan peruntukan kegiatan agama mereka. Seterusnya melalui IFC ini juga mereka mahukan segala perasaan tidak puas hati berkaitan pengamalan penganut-penganut  agama hendaklah diselesaikan melalui suruhanjaya ini. Walaubagaimanapun, sekiranya diteliti beberapa tuntutan yang diajukan oleh IFC kepada kerajaan, ia mengambarkan cubaan untuk menghancurkan agama Islam itu sendiri. Beberapa contoh  beberapa tuntutan yang dianggap cubaan untuk menghancurkan Islam adalah seperti berikut:

i.               Melalui IFC mereka menuntut seorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi Islam.

ii.              Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam hendaklah dikendalikan oleh mahkamah sivil dan bukan mahkamah Syariah.

iii.              Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

iv.             Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

v.              Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan bukan Islam.

vi.             Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Berdasarkan beberapa tuntutan dan fungsi yang dicadangkan oleh IFC  suruhanjaya ini mengambarkan sifatnya yang anti Islam. Berdasarkan tuntutan yang dilakukan jelas ia  adalah cubaan campurtangan orang bukan Islam dalam hal ehwal agama Islam. Sewajarnya hak perlembagaan bagi mengamalkan agama sendiri (article 11(1) Perlembagaan Persekutuan-Freedom of religion (kebebasan agama) tidak berlanjutan kepada mempersoalkan agama lain dan tidak sampai menuntut ajaran agama orang lain dipinda semata-mata untuk disesuaikan dengan kepentingan mereka. Sewajarnya orang-orang bukan Islam hanya berhak untuk menuntut hak mereka mengamalkan agama sendiri tetapi mereka tidak perlu mempersoalkan dan campurtangan urusan agama Islam. Campurtangan ini amat merbahaya dan mengambarkan sikap anti Islam.

                         Mendesak Di Mansuhkan Article 11 (4)

Selain isu Article 121 (1A) dan IFC kegiatan anti Islam turut digambarkan apabila mereka secara bersama telah mendesak kerajaan agar memansuhkan Article 11 (4) Perlembagaan Malaysia yang melarang penyibaran agama bukan Islam kepada orang-orang Islam. Gerakkan untuk memansuhkan Article 11 (4) ini telah digerakkan secara aktif oleh NGO yang mendakwa kumpulan Article 11. NGO anti Islam ini telah bergabung dengan 13 NGO bukan Islam lainnya. Antara tindakan paling berani kumpulan NGO ini ialah apabila mereka cuba mengadakan pungutan sejuta tandatangan dari rakyat Malaysia untuk mendesak kerajaan agar dimansuhkan Article 11 (4) ini.

Cubaan kumpulan tertentu dari bukan Islam ini dipercayai kerana mereka merasakan article ini dianggap sebagai satu halangan untuk kegiatan bukan Islam untuk memurtadkan orang-orang Islam di Malaysia khususnya orang-orang Melayu. Tuntutan ini ada hubungkait dengan kelantangan umat Islam yang mendesak agar kes murtadnya seorang wanita Melayu beragama Islam bernama Azalina Jailani agar diadili di Mahkamah Syariah. Begitu juga umat Islam  mendesak agar mereka yang memurtadkan Azalina Jailani dan orang Islam lainnya supaya dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang yang ada.

Bagi orang bukan Islam juga peruntukan article 11 (4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak adil dan terlalu memihak kepada orang Islam. Mereka mahukan segala peruntukan undang-undang termasuk di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah tunduk kepada Deklarasi hak asasi Sejagat 1948, Deklarasi untuk menghapuskan semua bentuk ketidaktoleransi dan diskriminasi agama. Berdasarkan deklarasi sejagat ini mengenai hak asasi manusia dinyatakan “ setiap orang mempunyai hak untuk bebas berfikir, suara hati dan agama. Ini termasuk kebebasan menukar agama ...” Mereka mahukan agar perundangan yang ada di Malaysia termasuk masalah pertukaran agama ini hendaklah tunduk kepada norma antarabngasa di atas.

                 Menentang Undang-Undang Kawalan Moral

Selain daripada tuntutan seperti dibincangkan diatas, sikap anti Islam orang bukan Islam turut dibuktikan antaranya apabila mereka mendesak agar keseluruhan undang-undang berkaitan pengawalan moral yang melibatkan di bawah bidangkuasa Jabatan Agama Islam, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Polis dihapuskan. Tuntutan ini telah dilakukan secara bersama oleh 52 buah NGOs bukan Islam dan telah ditandatangani oleh 22 orang Ahli Parlimen Malaysia yang sebahagian besarnya terdiri daripada ahli-ahli politik bukan Islam dari kerabat BN dan pembangkang DAP.

Sikap mahukan agar undang-undang berkaitan moral ini dihapuskan ditunjukan apabila melalui satu demontrasi anjuran DAP dan NGO bukan Islam untuk menentang pendirian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana telah bertindak mendakwa kesalahan yang dilakukan oleh satu pasangan  yang ditangkap atas kesalahan melakukan perbuatan lucah di tempat awam  (Harakah,1-15 Mei 2006).

Tindakan DAP  dan NGOs bukan Islam menentang  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di dalam isu pendakwaan kesalahan moral di PBT ini dianggap tidak wajar menurut lunas undang-undang. Ini kerana kuatkuasa undang-undang berkaitan moral samasekali tidak bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia. Ini berdasarkan keputusan bersejarah yang pernah dilakukan oleh Mahkamah Persekutuan yang secara jelas telah mengakui DBKL sememangnya berhak mengadakan dan menguatkuasakan undang-undang berkenaan demi menjaga keharmonian masyarakat Malaysia yang berbudaya timur  (The Sun, 5 April 2006 & Berita Harian, 2 April, 2006).

Tuntutan kelompok bukan Islam agar kerajaan menghapuskan undang-undang moral sama sekali bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat berbudaya dan bermoral. Begitu juga desakkan dari kelompok ini kelihatannya amat bertentangan dengan realiti dan kehendak masyarakat yang begitu bimbang dengan masalah gejala sosial yang begitu parah khususnya yang melibatkan orang Melayu. Apa yang lebih bahaya ialah akibat tuntutan mereka ialah segala enakment jenayah Syariah Islam di bawah bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri yang bertujuan memelihara kesucian Islam dan akhlak umat Islam akan dihapuskan.

                                      Garis Panduan Hiburan Gagal Dilaksanakan

Isu garis panduan timbul  apabila persidangan Majlis Mufti Malaysia yang diadakan pada bulan Julai tahun 2004 yang dipengerusikan oleh Dato Seri Harus Sani Mufti Kerajaan Negeri Perak telah mengeluarkan fatwa pengharaman   sebahagian aktiviti hiburan yang dilaksanakan oleh kerajaan dan agensi swasta termasuk program hiburan“Konsert Sure Heboh” yang dianjurkan oleh TV 3 Sdn Bhd ( Utusan Malaysia :30 Julai 2004) .

Hukum haram yang dikeluarkan oleh Persidangan Majlis Mufti-Mufti Malaysia ini adalah berasaskan kepada bentuk pelaksanaan aktiviti berkenan yang dianggap boleh melalaikan umat Islam dari mengerjakan solat, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, wujudnya unsur-unsur membazir dan bermegah-megah, perjudian, maksiat, arak, membuang masa yang jangka panjangnya boleh menghancurkan umat Islam ( Utusan Malaysia :30 Julai 2004).

Walaupun kritikan dari rakyat dan response Majlis Mufti Malaysia berkaitan aktiviti hiburan di Malaysia yang dianggap melampau ini ada kebenaran namun keadaan ini tidak disenangi oleh banyak pihak termasuklah pengiat seni hiburan sendiri dan beberapa kenamaan termasuk menteri.  Bantahan ini telah dilakukan sendiri oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato Rais Yatim atas beberapa alasan ( Berita Harian: 28 Mei 2005). Akibatnya ia terpaksa ditangguhkan.

Antara beberapa alasan penangguhan ialah kononnya telah wujud satu jawatankuasa lain yang dipanggil Fusal di bawah kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang telah diwujudkan sejak tahun 2001 untuk membuat garis panduan pelaksanaan dasar hiburan di Malaysia dan menurutnya jawatankuasa ini telah menjalankan tugasnya dengan baik. Selain itu beliau berpendapat pelaksanaan kawalan hiburan adalah bertentangan dengan hak asasi manusia seperti yang dijamin oleh perlembagaan Malaysia yang menurutnya sekiranya dilaksanakan ia dianggap sebagai unsur untuk mewujudkan polis moral melalui agensi agama (Berita Harian: 28 Mei 2005).

                          Kesukaran Melaksanakan Enakment Jenayah Syariah

Usaha untuk melaksanakan pelaksanaan undang-undang Syariah telah menjadi sukar dari tahun ke setahun. Bukan persolan untuk melaksanakan hukum hudud tetapi melaksanakan undang-undang yang telah sedia ada. Keadaan ini mula berlaku sejak tahun 2005 sejak kemunculan kumpulan liberal di negara ini. Sebagai contoh, pelaksanaan Kesalahan Enakment Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Januari 2005 keatas 100 remaja Islam yang disyaki terlibat dengan dengan maksiat di Kelab The Zouk Jalan Ampang telah menjadikan ia nya sebagai isu yang hangat dibincangkan oleh masyarakat. Tindakan JAWI dianggap keterlaluan, kejam dan tidak berperi kemanusiaan.

Tindakan JAWI telah mendapat kecaman hebat dari banyak pihak termasuk sebahagian menteri kabinet Malaysia  sendiri. Tindakan JAWI dalam melakukan operasi berkenaan pada awalnya telah mendapat sokongan dari Menteri Hal Ehwal Agama iaitu Dato Abdullah Mohd Zain yang bertanggungjawab kepada JAKIM dan institusi di bawahnya termasuk JAWI. Namun apa yang berlaku akhirnya JAWI terpaksa membebaskan 100 remaja yang ditahan tersebut tanpa sebarang tuduhan.

Tindakan JAWI untuk membebaskan tahanan tersebut dipercayai akibat tekanan dan masalah birokrasi (Http://www.harakahdaily.net/article.php?sid=11793 pada 22.Mac.05). Kesan dari pembebasan ini telah menyebabkan nama baik Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan pegawainya telah tercemar dan diperlekehkan bukan sahaja oleh pesalah Syariah tetapi oleh sebahagian umat Islam sendiri yang tidak memahami sebalik dari kejadian peristiwa tersebut.

Pembebasan 100 remaja dipercayai atas campurtangan pihak luar membuktikan wujudnya satu campurtangan dalam urusan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia. Tindakan campurtangan dalam urusan pelaksanaan undang-undang adalah satu kesalahan yang serius walaupun dilakukan oleh peguam negara sendiri. Lebih-lebih lagi dalam konteks ini sebenarnya sesiapapun termasuk peguam negara sendiri tidak berhak mencampuri urusan di bawah enakment berkaitan undang-undang syariah seperti yang diperuntukan oleh Perlembagaan Malaysia. ( Mohd Hanipa bin Maidin, 2005, http://www.harakahdaily.net/article.php?sid=11837 24 Febuari 2005.

Akibat peristiwa tersebut, melalui keputusan Kabinet Malaysia juga pihak berkuasa agama kelihatannya telah dihalang untuk melakukan mana-mana operasi pembenterasan maksiat secara bebas di negara ini. Berdasarkan arahan Mesyuarat Kabinet Malaysia,  seluruh agensi penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) hanya dibenarkan menguatkuasakan undang-undang berkenaan setelah mendapat kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa polis daerah dan negeri sahaja. Tanpa persetujuan dan kebenaran daripada pihak polis daerah dan negeri, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah dilarang untuk menjalankan operasi yang dirancang ( Utusan Malaysia, 25.3.2005 ).

Keputusan yang diambil oleh Kabinet Malaysia untuk menghadkan bidangkuasa agensi agama di peringkat negeri di dalam pengutkuasaan Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri dianggap tindakan yang merugikan semua pihak khususnya umat Islam yang sedang menghadapi masalah gejala sosial yang begitu parah. Begitu juga halangan untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Di Negeri-Negeri secara bebas dengan sendirinya akan turut menjejaskan kedudukan dan bidangkuasa agama di peringkat kerajaan-kerajaan negeri di Malaysia.

                                    Undang-Undang Keluarga Islam Terus Digugat

Perkara ini mula juga mula berlaku sejak awal tahun 2004. Sebagai contoh, usaha kerajaan untuk meminda Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 2005 yang telah dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan dan dijadikan undang-undang keluarga Islam baru mengantikan undang-undang keluarga Islam sebelumnya telah mendapat tentangan hebat kumpulan liberal dan bukan Islam yang menaguk diair keruh. Apa yang berlaku,  Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 2005, telah dipertikaikan dan dianggap sebagai undang-undang yang tidak adil. Pertikaian berkaitan pengubalan Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 2005 menjadi rumit apabila NGO-NGO wanita meminta ia tidak diwartakan dan minta dibentangkan semula di Parlimen walaupun hakikatnya ia baru sahaja  diluluskan di Parlimen Malaysia. Atas desakan dari NGO dan pimpinan politik khususnya yang melibatkan kaum wanita akhirnya pihak kerajaan bersetuju pewartaan UUKI ini ditanguhkan ( Utusan Malaysia: 13 Januari 2005).

                        
         Desakan Diwujudkan Jabatan Kemajuan Agama Malaysia (JAKAM)

Desakan diwujudkan Jabatan Agama Untuk bukan Islam juga satu fenomina baru berlaku di negara ini. Ini jelas terbukti antaranya seperti ucapan YB Loh Seng Kok, Ahli Parlimen Kaw. Kelana Jaya (P104) ketika menyokong Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan SPB Yang Dipertuan Agong XII Di Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Rakyat, Parlimen Kesebelas, 14 & 15-3-2006  ……….Menurutnya:

….lanjutan daripada itu, sebagai langkah pengiktirafan kepada agama-agama lain, mematuhi prinsip kebebasan hak beragama mengikut Perlembagaan Persekutuan, maka pelan tindakan pragmatik menggalak dan memupuk persefahaman serta hubungan harmoni rakyat berbilang agama perlu bermula dari sektor awam. Dengan itu, mungkin sudah tiba masanya untuk saya mencadangkan kepada Kerajaan agar ditubuhkan Jabatan Kemajuan Agama-agama di Malaysia (JAKAM).

Sebagai rumusan, gerakkan liberal di Malaysia secara nyata telah muncul dan menyusun aktivitinya secara kemas seawal tahun 2004 di negara ini. Bermula tahun 2004 dan seterusnya gerakkan mereka semakin kuat kerana mendapat dokongan dari sebahagian umat Islam dan kelompok bukan Islam yang keliru dan bersifat anti Islam. Beberapa gerakan deislamisasi telah berlaku sejak tahun 2004 sehinggalah diistiharkan pilihanraya pada tahun 2008. Kebimbangan umat Islam melihat suasana politik dan sikap tidak prihatin kerajaan terhadap isu-isu Islam telah menyebabkan buat perta kalinya parti pemerintah telah kehilangan 2/3 majoriti. Kemunculan kuasa baru politik di Malaysia yang mengabungkan Kumpulan Liberal, Sekularis,Nasionalis, bukan Islam dan pelbagai lagi telah merubah struktur politik masa depan dan kehidupan beragama umat Islam di Malaysia sejak 2008. Pasca 2008 menyaksikan kumpulan liberal semakin kuat dan berpengaruh di negara ini.

No comments:

Post a Comment