Monday 7 August 2017
Umat Islam Benteng Terakhir Populasi Dunia
Apakah bilangan populasi manusia di dunia pada saat ini? Soalan ini pastinya menjentik rasa ingin tahu sesiapa sahaja. Menurut www.worldometers.info iaitu sebuah laman sesawang yang mempamerkan informasi mengenai jumlah populasi dunia berdasarkan data daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Biro Bancian Amerika Syarikat, jumlah yang terkini pada ketika artikel ini ditulis adalah 7,517,291,923 (7 bilion) orang manusia dan jumlah ini bertambah dan berkurang mengikut kelahiran dan kematian seorang manusia secara masa sebenar. Sila rujuk www.worldometers.info untuk maklumat terkini.
Jumlah kelahiran bayi pada hari artikel ini ditulis sahaja sudah mencecah 177,930 orang dan sedang bertambah, jumlah kematian adalah 73,600 orang dan semakin bertambah manakala perkembangan populasi pada hari ini adalah 104,587 orang. Angka-angka ini menunjukkan bahawa populasi manusia berkembang dan berkurang pada masa yang sama. Lima negara dengan jumlah populasi yang terbesar terkini ialah China (1,388,376,852), India (1,342,897,475), Amerika Syarikat (326,531,560), Indonesia (263,581,861) serta Brazil (211,284,172) dan Malaysia pula berada di kedudukan 44 daripada keseluruhan 233 negara dan daerah berdaulat dengan jumlah populasi sebanyak 31,164,177 semasa artikel ini ditulis.
Menurut The Pew Forum berdasarkan angka 6.9 bilion populasi dunia pada tahun 2010, penganut agama teramai sekali ialah Kristian sebanyak 2,173,180,000 orang (31% daripada populasi dunia), di mana 50% adalah Katolic, 37% Protestan, 12% Ortodoks, dan 1% lain-lain. Manakala Islam kedua teramai sebanyak 1,598,510,000 orang (23% daripada populasi dunia), di mana 87-90% adalah Ahli Sunnah dan 10-13% adalah Syiah. Rantau Asia mempunyai jumlah populasi dunia terbesar iaitu sebanyak 4,478,315,164 orang, Afrika sebanyak 1,246,504,865 orang manakala Eropah pula sebanyak 739,207,742 orang. Amerika Latin dan Kepulauan Caribbean pula sebanyak 647,565,336 orang, Amerika Utara sebanyak 363,224,006 orang dan Oceania sebanyak 40,467,040 orang.
Begitu banyak angka yang diberikan tetapi apa maksudnya? Boleh saja kita baca sebagai sekadar jumlah manusia dalam dunia ini, agama mereka dan di mana mereka bertumpu. Tetapi, kita boleh juga membacanya daripada sudut manusia dan sejarah perkembangannya dari dulu hingga sekarang. Daripada data-data yang diberikan worldometers, kita dapat menjangka masa hadapan populasi manusia seluruhnya. Menurut laman sesawang ini, manusia telah melalui era pertanian dan revolusi industri di mana populasi dunia meledak daripada 5 juta manusia kepada 7 bilion manusia pada masakini.
Pada tahun 1963, kadar perkembangan populasi dunia adalah 2.19% namun, ia jatuh secara drastiknya kepada 1.11% bagi tahun 2017. Ini bermaksud kadar sekarang adalah setengah daripada kadar pada tahun-tahun 1960an dan semakin menurun atau berkurangan. Jangkaannya, pada tahun 2020, kadar perkembangan populasi dunia akan jatuh kepada 1% dan pada tahun 2050 akan jatuh kurang daripada 0.5%. Angka-angka ini sangat menakutkan.
Dengan perkembangan teknologi semasa dalam pelbagai bidang yang memberi impak kepada bertambah baiknya jangka hayat manusia, sepatutnya populasi dunia bertambah. Tetapi mengapa sebaliknya berlaku? Kita ambil contoh di Jepun, bilangan warga emas berusia 65 tahun ke atas adalah sebanyak 21% daripada keseluruhan penduduk Jepun sehinggakan penjualan lampin dewasa lebih tinggi berbanding lampin bayi. Rata-rata usia penduduk Jepun mencecah 81 tahun bagi lelaki dan 88 tahun bagi wanita.
Jangka hayat yang panjang ini adalah disebabkan oleh taraf kesihatan dan kebersihan yang baik di negara tersebut sehingga melebihi Amerika Syarikat sendiri. Arus pemodenan dan perkembangan pelbagai aspek kehidupan seperti pendidikan dan pemikiran dikesan sebagai penyebab kemerosotan populasi dunia pada masa sekarang. Trend kahwin lambat, mengehadkan bilangan anak dalam sesebuah keluarga atau kekal bujang adalah antara faktor yang direkodkan. Ini ditambah pula dengan trend budaya songsang berpasangan sesama jenis antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan, perkahwinan sesama jenis, transgender lelaki menjadi perempuan dan sebaliknya, perkahwinan antara transgender, perkembangan individu non-binary atau lebih dikenali sebagai genderless (tiada jantina) dan aktiviti seks di luar perkahwinan. Kesemua yang disebutkan ini diklasifikasikan sebagai LGBT atau perlakuan seks di luar tabie’.
Perkembangan negatif ini yang menular daripada perkembangan aliran pemikiran dan falsafah perjuangan songsang Barat hingga menjangkiti orang Islam di serata dunia termasuk Malaysia amatlah membimbangkan. Ini merupakan satu bentuk serangan bukan sahaja ke atas agama Islam malah, ke atas populasi manusia itu sendiri. Jika trend negatif ini tidak dibendung dan dibiarkan merebak, lama-kelamaan, populasi umat manusia akan pupus begitu sahaja. Akibat daripada aliran pemikiran dan perjuangan LGBT yang songsang ini, jumlah penduduk dunia semakin berkurangan.
Mengambil contoh Jerman, negara tersebut mencatatkan jumlah imigran yang tinggi. Menurut Laporan Imigrasi Jerman 2013, hampir 3 juta warga keturunan Turki menetap di Jerman dan sebahagiannya sudah menjadi warganegara negara tersebut serta menyumbang kepada hasil negara kerana ada antara mereka yang bekerja sebagai profesional mahupun buruh. Di Sweden pula hampir setengah juta daripada keseluruhan 8.9 juta penduduknya adalah Muslim. Boleh dikatakan bahawa imigran Muslim menjadi penyara ekonomi negara-negara tersebut yang jumlah populasi asalnya semakin merosot antaranya angkara LGBT.
Gejala LGBT yang turut menimpa Malaysia perlu dibendung dan dihapuskan sama sekali. Malaysia merupakan antara negara yang dikenali kerana pertumbuhan ekonomi, kadar kesihatan dan kebersihan yang baik sehingga menjadi antara destinasi pilihan untuk tujuan melancong, bekerja atau dijadikan tempat tinggal daripada kalangan Muslim dan bukan Muslim. Ini termasuklah golongan LGBT songsang yang cuba mencari tapak di negara ini.
Trend dan pemikiran songsang LGBT merupakan ancaman bukan sahaja kepada populasi umat manusia, malah terhadap agama-agama di dunia ini yang menganjurkan kepada kebaikan manusia sejagat. Sekiranya gejala songsang ini dibiarkan melumpuhkan populasi dunia, tidak mustahil umat Islam akan menjadi benteng terakhir mengembangkan dan mempertahankan umat manusia sejagat di dunia.
Read more at: https://www.menara.my/umat-islam-benteng-terakhir-populasi-dunia/
Labels:
Dunia Islam Global
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment