Tuesday 29 August 2017

Jemaah Malaysia menuju Arafah esok

Post Pic
MEKAH: Kesemua 30,200 jemaah haji Malaysia akan menyertai lebih dua juta umat Islam seluruh dunia bergerak ke Arafah esok bagi menghadapi kemuncak haji iaitu hari wukuf yang dijadualkan pada Khamis.
Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan operasi Masyair bermula esok hingga 4 September (13 Zulhijah).


Masyair ialah kawasan bermulanya kerja ibadah haji di luar kota Mekah iaitu berwukuf di Arafah, singgah atau bermalam di Mudzalifah dan melontar di Mina sebelum jemaah haji kembali ke Mekah untuk tawaf, sai dan tahlul.
Sebanyak 20 bas dengan tiga pengiliran perjalanan bagi setiap maktab akan digerakkan seawal pukul 9 pagi esok, dengan keseluruhan melibatkan 280 bas membabitkan 14 maktab dengan jumlah keseluruhan 840 perjalanan.
Kesemua jemaah haji Malaysia dijangka berada di Arafah lewat tengah malam esok.
Pergerakan bas jemaah haji Malaysia itu akan dipantau dengan menggunakan sistem Bravo dan aplikasi Hajj-Mobiliti melalui telefon pintar.
Turut digerakkan adalah pelan pengurusan bencana di Tanah Suci sebagai sokongan  dalam memastikan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

No comments:

Post a Comment