Tuesday 4 October 2016

Pindaan RUU 355 mampu bendung jenayah syariah, anak luar nikah



Berita

KUALA LUMPUR: Cadangan Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) bagi memperkasa mahkamah syariah di negara ini dilihat mampu menangani pelbagai jenayah syariah, termasuk kelahiran anak luar nikah.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSiM), Datuk Mahamad Naser Disa berkata, undang-undang lebih ketat diperlukan bagi membendung kelahiran anak luar nikah, ekoran peningkatan kes itu saban tahun.



Beliau berkata, pada 2013 hingga 2015, kira-kira 159,000 anak luar nikah dilahirkan di negara ini.
“Kuasa hukuman mahkamah syariah yang kini dibataskan kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000, 6 kali sebatan syar’ie tidak lagi memberi pengajaran kepada pesalah syariah.
“Kalau kita tidak cegah dari sekarang, kita nak tunggu zaman anak cucu baru kita nak cegah, ia sudah terlambat,” katanya pada Forum Mega Pemantapan Syariat: Tanggungjawab Parlimen dan Hak Umat Islam di Pusat Islam, hari ini.

Pada 26 Mei lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul Rang Undang-undang Persendirian, iaitu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 (RUU 355) di Dewan Rakyat.


Mahamad Naser berkata, walaupun usul itu dikemukakan parti pembangkang, ia turut mendapat sokongan pemimpin kerajaan dan ramai yang melihat perkembangan itu sebagai detik menyatukan umat Islam.

No comments:

Post a Comment