Tuesday 25 October 2016

Pemuda PAS Kelantan Sedia Mengundang Dr Rozaimi Ramlee Untuk Penjernihan Isu RUU 355


Posted on Tuesday, October 25 @ 02:45:14 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AnisahOmar


Kenyataan Media

Saya menonton rakaman video kuliah Dr Rozaimi Ramlee yang menjawab satu soalan berhubung Rang Undang-undang Akta 355. Saya mendapati terdapat beberapa perkara yang disalah fahami oleh Dr Rozaimi Ramle dan ia memerlukan penjernihan semula samada oleh pihak kerajaan negeri Kelantan yang telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 melalui sidang Dewan Undangan Negeri tahun lepas mahupun di pihak Dr Rozaimi Ramlee yang dilihat mempertikaikan beberapa perkara berhubung Rang Undang-undang Akta 355 yang akan dibentangkan oleh Presiden PAS di Dewan Rakyat. 




Kedua-dua perkara ini iaitu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dan Rang Undang-undang Akta 355 sekalipun merupakan dua perkara yang berasingan pada hakikatnya merupakan pelengkap di antara satu sama lain di mana kuasa Mahkamah Syariah samada di Kelantan mahupun di negeri-negeri yang lain masih terbatas di bawah Akta Mahkamah Syariah 1965 yang berkuatkuasa pada hari ini.

Saya telah berbincang dengan pihak kerajaan Kelantan atau secara khususnya Dato Dr Mohd Fadzli bin Haji Hassan selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II Kelantan untuk mengundang Dr Rozaimi Ramle ke Kelantan bagi tujuan untuk mengadakan perbincangan dan dialog dua hala khusus bagi menyelesaikan isu-isu yang berbangkit berhubung Rang Undang-undang Akta 355 ini.

Tanpa mengurangi rasa hormat di atas kesarjanaan yang dimiliki oleh Dr Rozaimi Ramlee di bidang Hadith khususnya, saya berpendapat isu perundangan seperti ini memerlukan pihak yang berlatar belakang pengajian di bidang undang-undang lebih sesuai untuk memberikan ulasan secara ilmiah dan akademik. Justeru, tidak ada penyelesaian yang lebih sesuai terhadap beberapa salah faham yang mungkin wujud ini melainkan dengan bertemu dan mengadakan perbincangan dua hala.

Pemuda PAS Kelantan sentiasa bersedia untuk menjadi pemudahcara bagi memastikan usaha-usaha murni seperti ini menjadi kenyataan, Insya –Allah.

BERTEKAD MELEBAR MUAFAKAT

Ahmad Fadhli bin Shaari,
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan. 

No comments:

Post a Comment