Usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai “Global Halal Centre” semakin membuahkan hasil di peringkat antarabangsa.
Penang International Halal Hub (Halal Penang) semakin menerima pengiktirafan apabila saya selaku Pengerusi Halal Penang yang mewakili kerajaan negeri, telah diberi penghormatan menyampaikan ucapan pada majlis pembukaan “4th Istanbul Halal Expo & Conference 2013 ” di Istanbul, Turki yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Turki; Yang Berbahagia Bulent Arinc.
Jemputan ini merupakan pengiktirafan dan penghormatan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas aspirasinya untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Pusat Halal Global (Global Halal Centre).
Sebelum ini, Halal Penang telah diberi penghormatan yang sama di persidangan Halal Antarabangsa di Kuwait, Pakistan, Thailand, Riyadh dan London.
Malah, pada 26 – 28 September 2013 nanti, sekali lagi Halal Penang diberi penghormatan di Persidangan Halal Antarabangsa Morocco diikuti pada Disember di Persidangan Halal Antarabangsa Belgium.
Usaha penjenamaan ( branding approach) selama 3 tahun sejak penubuhan Halal Penang pada Ogos 2008 sedang menuai hasilnya.
Sehingga akhir tahun 2012, Halal Penang telah berjaya menarik pelaburan dalam dan luar negara berjumlah RM484 juta.
“4th Istanbul Halal Expo & Conference 2013 ” anjuran CNR Expo telah berlangsung dari 5 hingga 8 September 2013.
Sebanyak 300 pemamer tempatan dan antarabangsa daripada 80 buah negara terutamanya dari Timur Tengah dan Eropah telah mengambil bahagian.
Perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri Turki, Yang Berbahagia Bulent Arinc
Sebagai pengiktirafan kepada Halal Penang, saya turut dijemput sebagai tetamu kehormat menyertai delegasi Timbalan Perdana Menteri Turki, melawat tapak pameran.
Dalam ucapan, saya menjelaskan tentang pencapaian Halal Penang dan usaha berterusan kerajaan negeri membangunkan industri halal di Pulau Pinang yang berkonsepkan ‘Halal Ecosystem’ sejak penubuhannya 5 tahun lalu.
Juga dijelaskan beberapa inisiatif oleh kerajaan negeri yang dinikmati para pelabur industri halal di Pulau Pinang.
Selain mengalu-alukan pemain industri halal, khususnya dari Turki, saya turut menzahirkan hasrat Pulau Pinang mewujudkan jalinan kerjasama dua-hala bersama Turki dalam membangunkan industri halal.
Pada kesempatan itu, saya telah menjemput CNR Expo untuk menyertai Pameran dan Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2014 yang akan berlangsung pada 17 sehingga19 Januari 2014.
Saya juga berkesempatan mengadakan pertemuan rasmi dengan beberapa syarikat dan agensi kerajaan Turki antaranya dengan Pengerusi Caprice Gold Groupe Encik Fadil Akgunduz.
Caprice Gold Groupe adalah syarikat industri perhotelan dan resort terkemuka di Turki.
Perbincangan awal berkisar usahasama dalam membangunkan industri perhotelan dan hospitaliti berkonsepkan Syariah di Pulau Pinang.
*Kenyataan media oleh Dato’ Haji Abdul Malik Kassim,EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang*
No comments:
Post a Comment