Tuesday, 17 January 2012

Tangkap Jin, Orang Minyak Dan Masuk Dalam Botol ?

Tanpa menafikan alam ghaib itu adalah benar-benar wujud. Bahkan dianggap kafir sebagai Muslim sekiranya kita menafikan kewujudan mahluk ghaib seperti Jin, Malaikat dan lainnya. Persoalannya bagaimanakah kita hendak berurusan dengan makhluk-makhluk ini. Berita yang saya baca dalam Sinar Harian seperti berikut adalah amat menarik perhatian saya;

GOMBAK – Tiga pakar ilmu Islam bergabung. Pengalaman dan ilmu digunakan sepenuhnya. Biarpun terpaksa berhempas pulas lebih dua jam, misi memerangkap orang minyak berakhir dengan jaya.

Melegakan penduduk kampung, bukan hanya orang minyak yang masuk perangkap, gangguan sampingan oleh jin-jin lain turut tumpas. Kesudahan misi, 25 botol digunakan untuk memerangkap jin-jin terbabit, termasuklah jelmaan jin orang minyak yang menjadi ibu gangguan misteri di kampung tersebut.

Pengamal Perubatan Darul Muhsinin, Ustaz Othman Mohd Salleh ketika ditemui Sinar Harian berkata, dia yakin makhluk dikaitkan dengan kehadiran orang minyak di kampung itu dapat diperangkap.

Menurutnya, lima jin utama yang berada sekitar kawasan kampung itu telah diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

“Orang minyak itu adalah jel­maan jin, jika pengamalnya menggunakan minyak maka jin atau khadamnya akan muncul dalam bentuk itu dan dengan kuasa ALLAH, saya yakin salah satu daripadanya jelmaaan makhluk yang dikatakan orang minyak itu dapat diperangkap ,” katanya.

Upacara pembersihan dengan doa dan ayat suci al-Quran dilakukan jam 11.30 malam semalam, di sebuah rumah dibantu seorang wanita yang menjadi pengantara.

Program bermula dengan soal jawab dilakukan Ustaz Othman melalui jin yang memasuki tubuh wanita sebelum satu persatu jin diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

Perjalanan upacara terganggu seketika selepas jin-jin yang hadir terlalu banyak di dalam rumah itu menyebabkan dua lagi ustaz daripada Perubatan Syifa’ Al-Ikhlas dipanggil.

Kehadiran dua ustaz nyata membantu, apabila satu persatu jin yang dikatakan mula memenuhi segenap pelosok rumah berkenaan berjaya diperangkap.

Tepat jam 1.45 pagi upacara tersebut selesai dan terdapat 25 jin berjaya diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol. - Petikan Sinar Harian

Persoalannya apakah pandangan Islam (ilmu Aqidah) berkaitan kaedah rawatan perbomohan seperti di atas. Saya tidak berhasrat mengatakan apa yang dilakukan oleh mereka seperti yang dilaporkan oleh akhbar betul atau salah namun kerana perkara ini amat menyentuh aqidah adalah wajar kita sama-sama memahami batas-batas sebenar yang ditetapkan oleh ISlam. Kita takut terhuban dalam perkara Syirik yang akan menyebabkan kita menjadi hamba yang kufur keopada Allah s.w.t. Berikut diutarakan pandangan dari pihak yang berotoriti berkaitan amalan perbomohan;

Menurut Islam, hukum menggunakan khidmat bomoh atau seumpamanya dalam perubatan tradisional terbahagi kepada dua iaitu harus dan haram.Keharusan menggunakan khidmat bomoh dalam perubatan tradisional tidak bersifat mutlak. Ia dibatasi dengan syarat tertentu seperti;

·    Perubatan bomoh itu menyebut nama Allah atau salah satu namanya.
·    Menggunakan ayat Al-Quran dan doa yang diamalkan oleh nabi dan rasul.
·    Menyakini bahawa perkara itu tidak dapat memberi kesan secara tersendiri, bahkan adalah dengan ketentuan Allah SWT.

Perubatan bomoh menjadi haram jika;
  • Cara rawatannya itu bertentangan dengan syarak. Misalnya, menggunakan khidmat jin, pemujaan, jampi, mentera dan sebagainya yang tidak mengikut cara rawatan yang diharuskan oleh Islam.
  • Orang yang berubat benar-benar beriktikad bahawa bomoh itulah menyembuhkan pesakitnya tanpa bergantung kepada Allah.

Kesan daripada amalan mempercayai bomoh ini sangat besar. Ia telah menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Jika ia terus diamalkan, akan mendatangkan imej buruk kepada Islam dari pandangan agama lain.
Akidah adalah penentu kaitan seseorang dengan Islam, manakala syariah pula sebagai pengukur keteguhan dan kekuatan akidah. Akidah Islam adalah akidah yang bebas daripada sebarang unsur syirik dan khurafat. Syirik adalah pencemaran terhadap akidah, sementara khurafat adalah pencemaran terhadap kewarasan berfikir.

Menggunakan khidmat bomoh yang mengubati dengan cara yang salah seperti menggunakan khidmat jin, jampi mantera dan pemujaan bukanlah jalan penyelesaian yang hakiki bagi semua penyakit dan masaalah yang dihadapi. Usaha untuk menyelesaikan sesuatu masaalah digalakkan oleh Islam. Tetapi, biar bertepatan dengan fitrah kemanusiaan dan selari dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah.

Setiap bomoh hendaklah merasakan bahawa setiap sesuatu yang dilakukannya itu kerana takut kepada Allah. Pada masa yang sama, orang yang menerima rawatan daripada bomoh pula harus memastikan rawatannya tidak bercanggah dengan Islam.

JAMPI BOLEH GUNA AYAT AL-QURAN, BAHASA DIFAHAMI
 
Perbomohan tidak boleh dikaitkan dengan zat Allah SWT dan sifat-Nya atau maksud disebalik kalimah atau nama Allah atau sifat-Nya. Contohnya, mengatakan  ilmu bomoh itu diterima terus daripada Allah atau kudratnya adalah kudrat Allah atau melalui mimpi berjumpa wali, malaikat atau lainnya. Pengamalan bomoh tidak boleh diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada diri atau jasad dan roh Rasulullah SAW, malaikat, nabi dan orang soleh seperti Nur Muhammad menjelma ke dalam diri dan sebagainya.

Mengikut Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam yang di keluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia;
  • Tidak boleh memuja dan memperhambakan diri kepada sesuatu kuasa atau peribadi yang dipercayai boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada seseorang. Contohnya seperti wali syeikh, rijalul ghaib, roh datuk nenek, sahabat, hantu, dewa, keramat, kubur, keris, busur, batu, kayu, cincin, kain kuning atau putih.
  • Tidak boleh menggunakan tangkal dan azimat yang mengandungi rajah atau tulisan yang tidak difahami seperti objek tertentu dan bercampur aduk dengan ayat Al-Quran. Jangan menganggapkan tangkal mempunyai kuasa.
Penggunaan Jampi Dibolehkan Dan Digunakan Dengan Syarat;
  • Menggunakan ayat Al-Quran.
  • Menggunakan bahasa yang difahami.
  • Jangan mengiktikadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit menjadi sembuh, sebaliknya Allah yang berkuasa.
Mengikut garis panduan itu, tidak boleh mengamalkan bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya. Ia dikhuatiri mengandungi kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis syaitan atau nama berhala orang kafir serta bercampur aduk dengan Al-Quran. Selain itu, tidak boleh membaca mana-mana ayat Al-Quran secara songsang seperti Qul Huwallah.

Dalam perbomohan Islam, tidak boleh menggunakan Al-Quran secara tidak wajar menurut syarat. Contohnya, menggantung Al-Quran dan tunggu berpusing atau tidak untuk dijadikan alas an tertentu. Jika berpusing begini, dan jika tidak, begini pula maksudnya. Semuanya ini ttermasuk menghina Al-Quran ( Istihza’ ).
Perkara lain yang dilarang adalah;

  • Meninggalkan ibadat wajib yang dituntut Islam seperti sembahyang lima waktu dan puasa Ramadhan ketika melakukan amalan perbomohan.
  • Tidak boleh menggunakan perbuatan ‘menurun’, memanggil roh orang mati atau sebagainya dalam kaedah perbomohan.
  • Perkara lain yang perlu diberi perhatian mengikut garis panduan itu adalah mengenai bayaran perkhidmatan atau pengeras. Sebarang pengeras tidak boleh digunakan dalam perbomohan jika ia dikaitkan dengan untung nasib, buruk atau baik.
  • Bayaran perkhidmatan hanya dibolehkan mengikut kesesuaian perubatan dengan tidak terlampau tinggi hingga boleh memberatkan atau menindas dan tidak membawa maksud tolong menolong.
  • Perbomohan mengikut Islam juga melarang upacara yang mengandungi penyembahan, pemujaan, memohon bantuan atau memperhambakan diri kepada kuasa atau tenaga ghaib seperti mempersembahkan sedulang makanan dan menyembelih ayam.
BERUBAT HANYA KERANA ALLAH SWT

Islam menitikberatkan soal akidah, syariah dan akhlak. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber asal Al-Quran, hadis, ijmak dan qias adalah ditolak. Dalam urusan perubatan kepada pesakit, satu perkara perlu di ingat oleh semua pihak, bahawa hanya Allah berkuasa mutlak menentukan sesuatu dan menjadikannya, lebih-lebih lagi sakit and sembuh adalah haknya. Manusia hanya disuruh berusaha dan berikhtiar.

Islam juga tidak membenarkan umatnya menggunakan sihir kerana Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “ Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan”. Sahabat bertanya: “Apakah tujuh perkara itu?”. Baginda menjawab: “ Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk”. – Hadis riwayat Al-Bukhari, Kitab Sahih Al-Bukhari, Kitabul Hudud, Bab 44 mukasurat 33.

Bagaimana pun umat Islam tidak dilarang untuk menggunakan jampi. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “ Berkat Abu Zubair, aku dengar Jabir Bin Abdullah berkata, seorang lelaki daripada kami telah disengat kala jengking. Ketika itu kami duduk bersama Rasulullah. Maka, berkata seorang lelaki wahai Rasulullah! Bolehkah aku jampi?. Baginda bersabda, “ Barang siapa yang mampu diantara kamu untuk memberi manfaat kepada saudaranya maka hendaklah dilakukan.”- Hadis riwayat muslim- Bab Istihbab Al-Ruqyah min Al-Ain wa An Namlah wal Hummah wal An Naqrah, jilid 9, mukasurat 5905.

Memandangkan aqidah adalah tunjang kepada agama maka sewajarnya kita menjaga dan memeliharanya dari terseleweng.  Oleh itu, berhati-hatilah ketika berurusan dalam aktiviti perubatan perbomohan dan perkara yang seumpamanya. Memelihara dan memastikan aqidah berada dalam keadaan sahih adalah menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim. Aqidah yang betul sahaja yang akan menyebabkan keseluruhan amal baik yang kita lakukan akan diterima oleh Allah S.W.Tdiakhirat nanti.

Monday, 16 January 2012

STATISTIK KES PEMBUANGAN BAYI ( 2004-2010) SELURUH NEGARA: UTK RENUNGAN BERSAMA


Isu pembuangan bayi menjadi semakin serius dari hari ke sehari. Walaupun usaha-usaha pencegahan telah dan terus dijalankan nampaknya seolah-olah perkara ini gagal dibendung. Apapun, semua pihak jangan sekali-kali berputus asa untuk menangani isu ini. Berikut adalah statistik berkaitan jumlah kes pembuangan bayi sebagaimana yang dilaporkan diseluruh negara;

Statistik Kes Pembuangan Bayi Tahun 2004-2010

Bil
Tahun
Jumlah
1
2004
78
2
2005
67
3
2006
83
4
2007
76
5
2008
102
6
2009
79
7
2010
91
Jumlah

576

Sumber: PDRM

Berdasarkan statistik 2004-2010 terdapat 576 orang bayi telah dibuang di seluruh negara. Di mana kes tertinggi dicatatkan ialah pada tahun 2008 iaitu 102 orang. Jumlah bagi tahun ialah 2004 (78) orang, 2005 (67), 2006 (83), 2007 (76), 2008 (102) dan 2010 (91) orang. Purata bagi 7 tahun kes pembuangan bayi ialah 82 orang.

Statistik Pembuangan Bayi Mengikut Negeri Tahun 2009-2010

NEGERI
2009
2010
PULAU PINANG
5
9
KEDAH
3
4
PERLIS
1
0
PERAK
7
7
SELANGOR
16
21
KUALA LUMPUR
0
6
NEGERI SEMBILAN
8
5
MELAKA
0
5
JOHOR
11
10
PAHANG
6
3
TERENGGANU
1
3
KELANTAN
4
4
SABAH
12
6
SARAWAK
5
8
JUMLAH
79
91

Sumber: PDRM

Berdasarkan statistik bagi dua (2) tahun 2009-2010 seramai 170 orang bayi telah dibuang. Iaitu 79 bagi tahun 2009 dan 91 orang bagi tahun 2010. Bagi negeri yang teramai terdapat kes pembuangan bayi ialah Selangor iaitu 37 orang iaitu bagi tahun 2009 (16) orang dan tahun 2010 (21) orang. Ini diikuti oleh Johor melibatkan 21 orang iaitu (2009 (11) orang dan tahun 2010 (10) orang. Seterusnya Sabah pula mencatatkan kes pembuangan bayi seramai 18 orang iaitu tahun 2009 (12) orang dan 2010 (6) orang. Negeri-negeri lain yang mencatatkan kadar pembuangan bayi yang tinggi melebihi 10 orang bagi dua tahun ialah Pulau Pinang 14 orang, Perak 14 orang, Negeri Sembilan 13 orang dan Serawak 13 orang.

Berapapun jumlah kes pembuangan bayi yang dilaporkan, sebagai umat yang prihatin marilah kita sama-sama berfikir untuk mencari jalan mengatasinya. Jangan biarkan bayi-bayi lain yang belum dilahirkan akan menerima nasib yang sama seperti angka-angka bayi yang disebutkan di atas tadi. Apakah agaknya jawapan yang akan kita berikan dihadapan Allah nanti apabila seluruh bayi-bayi tersebut menuntut haknya diakhirat kelak di hadapan Allah atas kegagalan kita menangani isu sekejam ini. Kalau kita yang tidak bersalah pun akan ditanya, pastinya ibu-ibu yang kejam ini akan lebih berat persoalannya. Apakah agaknya jawapan ibu-ibu tadi apabila anak yang dikandungnya bertanya mengapa ibu buang saya, bunuh saya sehingga saya mati digongong anjing dan sebagainya ?

Friday, 13 January 2012

Jabatan Agama Bukan Islam Akan Diwujudkan Di Negara Ini ?


Apa yang saya  hendak tulis pada hari ini ialah sekadar untuk mengulas berita petikan sebuah akhbar internet bertarikh 5/1/2012. Berita adalah berkaitan tuntutan Christian Federation of Malaysia (CFM) meminta supaya Perdana Menteri Malaysia mewujudkan sebuah jabatan/kementerian agama bukan Islam di negara ini. .Walaupun berita tersebut tidak menjadi berita headline bagi hari itu, namun berita-berita seperti itu boleh menarik perhatian bagi mereka yang prihatin dengan isu-isu yang menimpa umat Islam. Berikut adalah antara petikan  berita tersebut;


KUALA LUMPUR, 5 Jan  — Datuk Seri Najib Razak seharusnya menghormati undang-undang dengan menggugurkan perundangan dan polisi yang menjadikan Kristian sebagai mangsa birokrasi, menurut satu kumpulan yang mewakili 90 peratus gereja semalam. Dalam kenyataan tegas mereka, kumpulan yang dikenali sebagai, Christian Federation of Malaysia (CFM):
 "Bishop Anglican Ng Moon Hing, ketua CFM, menggesa Perdana Menteri untuk menubuhkan sebuah kementerian agama bukan Islam untuk menjamin keselamatan dan memelihara hak dan keinginan bukan sahaja untuk Kristian, malah Buddha, Siks, Taoisme, dan Hindu. “Kami berharap agar akan ada perundingan untuk menghormati struktur dan operasi kementerian tersebut,” katanya. Tambahnya lagi, ini adalah langkah pertama sebagai pemimpin Kristian yang tidak naif untuk meletakkan isu agama akan dapat diselesaikan tanpa komitmen dan penyertaan daripada seluruh kementerian dan organisasi kerajaan. Ng, yang juga merupakan ketua Anglican Barat Malaysia, menggesa Najib untuk menarik balik larangan penggunaan perkataan “Allah” yang turut merujuk kepada tuhan mereka."
Apabila membaca berita seperti ini sebagai rakyat Malaysia beragama Islam perasaan saya merasa resah dan tidak puas hati. Perasaan ini mungkin turut dikongsi oleh  sebahagian besar umat Islam lainnya. Timbul perasaan di dalam hati beginikah sikap segelintir rakyat Malaysia apabila melihat orang lain lemah (umat Islam sedang berpecah) mereka akan membuat tuntutan yang bukan-bukan semata-mata untuk memenuhi  kepentingan puak dan peribadi.


Sebenarnya desakan diwujudkan Jabatan Agama untuk bukan Islam pernah dilakuan oleh banyak pihak sebelum daripada ini. Namun dalam pemerhatian saya kebiasaannya tuntutan ini dilakuan secara bermusim atau sebab-sebab tertentu cthnya ketika suasana hampir menghadapi pilihanraya dan sebagainya. Di sini secara jelas ada sekelompok kumpulan rakyat Malaysia telah menjadikan isu agama sebagai bahan tawar menawar  dengan parti pemerintah. 


Sebagai contoh di sini saya utarakan balik ucapan se orang Yb di persidangan Parlimen pada tahun 2006 ketika kurang dua (2) tahun menjelang pilihanraya 2008.Dalam persidangan Parlimen tersebut YB Loh Seng Kok, Ahli Parlimen Kaw. Kelana Jaya (P104) ketika menyokong Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan SPB Yang Dipertuan Agong XII Di Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Rakyat, Parlimen Kesebelas, 14 & 15-3-2006  ..menyatakan:

"….lanjutan daripada itu, sebagai langkah pengiktirafan kepada agama-agama lain, mematuhi prinsip kebebasan hak beragama mengikut Perlembagaan Persekutuan, maka pelan tindakan pragmatik menggalak dan memupuk persefahaman serta hubungan harmoni rakyat berbilang agama perlu bermula dari sektor awam. Dengan itu, mungkin sudah tiba masanya untuk saya mencadangkan kepada Kerajaan agar ditubuhkan Jabatan Kemajuan Agama-agama di Malaysia (JAKAM)."
Apapun alasan dan waktu tuntutan ini dikemukakan bagi saya perkara ini adalah teramat sensitif dan menyetuh perasaan dan hati umat Islam yang menjadi penduduk majoriti di negara ini.Tidakkah mereka menyedari bahawa tuntutan mereka adalah bertentangan dengan semangat perlembagaan Perkara 3(1) yang memperuntukkan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan/Negara. Begitu juga ia samasekali bertentangan dengan konsep Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah ketua agama bagi  agama Islam.Sebagai sebuah negara demokrasi sebenarnya semua rakyat di negara ini telah mendapat haknya sebagaimana yang diperuntukan oleh perlembagaan negara.

Apa yang saya bayangkan sekiranya tuntutan seperti ini dipenuhi kemungkinan besar sistem pentadbiran agensi agama Islam di Malaysia akan dirombak keseluruhannya. Sebagai contoh, kemungkinan besar kewujudan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) sudah tidak boleh wujud atas entitinya sendiri melainkan JAKIM mesti akan berada di bawah satu jabatan Induk yang dipanggil Jabatan Agama Malaysia (JAM) yang mengabungkan semua agama-agama.Begitu juga mungkin kita akan menyaksikan kewujudan Komplek Pentadbiran Agama-Agama di Malaysia dalam satu kawasan. Apa yang pasti ialah kerajaan tidak akan membina bangunan-bangunan baru walaupun berlaku pertambahan jumlah jabatan kerajaan, lebih-lebih lagi kerajaan buat masa kini sedang melaksanakan dasar penjimatan

Oleh kerana itu, berkemungkinan beberapa infrastruktur sediaada yang digunakan oleh agensi agama seperti JAKIM akan dikongsi bersama. Sebagai cth;Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) berkemungkinan akan ditukar menjadi Institut Latihan Agama Malaysia (ILAM) di mana sebahagian kompleks institut akan digunakan untuk menjalankan kursus untuk agama Kristian, Hindu, Budha dan lainnya. Walaubagaimanapun saya berdoa keadaan itu tidak akan berlaku di Malaysia, walaupun ia telah berlaku di negara jiran kita Indonesia. Semoga Perdana Menteri mempunyai kekuatan untuk menolak tuntutan dan desakan mengarut dari kumpulan berkepentingan ini.

Thursday, 12 January 2012

Pengkid Lebih Hebat Daripada Suami



Itulah bahananya apabila golongan Pengkid dibiarkan berleluasa di negara ini. Fatwa berkaitan perkara ini telah lama dikeluarkan. Sebenarnya, perkara seperti ini tidak memerlukan fatwa kerana hukumnya amat jelas di dalam Islam. Namun kerana masalah kejahilan umat Islam hukum seperti ini terpaksa dikeluarkan kembali dan dibuat dalam bentuk  fatwa. Itupun ramai yang menentangnya. Ini buktinya;




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan  Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid). Muzakarah telah memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi agama. Muzakarah menggesa agar masyarakat Islam supaya memberi pendidikan dan tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak gadis khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.
 
1.     Pengkid cenderung untuk menjalinkan hubungan intim dengan wanita kerana daripada segi perasaan, nyata mereka amat berminat terhadap wanita sehingga tidak ada langsung perasaan dan keinginan terhadap lelaki.
 
2.   Majoriti ulama' bersepakat bahawa Islam melarang perbuatan lelaki menyerupai wanita          atau wanita menyerupai lelaki. Maksud menyerupai ini termasuklah daripada aspek gaya      rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya.
 
3.    Apa yang berlaku pada hari ini ialah situasi yang berlawanan dengan fitrah yang telah diciptakan oleh Allah SWT dan ikutan yang membuta tuli yang akan mengancam golongan remaja Islam di seluruh dunia.
 
4.    Gejala pengkid ini telah lama menular di negara-negara barat dan perlakuan hubungan sesama jenis adalah akibat dari gejala ini yang seolah-olah menjadi fenomena biasa.
 
5.   Walaupun hukum Islam jelas melarang perlakuan wanita menyerupai lelaki atau lelaki menyerupai wanita, tetapi kebanyakkan umat Islam tidak memandang serius larang tersebut.
 
6.   Isu pengkid juga berkaitrapat dengan kedudukan hiburan yang melampau dan pergaulan bebas di kalangan remaja.




STATISTIK JENAYAH ROGOL SELURUH MALAYSIA: UNTUK RENUNGAN BERSAMA



Rogol Adik Ipar Ketika Isteri Dalam Pantang


“Yang Arif, saya melakukan perbuatan itu kerana tidak tahan melihat dia mandi berbogel, ditambah lagi ketika itu bekas isteri saya sedang berada di hospital melahirkan anak bongsu kami,” jawapan spontan tertuduh, Awang Ismail, 52, selepas mengaku bersalah merogol bekas adik iparnya di Mahkamah Sesyen di sini, semalam. Duda kepada tiga anak itu tanpa segan silu mengaku, merogol bekas adik iparnya yang ketika itu baru berumur 15 tahun sehingga melahirkan seorang anak perempuan pada 4 Jun 2010 disebabkan kurangnya keimanan dalam diri untuk melawan godaan nafsu syaitan itu” 


Petikan di atas adalah sebahagian berita yang sering dilaporkan oleh media masa di negara ini. Kes jenayah sexsual dalam sivil seumpamanya berita berkaitan rogol, manakala kesalahan di sudut kesalahan Syariah seperti khalwat dan lainnya. Berita-berita seumpama ini akan menarik banyak pihak untuk mengikutinya. Apapun niat akhbar dan pembaca meminati berita-berita berkaitan hanya mereka sahaja yang megetahui. Sejauhmanakah perkara ini serious berikut adalah statistik berkaitan perkara berkenaan;


Carta Statistik  Kesalahan Jenayah Sivil Rogol (Tanpa Mengandung) Mengikut Negeri Tahun 2009 - 2010

TAHUN
2009
2010
NEGERI
PULAU PINANG
5
9
KEDAH
3
4
PERLIS
1
0
PERAK
7
7
SELANGOR
16
21
KUALA LUMPUR
0
6
N. SEMBILAN
8
5
MELAKA
0
5
JOHOR
11
10
PAHANG
6
3
TERENGGANU
1
3
KELANTAN
4
4
SABAH
12
6
SARAWAK
5
8


Sumber: Polis Diraja Malaysia

STATISTIK KESALAHAN JENAYAH SIVIL ROGOL MENGANDUNG MENGIKUT  NEGERI TAHUN 2009 - 2010

TAHUN
2009
2010
PERATUS KENAIKAN/ PENURUNAN (%)
NEGERI
PULAU PINANG
10
18
+44.4%
KEDAH
9
10
+10%
PERLIS
1
0
-100%
PERAK
9
13
+30.8%
SELANGOR
67
81
+17.3%
KUALA LUMPUR
17
30
+43.3%
N. SEMBILAN
13
18
+27.8%
MELAKA
16
10
-37.5%
JOHOR
26
34
+23.5%
PAHANG
16
7
-56.25%
TERENGGANU
4
2
-50%
KELANTAN
1
15
+93.3%
SABAH
12
13
+7.7%
SARAWAK
2
6
+66.7%


SUMBER: POLIS DIRAJA MALAYSIA

Berdasarkan statistik bagi tahun 2009 dan 2010 jenayah berkaitan rogol semakin meningkat dari tahun kesetahun. Sebagaimana di Kelantan peningkatan jenayah tersebut meningkat sehingga  93.3%di ikuti oleh Serawak 66.7%, Pulau Pinang  44%, Kuala Lumpur 43.3%, Perak 30.8%, N. Sembilan 27% dan Selangor 17%. Manakala beberapa negeri menunjukkan trend penurunan spt Perlis -100%, Pahang -56%,Terengganu -50% dan Melaka -37%. Berdasarkan statistik jenayah rogol secara ketara berlaku dibeberapa buah negeri seperti Kelantan, Serawak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Saya meyakini sebenarnya banyak kes-kes kejadian jenayah serxsual spt rogol dalam jenayah sivil dan   khalwat, persetubuhan haram dalam jenayah Syariah  yang tidak dilaporkan, atau tidak tertangkap oleh pihak berkuasa atau didiamkan sahaja oleh mangsa/pelaku atau sebagainya. Kesannya kita menyaksikan jumlah peningkatan secara mendadak kes-kes kelahiran anak luar nikah, kes buang bayi dan sebagainya. Marilah kita sama-same merenungkan bersama kes-kes seperti ini.