Wednesday, 5 April 2017

PGSM sokong penangguhan Akta 164

Musa Awang

SHAH ALAM - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)​ menyokong sepenuhnya cadangan penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 yang juga dikenali sebagai Akta 164.

Presidennya, Musa Awang berkata, akta tersebut bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, malah turut bertentangan dengan hukum syarak.

“Ia bertentangan dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan agama anak mualaf yang dicadangkan kekal pada anutan asalnya atau hanya ditentukan atas persetujuan kedua ibu bapa pula, isu ini perlu dilihat dari sudut Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 12(4) menyebut agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya,” katanya.

Kerajaan dilaporkan akan membentang RUU berkenaan bagi meminda akta untuk bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Pada umumnya terdapat beberapa perkara penting dibawa kerajaan dalam RUU tersebut.

"Pertama, jika selama ini orang yang menganut Islam tidak mempunyai hak untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan melalui seksyen 51 akta berkenaan, pindaan ini mengusulkan agar mualaf turut dibenarkan untuk membubarkan perkahwinannya mengikut undang-undang sivil sama ada berdasarkan pemeluk Islam ataupun kausa tindakan lain.

"Kedua, anutan anak mualaf ini kekal pada agama asalnya dan hanya boleh ditukar jika kanak-kanak ini mendapat persetujuan kedua belah pihak. Ketiga, pindaan yang dicadangkan itu dikatakan mempunyai kesan terkebelakang (restrospektif)," katanya.

Menurutnya lagi, tindakan meminda Akta 164 hanya akan menimbulkan lebih banyak pertikaian undang-undang berbanding menyelesaikan masalah.

“Akta ini memperlekeh titah dan sumpah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada istiadat pembukaan penggal kelima Parlimen ke-13 lalu, untuk terus memastikan kedaulatan negara kekal terpelihara. Memelihara kedaulatan Islam dan memelihara kedaulatan Perlembagaan adalah sebahagian daripada kedaulatan negara.

“Sumpah Yang di-Pertuan Agong (ketika baginda menaiki takhta) untuk memelihara Islam pada setiap masa seperti termaktub dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan juga mempunyai obligasi berperlembagaan, yang mana juga menjadi tugas Parlimen sebagai badan legislatif negara untuk turut memelihara Islam pada setiap masa,” jelasnya.

Menurutnya lagi, tindakan kerajaan meminda Akta 164 juga seolah-olah berlawanan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan ke-87, pada 2009.

“Keputusan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2009 secara jelas memutuskan; apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam.

“Akta 164 yang menyebut apabila salah seorang pasangan memeluk Islam dan berlaku perceraian, penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa, adalah jelas berlawanan dengan apa yang diputuskan dalam fatwa serta ditetapkan hukum syarak,” katanya lagi.

Sehubungan itu, pihaknya menyokong desakan supaya kerajaan menarik balik Akta 164 dan mengekalkan peruntukan sedia ada supaya tidak timbul kekeliruan dan kemarahan umat Islam.

“Malah Majlis Raja-Raja juga perlu dirujuk untuk mendapat perkenan baginda dalam perkara ini. Undang-undang pelbagai negeri juga perlu dipinda bagi menyeragamkannya.

“Tindakan hanya meminda Akta 164 akan menimbulkan lebih banyak pertikaian undang-undang berbanding menyelesaikan masalah.

No comments:

Post a Comment