Saturday, 22 April 2017

Pandanglah Ulama Dengan Kasih Sayang


Artikel



Salah satu intipati penting bual bicara Saudara Bob Lokman dalam Program Hi-Tea anjuran MTD Air Putih, Kemaman ialah kita hendaklah melihat ulama dengan penuh kasih sayang. Hal ini kerana ulama merupakan pewaris para Nabi. Ulamalah yang mengajar kita tentang hukum, panduan hidup, erti dosa pahala, iman dan taqwa.

PAS dipimpin oleh para ulama. PAS dipandu oleh Majlis Syura Ulama. PAS ada Dewan Ulama. Di segenap peringkat hatta cawangan di desa kecil pun PAS dipimpin dan dipandu oleh para asatizah. Dasar, perjalanan dan halatuju parti PAS dibentuk, dijaga dan digerakkan melalui para ulama yang faqih dan ikhlas berjuang di jalan Allah. PAS bukan dipimpin dengan kuasa prerogatif seorang Presiden. Contohnya, Presiden tidak ada kuasa mutlak dalam menentukan tahaluf siyasi. Kesepakatan para ulamalah menjadi pemutusnya berpandu hukum.

Para ulama mewarisi perjuangan Islam setelah tiada lagi Nabi. Hari ini, jika kita seorang pemuda, kita faham Islam melalui ulama. Hari ini,jika kita seorang warga tua, kita menuju husnul khatimah dengan keinsafan yang dibangkitkan oleh para ulama. Hari ini, jika kita kita berjuang di medan siasah, para ulamalah yang menjadi pencetusnya. Hari ini, jika kita menjadi lebih baik dari semalam adalah kerana ulama yang menitipkan ilmu di majlis ilmu dan ceramah-ceramah agama.

Ulama yang ikhlas berjuang tidak menimbunkan harta walaupun sudah berdekad menjadi wakil rakyat. Ulama yang ikhlas berjuang tidak meminta upah untuk mengongkosi keluarga. Ulama yang ikhlas berjuang tidur dan rehatnya di dalam deruan injin kereta yang sentiasa bergegas dari satu destinasi ke satu destinasi.

Kini, Nabi tiada lagi bersama kita. Para sahabat yang sempat hidup bersama Nabi bolehlah menyertainya di segenap medan dakwah dan jihad. Yang ada bersama dengan kita kini hanyalah pewaris perjuangannya. Kerana kita mencintai Nabi s.a.w. maka semestinya kita juga mengasihi para pewarisnya. Maka amat malanglah umat ini jika ulama dipandang dengan rasa benci, dendam dan dimusuhi. Semoga Allah menjernihkan kefahaman kita semua. Inilah penyelesaian kita.



“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bahagian yang banyak.” (Hadits ini diriwayatkan Al-Imam At-Tirmidzi)

No comments:

Post a Comment