Saturday, 1 April 2017

Melayu DAP berkata bahaya menanti jika RUU 355 diluluskan


Berita

PETALING JAYA: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kerajaan tidak akan membentangkan rang undang-undang (meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) tidak bermakna isu itu bukan lagi topik perbincangan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim hari ini sekali lagi mengkritik RUU itu dalam posting terbaru blognya, dan menggariskan 10 keburukan jika diluluskan.
Beliau berkata, pindaan antara lain akan melebarkan jurang undang-undang syariah setiap negeri, seterusnya menjadikan sistem jenayah syariah tidak seimbang dan adil kepada orang Islam.
“Undang-undang Syariah sedia tidak sama di setiap negeri. Terdapat perkara yang dilarang di sebuah negeri, tetapi tidak di negeri lain. Hukuman pula boleh berbeza untuk kesalahan sama, selain proses mahkamah yang tidak konsisten.
Peningkatan had hukuman akan membuka ruang kerajaan negeri meningkatkan hukuman sedia ada, justeru menjadikan undang-undang syariah setiap negeri menjadi lebih berbeza,” katanya yang juga seorang peguam.
Beliau memberikan contoh kesalahan khalwat di Terengganu yang dibicarakan di Mahkamah Syariah Rendah dengan 2 kali peluang rayuan di Mahkamah Syariah Tinggi, sedangkan ia dibicarakan di Mahkamah Tinggi dengan 1 peluang rayuan di Wilayah Persekutuan.


Katanya lagi, ia juga akan meningkatkan tahap hukuman terhadap pelanggaran fatwa, yang menyentuh aspek yang luas termasuk pandangan seseorang individu.
Beliau memberikan contoh fatwa pengharaman “pemikiran pluralisme dan liberalisme” agama yang diwartakan di Selangor pada 2014.

Katanya, mana-mana umat Islam yang melanggar fatwa yang diwartakan boleh dijatuhkan hukuman sehingga 2 tahun penjara, denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

“Jika RUU 355 diluluskan, hukuman terhadap pelanggaran fatwa boleh ditingkatkan. Sekatan terhadap umat Islam akan berganda,” katanya.

katanya, semua pihak patut fokus kepada penambahbaikan terhadap sistem syariah berbanding meningkatkan tahap hukumannya.

“Misalnya menambahkan bilangan hakim, peguam syarie dan penguatkuasa agama serta mengetatkan proses perlantikan mereka,” katanya.


Pada masa ini, katanya, kekurangan hakim menyebabkan sesetengah kes seperti penceraian dan hak penjagaan anak tertangguh, menambahkan derita kepada mereka yang terlibat.

No comments:

Post a Comment