Showing posts with label Pembanggunan Halal. Show all posts
Showing posts with label Pembanggunan Halal. Show all posts

Wednesday, 5 April 2017

TPM lancar sistem bersepadu halal antarabangsa


Post Pic
SEPANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi melancarkan Sistem Pihak Berkuasa dan Badan Halal Antarabangsa Malaysia (MyIHAB), yang pertama seumpamanya di dunia. 
 
Ia adalah sistem permohonan pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Antarabangsa secara atas talian oleh badan pensijilan halal luar negara, dengan pengurusan dan pendaftaran bersepadu serta mempunyai pangkalan data berpusat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 
 
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, sistem berkenaan adalah titik permulaan bagi Malaysia ke arah mewujudkan Lembaga Akreditasi Halal Antarabangsa pada masa akan datang. 
 

Monday, 27 March 2017

Minuman Tiger tanpa alkohol: Jika dibuat dari premis yang membuat arak, maka hukumnya adalah haram



Selongkar

BANGI, 27 Jamadilakhir 1438H, Ahad – Syarikat pengeluar arak tidak layak memperoleh sijil pengesahan halal Malaysia meskipun ke atas produk minumannya yang tidak mempunyai alkohol.

Perkara itu disahkan oleh Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi laman Facebooknya hari ini sebagai menjawab soalan berhubung status halal minuman tanpa alkohol jenama Tiger.

Menurut kenyataan itu, minuman jenama berkenaan bukan pemegang dan tidak layak untuk memohon sijil pengesahan halal meskipun ia tanpa alkohol.

Tuesday, 28 February 2017

Majlis Pengiktirafan kepada Sembilan Badan Pensijilan Halal Luar Negara Yang Baharu dan Majlis Pensijilan Halal Pertama Antarabangsa Jakim Untuk Perubatan Terkawal Kepada Ccm Berdasarkan Piawaian MS2424: 2012


Khamis 2 Februari, 2017 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencipta sejarah sekali lagi dalam industri Halal Global dengan menjadi badan pensijilan Halal yang pertama untuk mengesahkan ubat terkawal/ preskriptif berdasarkan Piawaian Farmaseutikal Halal pertama di dunia, MS2424: 2012 Farmaseutikal Halal – Garis Panduan Umum. Sijil Halal untuk produk farmaseutikal preskriptif ini telah dianugerahkan kepada “Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM)” dalam satu majlis Anugerah Khas di Pullman Putrajaya.

Wednesday, 8 February 2017

Berus Cat Diperbuat Dari Bulu Khinzir



Berita

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu menyita 377 unit berus cat bernilai RM2,768 kerana dipercayai diperbuat dari bulu khinzir dalam satu operasi di kedai menjual barangan binaan dan hardware, hari ini.

Pengarah KPDNKK Terengganu, Azlan Abdul Samat berkata, rampasan itu membabitkan tiga kes iaitu dua di Kemaman dan satu di Dungun di bawah Seksyen 28 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana tidak mempamerkan label dengan jelas.Bagi kesalahan itu katanya, peniaga boleh didenda sehingga RM1 juta atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sunday, 5 February 2017

Ayam Dalam Bekas Babi Di Pasar Halal Singapura!



Selongkar

SINGAPURA – Selepas Singapura gempar dengan tindakan biadap seorang lelaki Cina hina seorang wanita Melayu, kali ini umat Islam di republik itu dikejutkan foto tular yang cukup memeranjatkan.

Seorang pengguna Facebook mendedahkan foto eksklusif menunjukkan daging ayam dihantar ke Pasar Geylang Serai, sebuah gedung popular masyarakat Islam, diletakkan dalam bekas yang asalnya untuk simpan daging babi.
Menerusi gambar tersebut, empat bungkusan plastik boleh dilihat diletakkan secara bertingkat dan bekas yang paling atas tertera jelas nama sebuah syarikat pembekal daging babi tempatan terkenal – Tiong Lian Pork Supply.

Wednesday, 1 June 2016

Beras Tak Halalpun Ada?

AKHBAR The Borneo Post, Sinar Harian dan Utusan Malaysia bertarikh 17 Disember 2015 menyiarkan laporan berkenaan 23.6 tan metrik beras bernilai RM51,000 yang dirampas di kawasan perindustrian Demak Laut, Kuching, Sarawak akibat menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf.

Kilang pembungkusan beras terbabit telah diserbu dan siasatan mendapati mereka menggunakan bungkusan yang tertera perkataan atau logo halal yang bukan dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) serta tiada pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Akibatnya, tujuh jenama beras telah disita oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak.
“Abang Amirul, kenapa ada beras yang tak halal? Bukan semua beras halal ke? Atau beras tu pun sudah bercampur DNA khinzir?” tanya Bernie Lee sinis.

“Sebenarnya, Jakim mengamalkan konsep halalan toyyiban yang membawa maksud makanan yang dibenarkan atau diberi kebenaran untuk dimakan, bergantung kepada undang-undang syarak selagi ia selamat dan tidak memudaratkan,” terang Amirul.

Wednesday, 16 March 2016

Majlis Halal Malaysia Ditubuhkan



Putrajaya, 11 Februari – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pengurusan dan Pembangunan Industri Halal Malaysia dibubarkan berkuat kuasa hari ini dan digantikan dengan Majlis Halal Malaysia (MHM). Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan MHM bakal menjadi entiti khas yang menyelaras semua agensi yang terbabit dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju halal global.

Menurut YAB Timbalan Perdana Menteri (TPM), penubuhan MHM akan dibuat menerusi pembentangan akta khusus di Parlimen yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). YAB TPM turut menjelaskan  tentang bidang tugas agensi berkaitan di mana Jakim menerusi Bahagian Hab Halal akan berperanan dalam tadbir urus halal, pensijilan dan hal ehwal syariah manakala HDC (Perbadanan Pembangunan Industri Halal) akan menumpukan kepada dua perkara iaitu memperkasakan industri halal negara dan memperkembangkan industri halal  ke peringkat antarabangsa.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed,  YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri-menteri dan Timbalan Menteri dari beberapa kementerian serta agensi-agensi yang terbabit dalam industri halal.

Majlis ini juga akan melaksanakan fungsi-fungsi seperti berikut:-

i.           Menetapkan dasar, peraturan serta garis panduan bagi pengurusan halal Malaysia; 
ii.          Mengawal selia agenda pembangunan industri halal negara; dan
iii.        Menentukan Dasar Halal Negara berada pada landasan yang betul sejajar dengan pembangunan ekonomi negara.








Tarikh: 
 Feb 12, 2016

·         1103 bacaan

Friday, 24 July 2015

Majlis Profesional Halal Menjadi Realiti

Majlis Profesional Halal yang telah diluluskan penubuhannya oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) kali ke 58 yang bersidang pada 16 Disember 2014 telah bermesyuarat buat kali pertama pada 13 Julai 2015. Mesyuarat yang diadakan di Dewan Syura, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah dihadiri sebahagian besar anggota Majlis tersebut yang telah dilantik oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom (B) Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pengerusi Majlis tersebut Y.Bhg Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah, JAKIM telah mempengerusikan mesyuarat.
Antara anggota mesyuarat yang hadir adalah Timbalan Pengerusi Majlis Profesional Halal, Y.Bhg Tuan Haji Muhamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM, Y.Bhg Datuk Seri Dr. Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Fadilah binti Baharin, Ketua Pengarah, Jabatan Standard Malaysia (JSM), Dr. Mohd. Rashid bin Buyong Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Kemahiran Malaysia (JPK), Prof. Dato' Dr. Mohd Yazid Abd. Manap, Pengarah, Institut Penyelidikan Produk Halal, UPM, Dr. Harlina Suzana binti Jaafar, Timbalan Pengarah Halal Supply Chain (HSC),Malaysia Institute Of Transport, UITM. Selain daripada anggota tersebut, mesyuarat ini turut dihadiri oleh wakil daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Pegawai Pejabat Penasihat Undang-undang JAKIM.
         
Majlis yang memiliki keanggotaan penuh terdiri daripada tujuh orang ketua agensi kerajaan yang berkaitan dan tujuh orang kumpulan pakar yang terdiri daripada kalangan ahli akademik serta wakil industri mengadakan mesyuarat ini bertujuan untuk memperkenalkan kerangka Majlis Profesional Halal dan membincangkan berkenaan terma rujukannya. Tujuan penubuhan majlis ini pula adalah untuk menjadi badan yang akan menyelia latihan halal, menentukan halatuju latihan dan memastikan kualiti latihan yang dijalankan mencapai tahap terbaik. Ia juga bagi memastikan segala maklumat yang disampaikan kepada industri oleh semua penyedia latihan adalah seragam.
Melalui mesyuarat yang diadakan kali pertama ini dua jawatankuasa kecil di bawah Majlis Profesional Halal telah dipersetujui untuk ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut adalah Jawatankuasa Pembangunan Kurikulum Majlis Profesional Halal dan Panel Pengesahan Profesional Halal. Melalui penubuhan jawatankuasa ini diharapkan ia dapat melancarkan fungsi Majlis.

Sumber: Laman Web JAKIM



Friday, 10 January 2014

Jakim kecam tindakan palsukan logo halal pada tin minuman keras


jakim
KUALA LUMPUR, 9 Jan – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menafikan memberi perakuan dan sijil logo halal kepada produk atau syarikat yang mengeluarkan minuman keras.
Pengarah Hab Halal jabatan itu Hakimah Mohd Yusoff berkata Jakim telah membuat laporan polis di Balai Polis Putrajaya hari ini berhubung perkara itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini hari ini bagi mengulas maklumat dan aduan yang diterima daripada orang ramai berkaitan gambar tin minuman bir berjenama ‘Carlsberg’ tertera logo halal yang disebar melalui media sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp.
“Jakim dengan ini menegaskan bahawa jabatan ini tidak pernah memberi dan mengeluarkan perakuan serta sijil atau logo halal kepada produk atau syarikat itu. Bahkan produk lain yang turut dikilangkan di kilang yang sama turut tidak diberikan sijil halal walaupun ia bukan minuman keras,” katanya.
Beliau berkata sebarang penyalahgunaan logo halal oleh mana-mana pihak boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan – Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal 2011).
“Jakim menganggap penyebaran gambar minuman tin berkenaan sebagai berniat jahat dan cuba menjatuhkan imej serta kredibiliti Jakim sebagai sebuah badan pensijilan halal Malaysia yang berwibawa dan diiktiraf di dalam dan luar negara,” kata Hakimah.
Beliau berkata penyebaran gambar itu boleh menimbulkan tanggapan negatif kepada Jakim dan boleh menyentuh sensitivi agama.
“Justeru, Jakim mengecam tindakan memalsukan logo halal itu, sama ada secara sengaja atau tujuan prokosi kerana perkara ini boleh merosakkan kredibiliti Malaysia sebagai peneraju pensijilian halal dunia dan boleh mencetuskan polemik di kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berharap pengguna tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu di laman sosial yang sengaja dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan menghentikan penyebaran perkara sedemikian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu. - BERNAMA

Wednesday, 4 December 2013

Pembangunan Halal Verified Engine Menerima Sambutan Baik di Kalangan Badan-badan Pensijilan Halal Di Australia.


Sistem Halal Verified Engine atau HVE yang sedang dibangunkan oleh Jakim terus mendapat sambutan baik di kalangan badan-badan pensijilan halal yang diikitraf oleh Jakim seluruh dunia.  Terbaru pada 12 November 2013, delegasi Jakim dan Daganghalal Berhad yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Puan Hajjah Hakimah binti Mohd Yusoff telah mengadakan perjumpaan dengan badan-badan pensjilan halal yang diiktiraf oleh Jakim seluruh Australia. Sebanyak enam (6) daripada lapan (8) badan pensijilan yang diiktiraf oleh Jakim telah hadir dalam perjumpaan tersebut. Perjumpaan yang diadakan di Pejabat Kedutaan Malaysia di Canberra, Australia telah mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada pejabat Kedutaan terutama First Secretary (Halal) Dr. Sirajuddin bin Suhaimi. Perjumpaan ini bertujuan memberi penerangan tentang HVE serta menjemput penglibatan dan penyertaan badan-badan berkenaan dalam HVE.
 
HVE adalah sistem yang dibangunkan sebagai pangkalan data berpusat bagi produk-produk atau bahan mentah yang telah disahkan atau mendapat pensijilan halal daripada 57 buah badan pensjilan halal yang diiktiraf oleh Jakim di seluruh dunia. HVE adalah projek usaha sama kerajaan dengan pihak swasta iaitu Daganghalal Berhad bagi membangunkan sistem yang akan digunakan sebagai saluran mengenalpasti produk yang telah disahkan halal oleh semua badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim.
 
Hasil daripada perjumpaan tersebut, semua enam (6) badan pensijilan yang hadir telah bersetuju menyertai HVE dan telah menandatangani perjanjian kerjasama untuk tujuan tersebut.  Dengan penyertaan enam (6) badan pensijilan di Australia ini, maka HVE kini telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 15 buah badan pensijilan daripada 57 badan pensijilan yang diiktiraf oleh Jakim seluruh dunia. Badan-badan pensijilan halal yang telah menandatangani persetujuan adalah The Central Islamic Committee of Thailand (Thailand), Total Quality Halal Correct Certification (Holland), Control Office of Halal Slaughtering  B.V & Halal Quality Control (Holland), Halal Food Council of Europe (Belgium), NZ Islamic Meat Management & NZ Islamic Processed FoodManagement (NZIM) (New Zealand), Federation of Islamic Association of New Zealand (FIANZ) (New Zealand),Halal Certification Agency (Vietnam), South African National Halal Authority (SANHA) (Afrika Selatan), The Muslim Food Council, (UK), The Perth Mosque of Western Australia Incorporated (Australia), Supreme Islamic Council of Halal Meat In Australia (SICHMA) (Australia), Islamic Co-Ordinating Council of Vistoria (ICCV) (Australia), Australian Halal Authority & Advisers (Australia), Al-Imam Mosque Islamic Society of South Australia (Australia) dan juga Adelaide Mosque Islamic Society of South Australia (Australia).
 
Pada masa yang sama kesempatan diambil oleh Jakim pada perjumpaan tersebut untuk menerangkan tentang usaha lain yang sedang dilakukan oleh Jakim dengan kerjasama syarikat swasta di Malaysia iaitu latihan dan pembekalan penyembelih halal. Latihan dengan modul yang komperehensif ini bertujuan mewujudkan penyembelih yang terlatih, berkemahiran tinggi dan mempunyai pengetahuan dan amalan agama yang baik untuk dibekalkan kepada rumah-rumah sembelih di seluruh Australia. Modul ini dibangunkan selaras dengan dasar yang ditetapkan dalam Protocol for the Halal Meat and Poultry Production iaitu keperluan setiap rumah sembelih mewujudkan selain penyembelih, iaitu penyelia dan juga pemeriksa halal. Usaha ini disambut baik oleh badan-badan pensijilan halal kerana ini dapat membantu mengatasi masalah kekurangan penyembelih terlatih yang sedang dihadapi oleh kebanyakan rumah sembelih di bawah pemantauan mereka.  Jakim melalui First Secretary (Halal) di pejabat Kedutaan Malaysia di Canberra akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai cadangan ini dengan kerajaan Australia terutama dari segi prosedur, permit dan juga keperluan lain sebelum penghantaran penyembelih dibuat.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tarikh: 
 Nov 28, 2013

Monday, 29 April 2013

Lawatan TKSUK ke Bahagian Hab Halal, Jakim



Pada 26 April 2013 lalu YBhg. Datuk Othman bin Mahmood, TKSUK Jabatan Perdana Menteri (JPM) berserta Ketua-ketua Bahagian JPM telah mengadakan lawatan ke Bahagian Hab Halal JAKIM di Cyberjaya. Kedatangan beliau telah disambut oleh Tuan Haji Razali bin Sahabudin, TKP(PI), Tuan Haji Awang bin Khalid TKP(P) serta para pegawai JAKIM yang lain.
 
Lawatan ke Bahagian ini adalah bersempena dengan Mesyuarat Mingguan Khas TKSUK dengan Ketua-ketua Bahagian JPM yang diadakan di Bilik Mesyuarat Bahagian Pembangunan Insan JAKIM.  Dalam lawatan ini, beliau telah melihat secara dekat bangunan pejabat Bahagian ini yang terdiri daripada Kaunter Pelanggan, Cawangan Pensijilan Halal, Cawangan Pengurusan, Cawangan Dasar dan Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan.
 
Satu kertas cadangan perpindahan pejabat Bahagian ini  ke Menara PJH Presint 3 berasaskan kepada justifikasi yang kukuh telah dibentangkan dalam mesyuarat tersebut. Mesyuarat berakhir pada jam 11.45 pagi.
 
 
 

Saturday, 30 March 2013

Pelancaran Global Pelaksanaan Sistem Pengesanan Pensijilan Halal Malaysia


Kuala Lumpur- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkenalkan penggunaan teknologi ‘Near Field Communication’ (NFC) melalui aplikasi ‘Halal Square’ dan rangkaian sosial ‘Halal Inside’,yang membolehkan umat Islam mengesan restoran yang memiliki sijil halal yang dikeluarkan  JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) melalui telefon pintar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, berkata penggunaan aplikasi itu yang membolehkan pengesanan awal dilakukan melalui telefon pintar dari sejauh 500 meter, juga mampu mengesan sebarang penipuan membabitkan sijil halal kerana pengguna boleh melakukan semakan melalui teknologi terbabit.
Beliau berkata, kaedah baru itu selaras perkembangan masa kini di mana orang ramai menggunakan pelbagai gajet termasuk telefon pintar dan tablet  bagi mendapatkan maklumat.
“Melalui aplikasi ini, pengguna telefon pintar akan mendapat isyarat melalui getaran pada telefon bimbit apabila berada kira-kira 500 meter dari premis makanan yang mempunyai pensijilan halal Malaysia. Saya yakin ia mampu memacu perkembangan industri halal ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Global Pelaksanaan Sistem Pengesanan Pensijilan Halal Malaysia berasaskan penggunaan teknologi NFC-Halal Square dan Halal Inside yang dibangunkan bersama JAKIM dan Malaysia Microelectronic Solutions Sdn Bhd (My-MS. Sdn Bhd).
Hadir sama Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Haji Othman bin Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif My-MS, Shafiq Akmal Ismail.
Sementara itu, Shafiq berkata, teknologi NFC adalah satu sambungan atau komunikasi dua peranti dengan menyentuh satu sama lain atau mendekatkan pada jarak tertentu dan kini diguna pakai di luar Negara.
Katanya, melalui teknologi pintar itu, jika ada salah guna sijil halal Malaysia, maklumatnya akan terus disalurkan kepada JAKIM untuk tindakan lanjut.

Saturday, 9 March 2013

Jakim Akan Bangunkan Makmal Institut Halal Malaysia

Makmal Institut Halal Malaysia yang diuruskan oleh Jakim akan dibina di Bandar Estek pada September tahun ini. Lawatan ke tapak pembangunan tersebut telah disempurnakan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom dan turut dihadiri oleh Lembaga Penasihat Pensijilan Halal Malaysia. Beliau menyatakan projek yang akan dibangunkan ini akan dimulakan dengan pembinaan makmal dengan kos RM 27.3 juta di atas tanah seluas 16.2 hektar. Makmal 3 tingkat yang akan dibina ini akan memulakan operasinya pada 2013 yang akan menganalisa makanan, menguji pelbagai produk atau bahan termasuk peralatan yang digunakan dalam pembedahan klinikal. Fasa kedua pembinaan pula akan melibatkan pembinaan bangunan latihan untuk membolehkan Jakim melatih pegawai dan kakitangan tempatan serta dari luar negara. Kewujudan makmal ini kelak akan melambangkan kesungguhan pihak Kerajaan dalam memajukan Malaysia sebagai hub halal yang diiktiraf di seluruh dunia.

Wednesday, 6 February 2013

Malaysia Negara Pertama Menganugerah Pensijilan Halal Berdasarkan Standard Farmaseutikal Halal Terulung Di Dunia


Putrajaya, 30 Januari 2013 – Bahagian Hab Halal JAKIM telah mencipta sejarah pada hari ini dalam Industri Halal Global dengan menjadi badan persijilan pertama di dunia yang mengguna dan mengesahkan pengeluaran produk farmaseutikal berdasarkan standard farmaseutikal Halal pertama dunia, MS2424:2012.
Sijil Halal di bawah skim pensijilan MS2424 buat julung kalinya ini telah dianugerahkan kepada tiga buah anak syarikat Chemical Company Malaysia Berhad (CCM). Majlis penganugerahan telah diadakan di Ibu Pejabat JAKIM, Putrajaya. Sijil tersebut telah disampaikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir adalah Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Hj. Othman Bin Mustapha dan Y. Bhg.Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Bin Che Othman, Pengerusi CCM.
Sebelum terdapatnya Standard Halal Farmaseutikal ini, Standard Makanan Halal telah dirujuk sebagai panduan serta kaedah yang digunapakai oleh semua pengeluar. Walau bagaimanapun, kaedah tersebut adalah tidak ideal kerana Standard Makanan Halal tidak diolah untuk menangani kompleksiti dan pengkhususan yang wujud di dalam sektor farmaseutikal.
Dalam membangunkan standard MS2424 Jakim merasa bangga kerana turut terlibat sebagai ahli dalam working group dan jawatankuasa teknikal yang berpadu tenaga membangunkan satu standard yang bertaraf antarabangsa ini.   Pakar – pakar yang memberi sumbangan yang penuh bermakna ini diketuai oleh Prof Dr Zhari Ismail, dari Universiti Sains Malaysia, yang kini turut merupakan salah seorang ahli dilantik oleh Majlis Raja-Raja untuk Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI),Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia, Halal Industry Development Corporation (HDC) dan Hab Halal Jakim.
Lanjutan dari standard ini, Jakim juga telah membangunkan satu sistem pensijilan berdasarkan MS2424. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama strategik berkonsepkan “Lautan Biru”  atau “Blue Ocean” bersama Working Group dan agensi-agensi lain seperti Bahagian BPFK, Bahagian Farmasi MINDEF dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Ini telah mewujudkan satu era baru dalam pengeluaran produk farmaseutikal di pasaran di mana elemen Halal untuk produk farmaseutikal dapat dikenalpasti dan disahkan melalui logo “Halal Malaysia” yang kini boleh dipamerkan pada barangan ‘Over the Counter’ (OTC) seperti supplemen kesihatan dan ubat-ubatan / produk terapeutik yang tidak memerlukan sebarang  preskripsi daripada doktor atau farmasi. Pengguna sekarang mempunyai lebih kuasa untuk membuat pilihan bijak dengan adanya alternatif Halal di pasaran.
YB Menteri di JPM menyampaikan ucapannya.
YB Menteri menyampaikan sijil penganugerahan MS 2424: 2012.
Sidang media.

Sunday, 23 December 2012

330 Penguatkuasa Hadiri Persidangan Penguatkuasa Halal Malaysia 2012



KUALA LUMPUR, 4 Oktober 2012– Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Hab Halal telah menempa satu sejarah baru kerana buat julung kalinya berjaya menganjurkan Persidangan Penguatkuasa Halal Malaysia 2012. Persidangan yang telah diadakan di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur ini bertujuan membincangkan isu-isu pemantauan dan penguatkuasaan Halal Malaysia secara bersama yang bersifat semasa atau berbangkit dan menyelaras tugas-tugas pelaksanaan penguatkuasaan Halal Malaysia bagi mengelakkan pertindihan (redundancy).

Ia menjadi platform penting untuk menjalinkan perkongsian pintar berkonsepkan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) sesama agensi penguatkuasaan mengenai maklumat pemantauan dan penguatkuasaan Halal di Malaysia selari dengan keperluan Akta Perihal Dagangan (APD 2011) dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Program ini amat signifikan kerana ia telah membincangkan pelbagai
pandangan, isu dan cadangan ke arah pengharmonian penguatkuasaan undang-undang berkaitan pemantauan dan penguatkuasaan Halal Malaysia di peringkat Persekutuan dan Negeri; termasuk Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri berkaitan halal, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) serta Undang-Undang Kecil Iklan Halal atau Peraturan Umum Premis Makanan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).                  
Sebanyak enam (6) kertas kerja perbincangan telah dibentangkan iaitu Isu-Isu Pelaksanaan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011), Isu-Isu Halal Berkaitan Farmaseutikal, Isu-Isu Halal Dalam Penguatkuasaan Akta Makanan 1983, Isu-Isu Halal Berkaitan Perkhidmatan Veterinar,  Isu-Isu Halal Berkaitan Pengimportan dan Kemasukan Produk serta Isu-Isu dan Cabaran Penguatkuasaan Halal Malaysia Berkaitan Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-Undang dan Peraturan Premis Makanan, Pelesenan Perniagaan dan Pengiklanan Pihak Berkuasa Tempatan.
Persidangan ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, YBhg. Dato' Haji Othman bin Mustapha.
Seramai 330 orang peserta yang mewakili pelbagai agensi penguatkuasaan iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (KDRM), Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri-Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan seluruh (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Negeri dan Majlis Daerah negara.
Persidangan pada kali ini turut menyaksikan pelancaran Sistem Persijilan Halal Malaysia Produk Farmaseutikal berpandukan Malaysian Standard MS 2424: 2012 Halal Pharmaceuticals – General Guidelines.
Bertemakan “Halal Malaysia - The Trusted Choice”; Persidangan ini akan dijadikan sebagai acara tahunan dengan melibatkan lebih ramai penguatkuasa dari agensi-agensi berkaitan untuk mencapai matlamat menjadikan pensijilan halal Malaysia sebagai pensijilan yang berintergriti dan terus diyakini semua pihak melalui keseragaman penguatkuasaan perundangan berkaitan halal.
Lima resolusi telah dihasilkan untuk tindakan semua agensi penguatkuasa yang terlibat, iaitu:
i.          Mengambil maklum bahawa peruntukan mengenai kawalan halal tidak terhad kepada peruntukan yang ada dalam Akta Perihal Dagangan 2011 tetapi ia juga secara langsung dan tidak langsung di dalam peruntukan undang-undang lain di beberapa agensi Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan;
ii.         Berdasarkan peruntukan undang-undang tersebut, penguatkasaan halal bukan semata-mata tanggung jawab Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK), Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sahaja; malah semua agensi penguatkuasa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JPV, Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (KDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut mempunyai peranan dalam penguatkuasaan halal mengikut fungsi dan tanggungjawab serta undang-undang di bawah agensi masing-masing;
iii.       Semua agensi penguatkuasa yang terdiri daripada KPDNKK, JAKIM, JAIN, KKM, JPV, KDRM dan PBT perlu meningkatkan persefahaman dan kerjasama dalam penguatkuasaan halal berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah agensi masing-masing;
iv.       Sistem perundangan kawalan halal di setiap peringkat perlu dimantapkan dengan mengkaji peruntukan undang-undang sedia ada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan; dan
v.        Mewujudkan Mekanisme Penyelarasan Penguatkuasaan Halal yang melibatkan semua agensi penguatkasa bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan halal yang akan diselaraskan oleh Jakim.

Wednesday, 19 December 2012

Seminar Halal di Korea



 Menjejakkan kaki ke bumi Korea tanggal Subuh 1 November 2012, delegasi JAKIM yang diketuai oleh  Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, Y.Bhg Tuan Haji Mohd Nordin bin Ibrahim dan disertai oleh dua orang pegawai dari Bahagian Hab Halal, Puan Norhanim Abdul Halim dan Puan Zuraini Yahaya, disambut oleh En Mohd Nizam Ashary, Konsulat Malaysia, dan En Saleh Bhark, salah seorang ahli Lembaga Pengarah Korean Muslim Federation.

Pada jam 12.00 tengahari, delegasi dibawa  ke Seoul Central Mosque di Itaewon untuk solat zuhur seterusnya menyertai Seminar Halal yang diadakan di Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation (AT) di Gangnam-daero, Seoul. Sejurus sebelum seminar berlangsung, delegasi sempat bertemu dengan Presiden AT dan hadir sama ialah Duta Malaysia di Korea, Y.Bhg. Dato’ Ramlan bin Ibrahim. Seminar yang julung kali diadakan ini merupakan anjuran bersama oleh KMF dan AT.  

Jakim diundang khas oleh penganjur untuk menyampaikan ucap utama dan membentangkan kertas kerja berkaitan halal. Ucap utama disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, Y.Bhg Tuan Haji Mohd Nordin bin Ibrahim. Beliau antara lain berkongsi mengenai kejayaan Malaysia dalam meningkatkan pengurusan pensijilan halal dan peranan halal terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Beliau juga menyatakan bahawa konsep halal kini bersifat sejagat dan mendapat perhatian masyarakat antarabangsa termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

Bahagian Hab Halal telah membentangkan kertas kerja bertajuk “What Is Halal and Why Halal Certificate Is Required?”. Antara isi penting dalam kertas tersebut ialah bagaimana agama Islam, budaya dan ekonomi berperanan dalam menjadikan pensijilan halal sesuatu yang sangat relevan dalam dunia global masa kini.

Seminar tersebut juga turut mengundang tiga pembentang lain iaitu Imam A. Rahman Lee dan En Saleh Bhark dari KMF dan Prof. Choi Young-Kil dari Myongji University yang membicarakan mengenai konsep halal dan haram dari perspektif Islam dan pengurusan pensijilan halal Korea.

Secara keseluruhan, seminar yang disertai oleh lebih 200 peserta yang terdiri daripada pengilang produk makanan dan kosmetik ini berlangsung dalam suasana yang sangat interaktif. Ia berjaya mencapai objektif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Korea terhadap halal. Seminar tersebut mendapat liputan luas oleh media massa Korea yang secara tidak langsung meningkatkan hubungan baik dua hala, Korea dan Malaysia.

Pada keesokan harinya, delegasi menghadiri mesyuarat bersama ahli Lembaga Pengarah KMF di Seoul Central Mosque. Pihak KMF menyatakan hasrat dan komitmen mereka untuk menjadi salah sebuah badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Malaysia pada tahun 2013 akan datang.

Seminar Penguatkuasaan Undang-undang Berkaitan Halal


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Institut Pembangunan Pengurusan Johor (IPPJ Sdn. Bhd.) dan Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) telah mengadakan Seminar Penguatkuasaan Undang-Undang Berkaitan Halal : Implikasi kepada Industri Halal di Malaysia pada 10 Disember 2012  bertempat di Dewan Besar IKIM.
            Majlis perasmian seminar telah disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan turut dihadiri oleh Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan). Seminar ini telah sertai oleh 150 peserta. Dalam ucapan perasmian beliau menegaskan kepentingan untuk memohon sijil halal daripada JAKIM ataupun JAIN bagi menjamin keyakinan pengguna muslim terhadap produk dan barangan yang diniagakan.
            Melalui seminar ini beliau turut berharap ia dapat memberi kesedaran kepada pengusaha untuk lebih peka terhadap pemantauan JAKIM berhubung penggunaan logo halal selaras dengan Akta Perihal Dagangan 2011 yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2012.
            Sebanyak 3 kertas pembentangan telah berlangsung pada sebelah pagi dan dua forum pada sebelah petangnya. Kertas pembentangan tersebut bertajuk :
Kertas 1
Tajuk : Inisiatif Halal : Membantu VS Membantut Pembangunan Industri
            Halal Negara
Oleh : YBrs. Encik Ramlan Osman; Naib Presiden Projek Khas HDC
Kertas 2
Tajuk : Pendekatan Islam Dari Pandangan Syariah Dalam
               Mengamalkan Hukum Syarak Melalui Muamalat
Oleh : YB Dato’ Haji Nooh bin Gadut; Penasihat Majlis Agama Islam Johor
Kertas 3
Tajuk : Pendekatan Dakwah dan Tarbiah Dalam Amalan Muamalat
Oleh : YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba; Penyarah UIAM
            Manakala forum bertajuk Undang-Undang Pensijilan Halal : Cabaran Penguatkuasaan serta Cadangan Penambahbaikan telah diwakili oleh 2 orang panel forum terdiri daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) iaitu Encik Mohd Roslan bin Mahayudin dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Encik Badruzzaman bin Abdul Rahim.
            Bagi forum bertajuk Undang-undang Pensijilan Halal : Implikasi Kepada Industri  telah diwakili oleh Presiden Persatuan Pengilang Malaysia (FMM),  Encik Md. Othman Yusoff, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Encik Noorul Hassan Saul Hameed dan Setiausaha Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Encik Zulkefli Mohamad.
            Pelbagai maklumat dan manfaat yang diperolehi peserta sepanjang seminar berlangsung dan seminar berakhir dengan jayanya pada jam 5 petang.
Kata-kata aluan disampaikan oleh Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) 
Perasmian oleh YB Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 
Peserta yang hadir.

Tuesday, 18 December 2012

Makmal Analisis Halal Malaysia Akan Dibina Di Bandar Enstek Nilai


Makmal analisis halal JAKIM yang sedang dibina di Bandar Enstek, Nilai akan mengukuhkan peranan JAKIM dalam pensijilan halal Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir bin Baharom sempena  perasmian majlis pecah tanah makmal tersebut.
            Beliau berkata makmal itu kelak akan menjadi pusat hentian setempat kepada industri penyelidikan dan pensijilan halal dunia memandangkan kelengkapan yang dimiliki makmal itu. Ia akan turut memberi faedah besar kepada ekonomi negara menerusi pensijilan halal Malaysia yang telah diiktiraf seluruh dunia dan secara tidak langsung mengangkat imej Malaysia sebagai peneraju utama pensijilan halal.
            Projek pembinaan makmal analisis halal ini telah diluluskan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk dilaksanakan di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dengan peruntukan kos projek sebanyak RM 56.7 juta dengan siling bagi tahun 2011 hingga 2013 sebanyak RM 27.5 juta.
            Makmal ini merupakan fasa pertama daripada keseluruhan projek Institut Halal Malaysia yang dijangka boleh diduduki mulai Ogos 2014 dan dijangka boleh beroperasi sepenuhnya secara rasmi mulai Januari 2015. Sepanjang tahun 2014, makmal ini akan menjalani ujian percubaan peralatan bagi memastikan  kesediaan untuk menerima sampel bermula Januari 2015.
            Projek ini akan dibangunkan di atas tapak seluas 6.18 ekar (luas tapak keseluruhan ialah 45.5 ekar /18.4 hektar) dengan konsep rekabentuk dan pelan susunatur yang telah dimurnikan dalam Makmal Pengurusan Nilai (VM). Bangunan makmal akan terdiri dari 3 Seksyen makmal, 2 Unit Pengurusan dan bangunan sokongan. Tiga (3) Seksyen Makmal adalah seperti berikut:
            a.  Makmal Kimia:
                        i.   Unit fiber, kulit dan bulu
                        ii.  Unit alkohol
                        iii. Unit protein dan gelatin
                        iv. Unit lemak dan minyak
                         v. Unit aditif
            b. Makmal Bioteknologi:
                        i.  Unit Pengspesisan Daging
                        ii. Unit Genetic Modified Organism (GMO)
            c. Makmal Mikrobiologi:
                        i.  Unit Patogen
                        ii. Unit Standard (hygiene)
Manakala Seksyen Pengurusan terdiri dari yang berikut :-
           a. Unit Pentadbiran makmal
          
           b. Unit Kualiti (menyelaras pematuhan akreditasi dan dokumentasi)
            Kewujudan makmal tersebut juga secara tidak langsung diyakini dapat mempercepatkan tempoh proses permohonan sijil halalsedia ada yang memakan masa selama 30 hari.
YBhg. Dato KP Jakim menyampaikan kata-kata aluannya.
YB menteri di JPM merasmikan majlis Pecah Tanah Makmal Analisis Halal Jakim.
YB Menteri sewaktu melakukan gimik pelancaran.
YB Menteri memulakan pecah tanah Makmal Analisis Halal, Jakim.
YB Menteri sewaktu mendengar penerangan yang diberikan