Sunday, 5 February 2017

Ayam Dalam Bekas Babi Di Pasar Halal Singapura!



Selongkar

SINGAPURA – Selepas Singapura gempar dengan tindakan biadap seorang lelaki Cina hina seorang wanita Melayu, kali ini umat Islam di republik itu dikejutkan foto tular yang cukup memeranjatkan.

Seorang pengguna Facebook mendedahkan foto eksklusif menunjukkan daging ayam dihantar ke Pasar Geylang Serai, sebuah gedung popular masyarakat Islam, diletakkan dalam bekas yang asalnya untuk simpan daging babi.
Menerusi gambar tersebut, empat bungkusan plastik boleh dilihat diletakkan secara bertingkat dan bekas yang paling atas tertera jelas nama sebuah syarikat pembekal daging babi tempatan terkenal – Tiong Lian Pork Supply.



Firma ditubuhkan sejak 1974 yang berpusat di Jurong itu memproses kira-kira 6,000 ekor babi seminggu atau 111,000 tan haiwan najis mughallazah tersebut setahun diimport dari Indonesia, Brazil, Australia dan sebagainya.
Penyebaran foto itu mencetuskan rasa bimbang kepada masyarakat Muslim tempatan. Pasar basah Geylang Serai sememangnya dikenali sebagai hab ‘halal’, kerana menjadi satu-satunya pasar di Singapura yang tidak jual babi.

Gambar berkenaan tersebar luas menerusi laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp. Menerusi catatan pada foto itu, ia dikatakan sempat dirakamkan oleh seorang ‘pegawai polis’ yang secara kebetulan pula berada di situ.
geylangPasar Geylang Serai, Singapura
“Sekarang pembekal daging babi sudah mula berani menghantar bekalan ayam mereka dengan menggunakan bekas yang sama ke pasar Geylang Serai. Berhati-hatilah jika membeli ayam di pasar Geylang sepanjang hari ini.
“Gambar ini akan dikirim ke MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura) oleh seorang pegawai polis yang mengambil gambar ini pagi tadi,” tulis keterangan pada foto tersebut sambi pengirimnya berharap tindakan susulan diambil.
Salah seorang penerima gambar tersebut, Shasha Alkaff, menyuarakan kebimbangannya ketika dihubungi agensi berita Mediacorp dan berkata pihak berkuasa republik itu perlu segera dimaklumkan tentang perkara tersebut.

“Kita harus memberitahu kepada pihak MUIS jika terjadi begini. Kalau cecair daripada daging khinzir itu terkena pada ayam, tidak tahu macam mana orang Islam yang makan,” luah wanita itu dengan penuh perasaan kesal.
Dalam pada itu, jurucakap MUIS ketika dihubungi Mediacorp menyatakan bahawa Unit Halalnya sudahpun menerima beberapa maklum balas daripada orang ramai dan berjanji sedia mengambil tindakan lanjut.


Buat masa ini juga, pihak majlis tersebut sedang menjalankan siasatan secara terperinci berhubung perkara sensitif berkenaan dan meminta masyarakat Islam tempatan agar bertenang. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

Post a Comment