Monday, 13 February 2017

Kolej Islam swasta perlu dapat pengiktirafan JPA, MQA


DR MOHD NURI AL-AMIN ENDUT | .


KOLEJ ISLAM SWASTA: PENTING DAPATKAN PENGIKTIRAFAN JPA DAN MQA
                                                 
Pertubuhan Aspirasi Akademia Ummah Sejahtera (ARUS) Perak prihatin terhadap status sesetengah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menawarkan kursus Pengajian Islam, terutamanya kolej-kolej Islam swasta, yang masih belum mendapatkan akreditasi MQA (Malaysian Qualifications Agency/Agensi Kelayakan Malaysia) dan pengiktirafan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) bagi program-program pengajian mereka.

Kegagalan mendapatkan kelulusan tersebut akan mengakibatkan kesukaran pelajar-pelajar lepasan diploma ini melanjutkan pengajian mereka ke peringkat ijazah di universiti tempatan dan berkhidmat di sektor awam.



ARUS Perak melihat pengiktirafan JPA dan MQA ini adalah penting bagi memastikan penawaran kursus pengajian dari mana-mana IPTS benar-benar mengikut syarat, keperluan dan tahap yang digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Proses pengakreditasian ini juga  berpotensi meningkatkan kualiti pengajian kolej Islam terbabit dan menjadikannya mampu berdaya saing dengan kolej-kolej swasta yang lain.

Dengan memperolehi pengiktirafan ini maka akan berpeluang melanjutkan pengajian peringkat yang lebih tinggi serta peluang perkhidmatan dalam pelbagai sektor akan lebih terbuka.

Agensi yang berwewenang seperti KPT, JPA mahupun MQA sewajarnya memberi bantuan dan panduan untuk memudahcarakan proses pengiktirafan ini.

Tindakan seumpama ini bukan hanya akan menjamin kualiti pendidikan dan meredakan kebimbangan ibu bapa pelajar-pelajar di kolej Islam swasta ini, bahkan juga dapat melonjakkan perkembangan institusi pendidikan tinggi pengajian Islam yang sentiasa mendapat sambutan baik dari kalangan masyarakat Melayu ke tahap yang lebih tinggi dan berwibawa di dalam arus pendidikan perdana negara.

ARUS Perak yakin kolej Islam swasta ini memang sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan daripada JPA dan MQA namun terdapat beberapa kekangan kepada usaha murni mereka ini.

Oleh yang demikian pihak berwajib, pengurusan tertinggi kolej dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  yang berpaksikan usaha pendidikan perlu berusaha membantu mereka bagi mendapatkan pengiktirafan ini.

Bagi pihak ARUS Perak, kami sentiasa bersedia memberikan bantuan khidmat nasihat dan panduan kepada mana-mana IPTS Islam bagi memudahkan mereka mendapat akreditasi MQA dan pengiktirafan JPA demi  kecemerlangan pendidikan Islam di negara ini. - HARAKAHDAILY 10/2/2017

Penulis ialah Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Akademia Ummah Sejahtera Perak

No comments:

Post a Comment