Wednesday, 15 February 2017

Isu-Isu Pemikiran Dalam Epistemologi Tajdid al-Din

T


Istilah “tajdid al-din” secara ringkasnya membawa maksud suatu pembaharuan atau revitalisasi membangkitkan semula komitmen umat Islam terhadap sendi-sendi aqidah, syariah dan ibadah dalam bentuknya yang kudus dan bersih. Konsep tajdid ini perlu difahami berdasarkan falsafah yang betul kerana ia berkaitan usaha gerakan Islam hari ini untuk mengembalikan kesedaran umat Islam terhadap agamanya, bukannya menggantikan Islam dengan idealisme moden atas alasan tidak sesuai dengan perubahan zaman. Dalam erti kata lain, perubahan dalam tajdid merujuk kepada manusia, bukan memodifikasi ajaran Islam itu sendiri. Tajdid berbeza dengan sikap kaum modenis yang bertindak memperbaharui Islam menurut keadaan yang dialami tabi’e manusia biarpun kefahaman tersebut bertentangan dengan Islam. Misi utama tajdid adalah mengembalikan izzah umat dan keyakinan mereka kepada ajaran Islam yang bersifat abadi, iaitu mengubah perihal manusia dan keadaannya agar kembali kepada Islam sedangkan modenisasi mengubah prinsip agama agar selaras dengan manusia dan hal-ehwal mereka.



Sejak umat Islam mengalami kemerosotan khususnya setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924, pelbagai aliran, gerakan dan individu yang memberikan reaksi untuk memperbaharui pemikiran umat Islam. Namun, malangnya penggilapan pemikiran umat Islam yang diharapkan itu tidak melalui proses yang sewajarnya, tetapi lebih kepada mencedok semula falsafah-falsafah kebendaan (materialisme) yang dipelopori tokoh-tokoh modenisasi Barat. Akibatnya timbul bida’ah pemikiran yang dibawa oleh mereka bermatlamatkan untuk membebaskan diri daripada petunjuk Islam dan menolak hukum-hakam wahyu sehingga boleh dikategorikan kepada istilah zindiq. Sebahagian masyarakat Islam terutamanya anak-anak muda terpedaya dengan “trend” ini merasakan mereka juga perlu diberi hak sedemikian dalam segala perkara. Slogan hak asasi dicanang seperti kebebasan bersuara, berfikir, beragama dan pelbagai lagi idealisme yang melatari kesesatan liberalisme. Dalam soal agama, mereka inginkan ruang berbahas, menerima atau menolak apa sahaja yang disifatkan sebagai streotaip. Jika ulama boleh menyatakan pendapat dalam masalah agama, mereka juga ingin melakukan hal yang sama biarpun tanpa menguasai disiplin ilmu yang betul. Semua ini menyebabkan mereka terjebak dalam fahaman songsang.

Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam ada menyatakan tentang kebangkitan mujaddid setiap zaman;
إن الله يبعث لهذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها
“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan untuk umat ini pada setiap pangkal seratus tahun, seseorang yang akan memperbaharui kefahaman agamanya.” (Riwayat Abi Daud)

Dalam hadis yang lain menyebut;
يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله ينفون عنه تحريف الغالين وانتحال المبطلين وتأويل الجاهلين
“Ilmu agama ini akan dipikul oleh orang-orang yang adil pada setiap generasi. Mereka menghilangkan penyimpangan orang-orang yang melampaui batas, kedustaan para pendusta dan takwil orang-orang bodoh.”

Haruslah diingat bahawa wahyu terakhir kepada Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam telah sempurna dan tiada perubahan, tambahan, atau pengurangan lagi selepasnya. Atas premis ini, pembaharuan agama tidak bermaksud memperbaharui agama tetapi menjadikan agama yang telah sempurna itu sebagai sesuatu yang baru kepada ummah yang telah lama tidak memahaminya secara benar (al-Ghazali 2005). Justeru memperbaharui kefahaman agama yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah melakukan pengislahan terhadap kerosakan-kerosakan yang ada, mengembalikan teks dan konteks sebenar agama yang diselewengkan, mematahkan pendapat yang ragu dan batil terhadap Islam, menyanggah pengertian negatif yang menjadi pegangan orang-orang yang jahil serta menjadikan perjuangan menegakkan kalimah Allah sebagai perjuangan yang paling mulia.


Namun, kekeliruan yang ditimbulkan daripada pelopor-pelopor bida’ah pemikiran moden masakini sering menyebabkan masyarakat memandang Islam sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman. Dalam keadaan ini, orang yang keliru meninggalkan terus agama, bukan bermaksud murtad tetapi menjauhkan panduan agama daripada praktikal kehidupan yang bersifat tangible (ketara). Sedangkan, menurut pendirian yang benar, ajaran Islam sentiasa asli kerana sifatnya yang fitrah bagi naluri manusia. Sehubungan itu, memperkenalkan kembali tafsiran yang sahih terhadap agama merupakan usaha tajdid, yakni memperkenalkan sesuatu yang baru kepada kalangan ummah yang belum pernah memahami sedemikian sebelumnya. Oleh itu, bolehlah disimpulkan bahawa proses tajdid adalah usaha memperbaiki kefahaman Muslim dan manusia seluruhnya terhadap Islam agar kembali menghayati dan mengamalkan peraturannya.

Kepincangan Modenisme

Salah faham terhadap epistemologi tajdid telah menyebabkan kelompok modenis berani menstrukturkan semula metafizik, logik, dan dasar-dasar Islam menurut sistem pemikiran moden yang mereka anuti. Berlandaskan kepada semangat pembebasan yang kadangkala diistilahkan sebagai “Islamic Protestantism”, kelompok ini jelas sedang mendapat tempat dalam wacana pemikiran Islam kontemporari dengan mencanangkan kononnya membawa misi pembebasan umat Islam daripada belenggu fahaman ortodoks (out of date) dan cengkaman dominasi golongan ulama. Walaupun seruan kelompok modenis ini pada awalnya dilihat sebagai progresif, iaitu menolak taklid dan membuka pintu ijtihad seluas-luasnya namun kesempatan tersebut telah dijadikan peluang oleh kumpulan yang berkecenderungan untuk menembusi batas agama apabila menuntut tafsiran Islam yang subjektif, skeptisis dan pluralis.

Kelompok modenis berpegang pendapat bahawa semua teks wahyu (al-Quran dan al-Hadis) mempunyai kemungkinan yang pelbagai (relativisme). Pandangan ini bertitik tolak daripada satu premis bahawa kebenaran selamanya relatif. Abou el-Fadl, salah seorang pemikir liberal dalam bukunya berjudul “Speaking In God’s Name: Islamic Law, Authority and Women” mengatakan bahawa tidak ada seorangpun yang dapat mendakwa bahawa dia dapat mengetahui dengan pasti maksud sesuatu ayat. Kenyataan ini bertujuan untuk membolehkan mana-mana individu mentafsir dan menentukan sesuatu nas menurut makna dan situasi yang diingininya (no truth-claim). Oleh itu, mereka cenderung menyuburkan teori kontradiksi di antara nas dengan maslahah ;
تقديم المصلحة على النص

Sebagai akibat mereka bertindak mengubah beberapa ketetapan syara’ untuk disesuaikan dengan rasional. Persoalan yang telah di-ijmakkan dibantah kembali contohnya permasalahan rambut wanita yang telah disepakati ulama sebagai aurat yang wajib ditutup oleh setiap wanita muslimah. Termasuklah juga gagasan penolakan hudud yang dipertahankan atas alasan kondusif. Kondusif yang dimaksudkan pula ialah “khuatir Islam ditolak kaum non-Muslim”, kononnya mencontohi Umar al-Khattab yang menangguhkan hudud pada tahun kemarau. Sedangkan faktanya Umar tidak menangguhkan hudud, hukuman terhadap penzina tetap berjalan, hukuman terhadap peminum arak tetap berjalan, pendek kata Umar tetap melaksanakan hudud kecuali pada kes-kes tertentu yang melibatkan jenayah curi kerana wujud syubhat berhubung harta curian pada tahun kemarau yang panjang di zamannya. Apabila tanaman yang disemai tidak tumbuh, ternakan yang dibela mati menyebabkan kecurian berleluasa kerana masing-masing berjuang untuk meneruskan hidup (hifzu al-nafs).

Kemudian, timbul pula dolak-dalih pragmatisme yang mengatakan bahawa sosio-ekonomi umat Islam lebih penting daripada penstrukturan hudud. Jika kita merujuk kepada tradisi pemikiran Barat, kelompok modenis ini berakar umbi kepada gerakan falsafah material (madiyah) yang pernah berkembang di Greek iaitu Sophist (Sufasta’iyah). Golongan ini dikaitkan dengan aliran relativisme yang menganggap kebenaran tidak bersifat hakiki (agnostic). Dengan mengangkat tema humanisme, psiko-biologi manusia (nurture) dijadikan penentu terhadap kebenaran dan kebatilan yang sentiasa mengalami perubahan tabi’e (nature). Populariti dan kuasa politik menjadi matlamat kepada golongan Sophist ini untuk menundukkan orang lain kerana bagi mereka elemen tersebut sebagai faktor dan ukuran kepada kebenaran (might is right). Ternyata kelompok modenis mengambil sistem yang serupa daripada golongan Sophist ini bahkan telah pergi jauh dari apa yang dipegang oleh kaum Muktazilah satu ketika dahulu.

Mutakhir ini jalur pemikiran modenisme lebih aktif dan agresif dengan idea gerakan pembebasan (liberating movement) khususnya berkaitan sikap terhadap tradisi yang dianggap mereka sebagai suatu yang telah usang dan beban yang harus dilupakan untuk maju ke hadapan. Di sebalik perlecehan ini, muncul juga golongan Pseudo-Salafi  yang mendakwa bahawa umat Islam tidak perlu mengikuti ulama tetapi cukup mengikuti apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Secara zahir pernyataan tersebut tampak betul, tetapi hakikatnya mengandungi banyak kekeliruan kerana untuk memahami al-Quran dan al-Sunnah perlu kepada konteks penafsiran yang benar, tidak keliru dan salah. Maka, penafsiran siapakah yang harus dipegang oleh seorang Muslim itu sehingga dia dapat mempertanggungjawabkan pilihannya? Apakah penafsiran sendiri atau  penafsiran ulama yang lebih memahami maksud sebenar? Justeru di sinilah letaknya kepentingan pemegang autoriti (ulama) yang mewarisi khazanah Nabi (ilmu-ilmu Islam).

Mendepani Fasa Liberalisme

Kritikan terhadap agama telah biasa berlaku kepada masyarakat di Barat sehingga ia tidak lagi menjadi suatu sensitiviti kepada kehidupan masyarakat di sana. Mereka yang masih menjunjung nilai-nilai agama seperti penganut Kristian hanya mampu berselindung di sebalik kepercayaan yang diyakininya sebagai produk budaya dan sebatas religous experience (pengalaman keagamaan). Ketika timbul isu karikatur Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam, masyarakat di Barat berpendirian “it is your taboo, not mine” sebagai gambaran betapa bejatnya pemikiran liberalisme telah mendominasi kehidupan masyarakat di Barat. Umat Islam juga ada yang terpengaruh dengan ideologi ini, ada di kalangan mereka yang terlibat dalam propaganda anti-syariah kerana melihat ia bertentangan dengan moral dan hak asasi manusia. Malah ada juga yang ingin membangkitkan era pencerahan (enlightment) dan kebangkitan (renaissance) seperti yang berlaku dalam sejarah Barat.

Boleh jadi inilah secebis kesan daripada pengaruh filem “Sang Pencerah” (2010) yang menjadi fenomena monumental sebahagian masyarakat Islam dewasa ini di Nusantara sebagai biografi pembaharu yang harus diteladani. Walaupun penceritaan filem tersebut mengandungi mesej-mesej positif, namun pembikinan filem tersebut perlu dicermati kerana ia disutradarai oleh salah seorang pendokong liberalisme, Hanung Bramantyo yang gemar mengarang cacat-cela Islam secara halus dalam filemnya. Ironinya mengapa watak Kiyai Ahmad Dahlan dilakonkan oleh Lokman Sardi yang mengisytiharkan dirinya telah berubah keyakinan dari Islam (murtad) sejak tahun 2009 lagi. Adakah ia suatu kebetulan atau terdapat agenda licik di belakang tabir? Rata-rata masyarakat Islam di Indonesia kecewa dengan pengakuan murtad pelakon “Sang Pencerah” itu, tetapi bagi kelompok liberalis ia adalah nilai tambah kepada kejayaan mereka mengelabui identiti “sang murtad” menerusi filem.

Memang sudah menjadi kelaziman kepada kelompok liberalis, ulama sering menjadi sasaran penghinaan sebagai entiti yang langsung tidak memberikan sumbangan kepada arus pemodenan. Namun begitu, dalam konteks Malaysia hari ini golongan ulama juga harus menginsafi bahawa sokongan masyarakat terhadap mereka mestilah dimanfaatkan sebagai momentum kebangkitan umat Islam. Islam tidak tertegak dengan cara berpaut kepada populariti semata-mata, tetapi atas kekuatan, kerjasama dan dokongan terhadap jamaah Islam sesuai dengan kapasiti masing-masing. Janganlah memilih untuk bersikap neutral sahaja seperti kaum murji’ah moden yang hanya mahu mengambil berat persoalan iman dalam hati (tasdiq) tetapi mengasingkan diri (queitisme) atau acuh tidak acuh terhadap permasalahan politik mungkar. Kata Imam Ahmad ibn Hanbal;
إذا سكت العالم تقية، والجاهل يجهل، فمتى يظهر الحق
“Kalau diam orang alim kerana taqiyah (playsafe), dan orang jahil terus jahil, maka bilakah kebenaran itu akan tertegak?”

Shah Waliyullah al-Dihlawi (1703 M – 1762 M) menyatakan bahawa rata-rata masalah yang menimpa ummah berlaku disebabkan faktor ulama dan keberdayaan agama sebagai pemangkin masyarakat Islam. Iaitu apabila Islam tidak dijadikan misi mengangkat izzah umat, tetapi lebih didorong kepada kepentingan peribadi. Beliau menyebutkan tiga wabak negatif di zamannya yang menjadi faktor kemunduran kepada spiritual attitude umat Islam pada waktu itu;
  1. Pengaruh “Aristotelian logic” sehingga menyebabkan masyarakat Islam ditimpa budaya pragmatisme dan narsistik kemanusian.
  2. Pengaruh merosak daripada “neo-Platonism” dan “Vedantisme” yang mengubah aliran sufi menjadi teosofi. Sungguhpun al-Dihlawi merupakan pengamal tarekat, tetapi ada beberapa perkara yang dilihat sebagai keterlaluan. Sebagai contoh terlalu sarat membicarakan sifat misteri ketuhanan serta melakukan upacara di makam ahli-ahli sufi atas dasar kepercayaan bahawa seseorang ahli sufi yang telah meninggal dunia itu masih lagi mencurahkan berkat.
  3. Sikap individualistik para ulama terhadap tradisi ajaran masing-masing sehingga menimbulkan sikap ta’assub, sukar berkompromi namun bersepakat mengekalkan masyarakat awam kepada kejahilan.
Realiti umat Islam hari ini pula ramai yang terpesona dengan pemikiran modenisasi Barat yang pekat dengan unsur pengingkaran kaum liberalisme di antaranya seperti kebebasan mutlak (freedom without responsibility), ketidakpercayaan terhadap autoriti dan penjelajahan mempromosi fahaman “nihilisme” yakni suatu aliran pemikiran bebas (setelah hampa dengan semua sistem) melakukan apa yang dimahukannya tanpa panduan dan etika serta tiada campur tangan orang yang berhak memberikan pendapat. Mereka yang mendokong fahaman nihilisme memandang rendah manusia yang berpegang kuat dengan ajaran agama yang diibaratkan seperti “lembu dicucuk hidung” kerana dakwanya tidak mampu mengawal pilihannya sendiri. Senario ini disentuh oleh Allah Taala;
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آمِنُواْ كَمَا آمَنَ النَّاسُ قَالُواْ أَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاء أَلا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاء وَلَكِن لاَّ يَعْلَمُونَ
“Dan apabila dikatakan kepada mereka; Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman. Mereka menjawab; Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu? Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Kedudukan Akal Dalam Islam

Firman Allah;
سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ
“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar.”

Islam memandang mulia kedudukan akal dan meletakkannya di tempat yang tinggi kerana kemampuannya menilai atau memilih sesuatu perkara melalui pertimbangan yang rasional dan logik. Manusia yang tidak menggunakan akal pada tempatnya, bererti dia telah melakukan kezaliman terhadap diri sendiri yang hakikatnya merupakan kurniaan Allah kepada mereka, berbeza dengan makhluk yang lain. Peranan besar yang dimainkan akal ini membuktikan bahawa manusia sentiasa terdorong untuk mencari kebenaran sehingga mereka dapat mencapai hakikat keyakinan terhadap sesuatu kebenaran. Kelebihan tersebut mendapat dokongan jumhur ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang bersepakat menerima akal sebagai salah satu sumber pendalilan berdasarkan syarat-syarat tertentu.

Walau bagaimanapun, sebilangan aliran pemikiran seperti Hashawiyyah menolak pendalilan akal (‘aqliyah) dan mendakwa Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah khususnya Asha’irah dan Maturidiyyah terpengaruh dengan metodologi aliran Muktazilah. Para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah mengambil pendekatan wasatiyyah wa i’tidal dengan cara menyusun metodologi pendalilan berasaskan sumber naqliyah dan ‘aqliyah, serta meletakkan kedudukan al-Quran, Sunnah dan Ijma’ itu sebagai sumber yang utama dalam menetapkan hukum. Mereka tidak fanatik mengutamakan akal sebagaimana Muktazilah dan tidak pula rigid menolak kepentingan dalil akal secara mutlak sebagaimana Hashawiyyah. Pendirian kedua-dua aliran ini sama ada Muktazilah atau Hashawiyyah dilihat terlalu ekstrem sehingga mengabaikan salah satu daripada sumber pendalilan Islam.

Kaedah-kaedah hukum seperti qiyas, istihsan, masalih al-mursalah, sadd al-zara’ie, al-urf dan istishab adalah merupakan beberapa bentuk sumber pengambilan hukum yang menggunakan akal sebagai pengimbang. Akal digunakan dalam semua disiplin ilmu Islam namun kebebasan dan keizinan tersebut masih tertakluk kepada parameter al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas mengelak daripada takwilan berasaskan nafsu, penilaian longgar (taqsir), serta paradigma melampau (ghuluw). Berdasarkan hal ini dapatlah dirumuskan bahawa kerangka pemikiran Islam itu memiliki pendirian jelas mengenai kedudukan akal dan wahyu iaitu mereka tidak menolak akal dan tidak juga mengagungkannya lebih dari yang sewajarnya sebagaimana Iblis yang tergelincir menderhakai Allah akibat hujah rasional.

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلاَّ تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِيْنٍ
“Allah berfirman; Apakah yang menghalangimu untuk sujud tunduk (kepada Adam) di waktu Aku memerintahkanmu? Jawab Iblis; Aku lebih baik daripadanya, Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah.”

Keuniversalan Islam

Sesungguhnya realiti sejarah perkembangan Islam yang berlaku tidak terdapat babak-babak yang menandakan zaman kegelapan (dark ages),  “pertengahan” (middle ages), kemudian “moden” (modernity) dan pasca-moden. Istilah turath, tradisi atau  klasik, kaum tua dan kaum muda tidak melambangkan kekolotan, mitos atau cerita basi dalam Islam yang perlu diganti dengan cara baru atau yang lebih moden. Ini kerana Islam sentiasa mengemudi umat manusia secara konsisten (istiqamah) dalam membangunkan misi “tahriri”, “tanwiri” dan “islahi” sebagaimana yang telah dilakukan oleh Para Nabi dan Rasul. Walaupun perubahan zaman Islam melalui liku-liku pahit getirnya, namun setiap kali penyimpangan dan kejahilan berlaku, syiar untuk bangkit bersama Islam (وا إسلاماه) adalah penyelesaian yang terbaik. Namun konsep penyelesaian ini tidak digemari oleh kelompok-kelompok liberalis kerana imej Islam disifatkan sebagai sarwajagat (universal) bermula sejak penciptaan manusia pertama lagi (Nabi Adam alaihissalam), tidak seperti pengalaman evolusi di Barat.

Firman Allah;
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولاً أَنِ اعْبُدُواْ اللَّهَ وَاجْتَنِبُواْ الطَّاغُوتَ فَمِنْهُم مَّنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُم مَّنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ فَسِيرُواْ فِي الأَرْضِ فَانظُرُواْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka); Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasul-Nya.”

Islam mempunyai survival sejarah yang berbeza dengan apa yang dialami oleh Kristian di Barat. Budaya hierarki kegerejaan atau imej ke“firaun”an (agree with us or shut up) yang memonopoli dogma kepercayaan masyarakat tidak sama seperti yang dipraktikkan dalam Islam. Praktis Islam sejak dahulu lagi berasaskan kepada suluhan ilmu (wahyu) dan ijtihad yang mapan. Para ulama silam telah membina kerangka ilmu yang relevan dan perlu dipelajari, dikaji, dinilai dengan teliti. Khazanah ilmu Islam ini seharusnya didekati dengan penuh etika rendah diri dan hormat-menghormati, walaupun dengan pendekatan kritis. Ini kerana, konsep adab yang ditekankan Islam itulah ciri utama tradisi keilmuan mereka yang tidak terdapat dalam pengalaman di Barat (ethical zero). Lantaran itu proses tajdid yang berlaku dalam perubahan zaman Islam bersifat islahi, ia tidak tertegak atas premis “protestant” (antithesis paradigm) kerana berkobarnya sikap curiga, kecewa, bingung dan tidak puas hati.

Keuniversalan Islam inilah menjadikan ia sering dimusuhi dan dicemburui oleh banyak pihak sehingga pertembungan yang berlaku berhubung permasalahan umat Islam hari ini ada kaitannya dengan projek adu-domba musuh-musuh mereka. Dalam satu kajian bertajuk “Civil Democratic Islam : Partners, Resources and Strategies” yang diterbitkan RAND Corporation, Barat mengklasifikasikan pemikiran Islam kepada empat kategori iaitu  tradisionalis, fundamentalis, modenis dan sekularis. Melalui pengelompokan ini, mereka meletakkan golongan modenis dan sekularis sebagai kelompok yang perlu diberikan dokongan penuh. Manakala golongan tradisionalis dan fundamentalis pula hendaklah dilaga-lagakan dengan cara menyuburkan masalah khilafiyah. Oleh itu umat Islam tidak perlu terperangkap dengan persampelan tersebut. Pada masa yang sama umat Islam harus mempunyai kajian-kajian yang hebat untuk menangani strategi menghadapi globalisasi Barat.

Penutup

Sudah menjadi sunnatullah bahawa umat Islam sering berhadapan dengan dilema dan paradoks pemikiran yang tidak berkesudahan. Kebanyakan masalah yang dihadapi oleh mereka sebenarnya berpunca daripada kekeliruan terhadap ajaran Islam itu sendiri. Kekeliruan itu pula berlaku disebabkan jajahan pemikiran yang hadir melalui pengaruh-pengaruh kemodenan dan falsafah meterialisme Barat. Pendokong fahaman ini mengekploitasi istilah tajdid, sedangkan proses tajdid sebenarnya bermotifkan kepada menjaga agama (hifzu al-din) bukannya menggantikan kepada produk-produk pemikiran Barat ke dalam dasar ilmu-ilmu Islam. Mereka menuduh para penggerak Islam ini sebagai konformis, tetapi dalam masa yang sama mereka menjadi khadam kepada pemikiran madiyah. Walaubagaimanapun gerakan Islam memang sepatutnya berperanan pro-aktif sebagai “puritanical reformer”, membaiki masyarakat yang dianggap menyimpang daripada Islam akibat daripada bida’ah pemikiran songsang ini. Kepiawaian pemikiran Islam yang tulen harus dibangunkan sebagai suatu bentuk oksidentalisme terhadap kekeliruan yang timbul di sepanjang serangan pemikiran dilakukan oleh mereka. Harapannya adalah supaya umat Islam hari ini dan akan datang mampu melihat kecacatan aliran ideologi yang berorientasikan kebendaan menerusi kefahaman Islam yang sahih.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia

No comments:

Post a Comment