Monday, 20 February 2017

Tentukan arah kehidupan yang kita mahu






Oleh Dr. Muhaya Osman

Orang yang berjaya banyak cabaran perlu diatasi, yang menambahbaikkan kehidupannya. Dalam membuat penambahbaikan hidup ini, perlu membuat pilihan, mana yang boleh diteruskan dan mana yang perlu kita hentikan, kerana hidup ini adalah satu perjalanan yang terpaksa kita tempuhi.

Kita tidak boleh berhenti tetap pada satu titik tertentu, jika mahukan kejayaan demi kejayaan. Setiap hari langkah kita, menentukan hasil kehidupan kita dunia dan akhirat.


Fokus pada jalan pilihan kita untuk memastikan kali ini kita akan berjaya. Manusia berasa penat berusaha, tetapi tidak juga berupaya mengecap kejayaan, sebab tidak ada fokus, salah fokus atau gagal fokus pada destinasi sasaran.


Bagi orang yang merancang perjalana untuk pergi ke mana-mana destinasi sasaran, peta untuk menunjukkan arah sangat diperlukan, supaya kita tidak tersesat dan cepat sampai destinasi.

Demikian jugalah halnya dengan kehidupan, kita memerlukan peta yang menunjukkan hala tuju kehidupan dan memandu arah kepada kita untuk sampai ke destinasi tujuan. Sebelum kita hendak menggunakan peta tersebut, kita mesti tahu di mana kita berada?

Di mana kita berada, bermakna tahap pencapaian kita. Adakah sudah mencapai matlamat, atau kalau belum tercapai, berapa peratus lagi yang perlu kita kejar. Maknanya dalam mencari peta kehidupan pertama, kita perlu tahu di mana kita berada.

Iaitu daripada segi fizikal, mental, kewangan, dan hubungan dengan Allah macam mana? Adakah sudah mencukupi atau masih jauh perjalanan hidup kita daripada segi pencapaian hasil kehidupan di dunia, (4K = Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan, dan Kekayaan)?

Seterusnya bagaimana pula dengan pencapaian dan persediaan kita untuk berangkat pergi ke 'Negeri Abadi', menghadap Ilahi? Sudahkah cukup amalan di dunia kita untuk mengumpul pahala yang akan di bawa ke 'negeri abadi' nanti? Nilai diri kita sama ada kita berada di laluan yang betul atau sudah tersesat jalan?

Andai kita berada di jalan yang betul, berapa banyakkah lagi usaha yang perlu kita lakukan dan berapa banyakkah lagi masa yang ada, untuk kita meneruskan perjalanan sampai ke destinasi sasaran. Jika kita dapati diri sudah jauh tersesat di belantara dosa, di mana dan dari manakah kita mesti bermula untuk membetulkan kesilapan?

Untuk urusan duniawi pula, jika kita tidak mendapat (4K = Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan, dan Kekayaan), kaji semula di mana silapnya. Audit diri dan refleksi diri lihat hasil kehidupan kita, jika tidak seperti yang kita mahukan, hentikan menyalahkan orang lain, ambil tanggungjawab dan buat pilihan yang berbeza untuk hasil yang berbeza, dengan cara membina keperibadian yang positif dan keyakinan diri yang tinggi.

Untuk membina keyakinan diri yang tinggi pertama, melihat dan menerima kelemahan diri kita dan berniat untuk memperbaiki diri dengan tidak melakukan kesilapan yang sama. Dalam menilai perjalanan pada peta kehidupan ini perkara kedua, yang kita mesti tahu adalah, ke mana kita hendak pergi, (tujuan hidup kita)?

Sebagai orang Islam, kita perlu pastikan tujuan hidup untuk mendapat khusnulkhatimah dan syurga menjadi destinasi sasaran akhir hidup di alam baqa atau alam kekal.

Tingkatkan kerohanian

Jika kita menyedari kita masih leka dalam kehidupan dunia yang penuh dengan kesedaran keegoan, maka kita perlu meneliti kembali peta kehidupan kita, bagi mencari laluan yang membolehkan kita menuju hidup dalam reda dan rahmat Allah.

Untuk kehidupan duniawi juga, kita kena tahu sasaran kita sampai mana dan untuk apa. Dengan mencapai sasaran duniawi, (4K = Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan, dan Kekayaan), niatkan untuk menjadi insan lebih bertakwa.

Mampu berzakat dan bersedekah, bagi meningkatkan ekonomi umat Islam. Mampu menunaikan fardu haji atau melaksanakan umrah dan sebagainya, yang akhirnya pencapaian kejayaan duniawi adalah untuk kesejahteraan hidup di akhirat, yang menjadi matlamat akhir hidup kita. Ketiga, apabila kita sudah tahu tujuan, perlu fikirkan, proses hendak pergi ke destinasi itu macam mana? Analoginya di sini, kita hendak menaiki kenderaan apa dan bila?

Kita mesti berpandukan peta kehidupan yang baharu dan positif untuk mendapat hasil kehidupan yang positif. Bagi memulakan perjalanan atau gerakan, perlu fizikal yang kuat, mantap dan sihat.

Oleh sebab itu kesihatan fizikal amat penting. Jika kita hendak tingkatkan kerohanian kita, badan kita perlu sihat baru boleh kita melakukan dan mempertingkatkan ibadah kita. Contohnya, kalau kita hendak mengerjakan umrah atau haji kita perlukan tubuh badan yang sihat, kerana ibadah ini memerlukan kekuatan fizikal.

Kita perlu tahu dan nilai, peta kesihatan kehidupan kita macam mana tahapnya? Setelah kita tahu tahap kesihatan kita, pilihan pengambilan makanan yang sihat mesti dilakukan dengan penuh disiplin.

Pemakanan, air minuman dan senaman yang kita pilih menjadi amalan kehidupan duniawi, semua menjadi faktor penyumbang tahap kesihatan, sama ada positif atau negatif. Bagi mendapatkan ruang melalui peta kehidupan yang positif, dua perkara perlu dijaga. Pertama, betulkan “dunia dalaman” (minda dan emosi). Sebab emosi menentukan hasil tindakan “dunia luaran” (fizikal). Tindakan menentukan hasilkan kehidupan kita (4K). Formula konsep pemikiran “Reset Minda”, “FIKIRAN – menentukan EMOSI – EMOSI menentukan TINDAKAN – TINDAKAN menentukan HASIL KEHIDUPAN” Kedua, dekati Allah. “DUNIA DALAMAN menentukan DUNIA LUARAN”, maka didiklah diri kita dan perbetulkan diri kita dengan cara mendekatkan diri kepada Allah. Minda (fikiran) dan hati (emosi) yang menentukan pilihan hidup kita setiap hari.

Sebab itulah dalam kehidupan ada lima pilihan yang kita perlu lakukan. Pertama, pilihan untuk kesihatan mental dan fizikal. Kedua, pilihan untuk kerohanian atau spiritual. Ketiga, pilihan untuk minda dan fikiran. Keempat, pilihan untuk hubungan silaturahim sesama manusia. Kelima, pilihan untuk kekayaan.

Pilihan peta kehidupan kita hari ini menentukan siapa diri kita 10 atau 20 tahun yang akan datang. “Kita adalah apa yang kita baca, kita adalah apa yang kita tonton, kita adalah apa yang kita dengar, kita adalah apa yang kita makan, dan sesungguhnya kita adalah apa yang kita cari (ilmu dan iman).”

Setiap daripada kita perlu memilih untuk menjadi kaya, dan memastikan nilai yang diberikan daripada kekayaan untuk memberikan manfaat kepada kehidupannya di dunia dan di akhirat.

Kesejahteraan dan kebahagiaan hidup yang sebenar-benarnya, adalah apabila kita mendapat kesempurnaan hidup di alam yang kekal kelak, mati dalam khusnulkhatimah dan menjadi penghuni syurga.

Untuk menjadi ahli syurga, persiapan untuk kehidupan di 'Alam Abadi' ini perlu dirancang sejak awal lagi oleh suami sebagai ketua keluarga, dengan mengamalkan kehidupan penuh kehambaan kepada Allah (hubudiah).

Pelihara peta kerohanian dengan menjaga rukun iman yang enam dan melaksanakan rukun Islam yang lima. Berdasarkan kepercayaan kedua-dua rukun inilah kita melalui peta kehidupan kita dan menelusuri peta kehidupan insan lain, untuk dijadikan iktibar.

Yang baik jadi iktibar dan teladan, yang buruk jadikan sempadan, yang sedih jadikan benteng menguatkan jiwa, roh dan keimanan. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

No comments:

Post a Comment