Saturday, 11 March 2017

Tiga tsunami politik Malaysia


RUU355

MENYOROTI galur perjalanan politik Malaysia dalam 3 dekad kebelakangan ini, dapatlah disimpulkan bahawa Malaysia telah dan sedang mengalami tiga fasa tsunami politik.
Dinamakan sebagai tsunami kerana sifat fenomena politik ini adalah deras, berlaku secara drastik dan mengejutkan semua pihak, laksana tsunami yang melanda tanpa amaran dan persiapan.
Tsunami Pertama
Pertama pada tahun 1998, dinamakan sebagai TSUNAMI REFORMASI. Apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat serta diheret ke mahkamah atas tuduhan liwat. Orang-orang Anwar secara automatik turut terpelanting sama dari kerajaan dan parti. Maka ramai pengikutnya dikalangan ahli Umno dan penjawat awam bangkit menentang kebobrokan ini. Mereka terjun bersama barisan pembangkang dengan menubuhkan parti KeAdilan.


Perkara ini turut mengundang simpati rakyat marhaen. Media alternatif memainkan peranan yang cukup signifikan dalam membentuk tsunami ini. Lalu rakyat bangkit atas nama keadilan, melahirkan slogan reformasi, sebagai reaksi penentangan bagi menentang kezaliman Umno. Seluruh negara gempar dengan siri-siri demonstrasi, penangkapan, operasi itu dan ini sehingga mengheret ke ambang PRU ke-10.
Hasil Tsunami ini, protes ahli Umno berlaku dalam PRU ke-10. Terengganu jatuh ke tangan PAS dengan hanya meninggalkan BN empat kerusi. Di Kelantan mereka tinggal 2 kerusi. Kedah hampir-hampir ditawan PAS. Sebilangan kerusi tradisi BN berjaya ditawan pembangkang sehingga sekarang.
Akibat Tsunami ini, Umno hilang kepercayaan kepada Tun M sebagai presiden. Akhirnya beliau meletakkan jawatan, lalu digantikan oleh Pak Lah.
Tsunami Kedua
Kedua adalah TSUNAMI CINA, berlaku pada tahun 2013. Peralihan sokongan kaum cina dari BN kepada pembangkang begitu drastik sekali berlaku. Kaum India juga hampir separuh yang berpaling. Pada PRU ke-12, mereka beramai-ramai melakukan perubahan meninggalkan MCA, MIC dan juga Gerakan.
Kesan Tsunami ini, Pulau Pinang di bawah Gerakan jatuh ke tangan DAP. Perak, Kedah dan Selangor juga jatuh tanpa disedari. Kelantan mengekalkan kemenangan bergaya. Pembangkang berjaya menafikan majoriti 2/3 BN di Dewan Rakyat buat kali pertama dalam sejarah negara.
Kegagalan besar BN telah menyebabkan Pak Lah juga hilang kepercayaan. Beliau tidak dapat bertahan lama, terpaksa meletakkan jawatan lalu digantikan dengan proksi Tun M ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Tsunami Ketiga
Kini, berlaku semacam petanda tsunami baru bakal berlaku. Tsunami ini berbeza dari yang sebelumnya. Kerana ia bukan tsunami kaum, bukan tsunami akibat penindasan, tetapi tsunami atas dasar akidah. Tsunami yang disebut oleh ahli akademik Dr Iskandar Tan Abdullah sebagai TSUNAMI ISLAM.
Tsunami ini tercetus akibat serangan yang tidak putus-putus terhadap ajaran Islam dan institusinya. Siri-siri penentangan terhadap pemerkasaan syariah, campurtangan fatwa, kalimah Allah, sekatan ke atas penceramah agama dalam dan luar, penghinaan terhadap agama dan berbagai lagi perilaku yang mengundang kemarahan umat Islam.
Parti-parti, pertubuhan dan individu yang selama ini tidak pernah menyentuh isu orang Islam, kini terang-terangan menyatakan penentangan. Mereka yang dahulu kelihatan bermusuh, sanggup bersatu untuk menentang Islam. Bukan setakat non-muslim, bahkan ada orang Islam termasuk agamawan sendiri yang berpihak kepada mereka, membekalkan hujah dan peluru untuk meragui keabsahan ajaran Islam.
Kemarahan umat Islam terhadap fenomena ini jelas dilihat apabila mereka mula menyeru kepada kesatuan atas nama Islam. Atas nama agama, umat Islam membuang perbezaan aliran, jemaah, parti dan lokaliti untuk berdiri dalam satu saf yang sama. Himpunan menyokong RUU355, menjadi indikator besar bahawa umat ini masih memiliki sensitiviti tinggi terhadap agama. Pantang melihat Islam dicabar.
Beberapa kajian dan bancian yang dilakukan oleh berbagai pihak kebelakangan ini mengiyakan hipotesis ini. Ia berlaku terutama kepada kalangan orang muda dan kaum hawa beragama Islam. Sedar atau tidak, merekalah yang dominan dalam PRU14 akan datang.
Maka manifestasi Tsunami ini bakal kita lihat dalam PRU14 yang bakal tiba. Rakyat akan menghukum semua pihak yang bersifat prejudis terhadap Islam dan institusinya. Umat Islam akan bangkit dan bersatu menentang segala cubaan untuk melemahkan kredibiliti agama di negara ini.
Isu-isu yang boleh menyeru kepada perpaduan atas nama Islam perlu sentiasa digerakkan, untuk mengekalkan momentum yang baik ini sehingga PRU14. Selain RUU355, banyak lagi isu menyentuh maruah agama yang sedang diperlecehkan. Semua ini perlu disedari oleh umat Islam, supaya agama ini tidak terus dipermainkan.
Semoga kesedaran untuk membela Islam tidak hanya berlaku dalam tindakan politik sahaja. Sebaliknya ia terus berkekalan agar agama ini terus subur di hati dan terus mekar di bumi yang dicintai semua ini. - HARAKAHDAILY 10/3/2017

No comments:

Post a Comment