Tuesday, 14 March 2017

Pihak Halang Zakir Naik Tidak Hormat Perlembagaan



USAHA segelintir kecil individu yang cuba menghalang aktiviti dakwah Islam dengan menuntut perintah penangkapan dan pengusiran pendakwah terkenal Dr Zakir Naik adalah amat mengecewakan, demikian menurut Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaary.
Katanya yang tidak menolak kelompok ini juga sebahagiannya turut terlibat dalam aktiviti himpunan menentang RUU355 baru baru ini.
"Ia tidak menghormati Perkara 3 (1) Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai Ugama Persekutuan.


"Adalah lebih baik bagi kelompok ini mengutamakan perbincangan dan menghormati perlembagaan negara, berbanding memilih tindakan perundangan untuk menghalang aktiviti dakwah Dr Zakir Naik yang terbukti menerima sambutan ratusan ribu rakyat Malaysia dan jutaan lain di pelbagai negara," katanya.
Tambahnya, perbahasan dan wacana siapa Tuhan dan agama sebenar adalah sangat penting bagi seluruh manusia dan alam semesta bahkan  ia merupakan perkara paling asas dan tujuan asal penciptaan manusia.
Dr Zakir Naik adalah merupakan antara tokoh utama yang memberi kesedaran kepada sekalian manusia, tentang soalan asas manusia, iaitu siapa Tuhan sebenar dan agama mana yang paling benar.
"Saya bersama Dr Zakir Naik mengajak kepada semua untuk sama sama mengkaji dan mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah," katanya.
Sebelum itu, Marzuk membangkitkan isu bantahan terhadap kehadiran Zakir Naik sewaktu sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pagi ini. Beliau juga mencadangkan kepada kerajaan negeri  untuk membawa Dr Zakir Naik ke Kelantan.
Di dalam soalan asal kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Marzuk meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian Kerajaan terhadap kehadiran pendakwah terkenal Dr. Zakir Naik ke negara ini.
Apakah pendirian Kerajaan Malaysia terhadap bantahan kumpulan aktivis liberal tertentu dan lain-lain atas kehadiran Dr. Zakir Naik, tidakkah ini telah menceroboh hak dan tidak menghormati Perkara 3(1) Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.
Apakah pihak Kerajaan bercadang untuk mengambil tindakan ke atas kumpulan ini yang sebenarnya boleh mencetuskan ketegangan kaum yang boleh membawa kepada konfrontasi antara agama. – HARAKAHDAILY 14/3/2017

No comments:

Post a Comment