Thursday, 16 March 2017

DAP semakin berani campur tangan urusan Islam






Oleh AHMAD FADHLI SHAARI

DAP semakin ketara menonjolkan permusuhannya kepada Islam apabila mempertikai setiap perkara dan urusan yang ada hubungkait dengan agama ini termasuk segala imej dan simbolnya. Sekali gus, DAP telah menyerlahkan lagi doktrin politik Cauvinis atau perkauman yang didukung mereka.

Lontaran dikemukakan DAP mutakhir ini jelas satu bentuk perlekehan, memalit imej buruk dan campur tangan jelik yang boleh mengundang rasa tidak puas hati serta melebarkan lagi jurang perbezaan. Malah, menunjukkan DAP tidak mendukung agenda memupuk penyatuan harmoni kemajmukan masyarakat negara ini, termasuk menerusi pendidikan.

Penempatan guru Pendidikan Islam dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak sebagaimana dibangkitkan Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching tidak lebih sekadar alasan lunak untuk menjustifikasikan motif terselindung DAP terhadap agama Islam. Alasan atau hujah direkayasanya telah ketinggalan zaman dan umpama katak di bawah tempurung.

Sedangkan, proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk silibus digunapakai adalah seragam dan standard di seluruh negara, selain para guru turut tertakluk atas tatasusila yang khas. Jika terjadi prejudis dan unsur-unsur sebagaimana didakwa, sila kemukakan bukti.

Realitinya pengambilan atau penempatan sedemikian telah berlaku sekian lama, bahkan turut melibatkan kakitangan atau pegawai dari jabatan lain. Tidak pernah kedengaran situasi seperti itu hingga mempengaruhi, mencemar apatah lagi merosakkan pemikiran, budaya dan falsafah daripada perbezaan yang ada.

DAP sengaja mencipta kesangsian tersebut dan dangkal dalam mengakui serta memahami wujudnya kerencaman yang telah sebati dengan rakyat Malaysia. Semuanya dihadap dengan penuh hormat menghormati dan saling menerima antara satu sama lain. Malang sekali, DAP bersikap biadab dan menyuguhkan suara pecah belah.

Malah, wakil DAP semakin melalut, menyimpang dan karut apabila turut mengheret sensitiviti berkaitan kalimah Allah, pemakaian salib, berus cat bulu babi dan mazhab yang tidak seharusnya diperbesarkan lagi dan dicetus adu domba baru.AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment