Saturday, 4 March 2017

Jika Gobind berdegil, tunggu PRU14




Berita


Kedudukan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo akan tergugat jika dia berkeras menentang cadangan pindaan Akta 355 pada sidang Parlimen akan datang.

Pengerusi Sekretariat Ummah, Aminuddin Yahaya berkata, Gobind dan pimpinan parti rasis dan cauvinis DAP yang lain, diminta untuk tidak hadir ketika sesi pengundian di Parlimen jika tidak mahu menyokong usul yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.



“Yang penting, jangan membangkang. Jika tidak, kita akan terus berkempen di Puchong dan di kawasan-kawasan yang Ahli Parlimennya menentang RUU355 supaya pengundi Islam tidak lagi memilih mereka pada pilihan raya akan datang sebagai wakil rakyat,” kata Aminuddin kepada media selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Gobind Singh Deo di hadapan pejabatnya di sini hari ini.

Terdahulu, ketika berucap di hadapan 1,000 umat Islam pada himpunan aman di pekarangan Masjid Al-Husna dekat sini selepas solat Jumaat, Aminuddin menyeru pengundi-pengundi Melayu Islam di kawasan Puchong agar tidak lagi memilih Gobind jika dia kekal dengan pendirian menolak cadangan pindaan Akta 355.

“Saudara-saudara selaku pengundi di Puchong ini, pastikan jika beliau menentang hukum Allah ini, kita gugurkan dia daripada menjadi wakil rakyat pada PRU ke-14.

“Apa pasal dia nak bising? Ini tak ada kena mengena dengan dia. Ini hukum Islam, tak ada kaitan dengan bukan Islam. Walaupun 300,000 umat Islam telah berhimpun di Padang Merbok, dia tetap berkeras menentang cadangan pindaan ini.

“Sampaikan kepada pimpinan DAP, jangan jadikan ini sebagai polemik politik kerana dia sangat bahaya, bukan sahaja mengguris hati umat Islam, malah ia boleh menimbulkan perpecahan di kalangan kaum dan agama di negara kita.

“Kita harap dengan usaha kita hari ini, beliau dapat memikirkan secara rasional kenapa isu ini kita berusaha menghantar memorandum,” katanya.


No comments:

Post a Comment