Tuesday, 21 March 2017
RUU355: Kenapa DAP tidak lantang tahun 1984
PUTRAJAYA 20 Mac - Tindakan DAP menentang Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) atau RUU355 adalah sengaja dilakukan dengan motif politik untuk mengelirukan masyarakat bukan Islam.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, perkara tersebut begitu jelas kerana parti itu tidak lantang membantah sebelum ini semasa akta berkenaan pertama kali dipinda pada tahun 1984 selepas diluluskan di Parlimen pada tahun 1965.
"Kalau tengok hansard Parlimen pada tahun 1984, tidak silap saya ada 10 orang Ahli Parlimen berbahas, kenapa ketika itu tidak timbul undang-undang ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak adil, kenapa DAP tidak bangun menentang?
"Kerana apa? Kerana DAP yang jadi kepala pembangkang menggunakan isu RUU355 sekarang ini untuk kepentingan politik dan mempengaruhi orang bukan Islam, sedangkan undang-undang ini tiada kena mengena dengan orang bukan Islam," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pada 17 Mac lalu bahawa kerajaan sendiri akan membentangkan usul pindaan RUU355 dalam sidang Parlimen kali ini bagi mendapatkan kelulusan.
Pada November tahun lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang mencetuskan kontroversi bantahan berterusan daripada parti-parti pembangkang terutamanya DAP.
Menurut Noh yang juga merupakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sebagaimana yang telah diterangkan banyak pihak sebelum ini, RUU355 adalah bukan untuk mewujudkan akta baharu, sebaliknya merupakan pindaan terhadap undang-undang sedia ada.
"Semua kena hormat, ini masalah orang Islam, biarlah kita selesaikan masalah kita dan ini bukan undang-undang baharu, ini adalah pindaan, jangan sebab politik hendak campur tangan urusan orang Islam," katanya. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/ruu355-kenapa-dap-tidak-lantang-tahun-1984-1.459549#ixzz4bvGI24GT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Labels:
Undang-Undang Syariah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment