Tuesday, 21 March 2017

Kerajaan Pertimbang Naik Taraf KIAS



KEMENTERIAN Pengajian Tinggi disaran mempertimbangkan untuk menaik taraf Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) kepada kolej universiti.
Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra bertitah hasrat itu bersesuaian Universiti Islam Madinah menyatakan hasrat mengadakan program berkembar dengan Kias.
Titahnya perkembangan itu hasil keyakinan pihak universiti berkenaan terhadap pencapaian sistem pendidikan di Kelantan.



“Beta juga berasa sukacita di atas pencapaian cemerlang pelajar-pelajar Yayasan Islam Kelantan pada tahun-tahun kebelakangan ini.
“Aspek pendidikan yang menekankan pengajian berasaskan al Quran dan Sunnah terbukti berjaya melahirkan insan cemerlang,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ke-5 Dun Kelantan Ke-13 di Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.
Baginda turut merakamkan tahniah kepada Yik kerana berjaya menubuh Maahad Sains Tok Guru (MSTG) sebagai perintis modul tersendiri di negara ini.
Titahnya MSTG menggabungkan sains tulen dan agama secara bersepadu.
Baginda juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya membina dua wisma pelajar di Kaherah Mesir.
“Wisma Sultan Muhammad V dan Wisma Tengku Mahkota Kelantan adalah pembiayaan melalui Maik.
“Ia bertujuan untuk menjadikan asrama dan pusat kebajikan pelajar Kelantan yang belajar di sana,” titah baginda.
Terdahulu sebaik tiba di Plaza Kompleks Kota Darulnaim, baginda memeriksa perbarisan pasukan keselamatan.
Ketibaan baginda kira-kira jam 10.10 pagi disambut Speaker Dun Datuk Abdullah Ya’kub dan timbalannya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.
Turut mengiringi keberangkatan tiba baginda, Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah. - HARAKAHDAILY 20/3/2017

No comments:

Post a Comment