Thursday, 11 May 2017

Kelebihan Malam Nisfu Sya'ban

Mufti Wilayah Persekutuan
Irsyad al-Hadith Siri ke-70: Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban
Soalan:
Apakah status hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban (malam pertengahan bulan Sya’ban) dan juga amalan yang berkaitan dengannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang sahih. Di samping itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban.
Hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur. Antaranya melalui jalur Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.


|| Matan hadith ||
Di sini kami datangkan beberapa matan hadith yang berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban. Antaranya:
• Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]
• Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ اللهَ تعالى يَنْزِلُ ليلةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا ، فيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كلبٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing (bani) Kalb”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]
• Daripada Abu Tha’labah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ اطَّلَعَ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِ، وَيُمْلِي لِلْكَافِرِينَ، وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدَعُوهُ
Maksudnya: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya”. [Syu’ab al-Iman, no. Hadith 3551] Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2:560]
• Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَطَّلِعُ اللهُ عزَّ وجلَّ إلى خَلْقِهِ ليلَةَ النِّصفِ مِنْ شَعْبَانَ ، فيَغْفِرُ لِعبادِهِ إِلَّا لِاثْنَيْنِ مُشَاحِنٍ ، وقَاتِلِ نَفْسٍ
Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]
• Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]
• Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ يَغْفِرُ اللهُ لِعِبَادِهِ إِلَّا لمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Apabial tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Majma’ al-Zawaid, 8:68] Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]
• Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَنْزِلُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِكُلِّ نَفْسٍ إِلَّا إِنْسَانًا فِيْ قَلْبِهِ شَحْنَاء أَوِ المُشْرِكَ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan setiap yang bernyawa kecuali orang yang ada dalam hatinya permusuhan dan juga orang yang syirik”. Imam al-Bukhari mengatakan padanya nazhar (perlu diteliti),manakala Ibn ‘Adiy mengatakan sanadnya mungkar. [Lihat: Lisan al-Mizan, 5:269]
|| Tarjih Hukum Hadith ||
Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini. Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya. Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain. Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal. Walaubagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit namun amalan tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.
Antara ulama’ yang menyatakan sedemikian ialah Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika mentahqiqkan kitab Sahih Ibn Hibban bahawa hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sahih berdasarkan syawahid-syawahidnya dan syawahid-syawahid ini saling menguatkan antara satu sama lain dalam bab ini (kelebihan malam pertengahan bulan Sya’ban) walaupun setiap jalur itu mempunyai perbincangan. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 12:481]
|| Fiqh Hadith ||
Antara feqah hadith yang boleh diambil dan difahami daripada hadith-hadith ini:
• Terdapat hadith lain yang menyatakan bahawa Allah SWT turun pada setiap satu pertiga malam. Namun, di dalam hadith ini menunjukkan bahawa Allah SWT turun pada malam nisfu Sya’ban sepanjang malam sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi SAW. Malam bermula selepas terbenamnya matahari.
• Kita dituntut pada malam ini untuk memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT. Untuk itu, tidak dinafikan bahawa pada malam tersebut mempunyai kelebihan dan padanya terdapat keampunan serta penerimaan yang khusus bagi yang memohon ampun dan yang berdoa kepada-Nya. Disebabkan itu, Imam al-Syafie mengatakan sesungguhnya berdoa padanya iaitu pada malam nisfu Sya’ban adalah mustajab.
• Di dalam hadith ini juga menunjukkan keampunan Allah SWT amat luas. Antaranya firman Allah SWT yang menceritakan akan Allah SWT itu bersifat dengan pengampun. Firman Allah SWT:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا
Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun”. [Nuh:10]
• Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang syirik kepada-Nya melainkan dengan taubat. Berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. [al-Nisa’:48]
• Orang yang bermusuhan tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Ini ada disebut di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RA. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ، فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِالله شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا
Maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah SWT dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai”. [Riwayat Muslim, 4652]
• Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempunyai sifat dengki dan Allah SWT akan membiarkan mereka ini sehingga mereka meninggal sifat tersebut. Sifat dengki ini juga boleh digolongkan dalam golongan orang yang bermusuhan. Terdapat sebuah hadith yang melarang kita daripada sifat dengki ini. Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ تَبَاغَضُوا ، وَلاَ تَحَاسَدُوا ، وَلاَ تَدَابَرُوا ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا
Maksudnya: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5612]
• Di samping itu juga, orang-orang yang membunuh diri tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT kerana dosa membunuh diri termasuk di dalam dosa besar yang memerlukan seseorang itu bertaubat. Berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الموبِقَاتِ . قالوا : يَا رَسُولَ اللهِ : وَمَا هُنَّ ؟ قال : الشِّركُ بِاللهِ ، وَالسِّحرُ ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا ، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيْمِ ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ ، وَقَذْفُ المحْصَنَاتِ المؤْمِنَاتِ الغَافِلَاتِ
Maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat RA bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah perkara-perkara tersebut? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita mukmin yang suci melakukan zina”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2560]
|| Pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban ||
Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam nisfu Sya’ban:
Telah berkata Imam al-Syafie RA: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”. [Lihat: al-Um, 1:264]
Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]
|| Pendapat ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib (الرغائب) ||
Solat al-Raghaib adalah solat sunat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga ia dilakukan pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Selain itu, solat ini dilakukan antara waktu Maghrib dan Isyak. Antara dalil yang digunakan bagi menyatakan akan kewujudan solat ini adalah:
Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
يَا عَلِي, مَنْ صَلَّى مِائَة رَكْعَة لَيْلَة النِّصْفِ مِنْ شَعْبَان، يَقْرَأ فِي كُلِّ رَكْعَة بِفَاتِحَةِ الكِتَاب, وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدْ عَشرَ مَرَّات, إِلَّا قَضَى اللهُ لَهُ كُلّ حَاجَة
Maksudnya: “Wahai Ali, barangsiapa yang solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya”.
Hadith ini adalah palsu sebagaimana dihukum oleh Imam al-Syaukani , Imam Ibn al-Jauzi dan ramai lagi dalam kalangan ahli hadith. Selain itu, Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa antara hadith-hadith palsu adalah hadith berkaitan solat pada malam nisfu Sya’ban. [Lihat al-Manar al-Munif, 98]
Antara pendapat para ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib adalah:
• Telah berkata Ibn Hajar al-Haithami:
“Adapun solat sunat al-Raghaib adalah seperti solat yang biasa pada malam nisfu Sya’ban dan kedua-dua ini (solat pada awal malam dalam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban ) adalah bid’ah yang buruk dan dikeji. Hadith berkaitannya pula adalah palsu maka ia dibenci kepada pelakunya samada bersendiri atau berjemaah”. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1:216]
• Telah berkata Imam al-Nawawi:
“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu Maghrib dan Isyak dan juga solat pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang mungkar lagi buruk”. [Lihat: al-Majmu’, 3:548]
• Telah berkata Imam Ibn al-Jauzi:
“Solat al-Raghaib adalah palsu (direka) di atas nama Rasulullah SAW dan pendustaan ke atas Baginda SAW. Para ulama’ telah menyebut akan bid’ah dan keburukan kedua solat ini dengan beberapa cara: Antaranya adalah bahawa sahabat, tabi’in dan generasi selepas daripada mereka daripada kalangan imam-imam yang mujtahid tidak menyatakan akan kedua solat ini. Jika kedua solat ini disyariatkan maka mereka tidak akan terlepas daripada melakukannya. Tambahan pula, ia muncul selepas 400 tahun”.
• Telah berkata Imam al-Syaukani:
“Ini adalah solat al-Raghaib yang masyhur yang mana para huffaz telah bersepakat bahawa ianya palsu atau direka”. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 48]
Berdasarkan sebahagian pendapat ulama’ yang kami nyatakan ini, maka di sini kami ingin tekankan dan jelaskan bahawa solat al-Raghaib adalah tidak mempunyai asal di dalam agama dan ia merupakan satu pendustaan yang direka di atas nama Nabi SAW.
||Amalan yang digalakkan pada malam nisfu Sya’ban||
Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi. Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.
|| Penutup ||
Kesimpulannya, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadith yang kami nyatakan di awal perbahasan iaitu Allah SWT akan turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama, tidak ada amalan yang khusus pada malam nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama. Amin.

No comments:

Post a Comment