Monday, 15 May 2017

Darussyifa’ sasar miliki universiti sendiri

Darussyifa’
Abdul Rahman (duduk, dua dari kiri) bersama ahli lembaga penasihat 


BANGI - Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Malaysia (Darussyifa’) mensasarkan memiliki universiti sendiri dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Pengerusinya, Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya mengimpikan untuk melahirkan universiti sendiri bagi mengembangkan perubatan dan pengubatan Islam berdasarkan Ruqyah Syariah.

“Kita menyasarkan untuk ada universiti sendiri dalam tempoh beberapa tahun lagi. Pada masa ini, kita hanya mempunyai kira-kira lapan buah pusat pengajian (kecil) di seluruh negara,” katanya selepas majlis penyerahan watikah ahli lembaga penasihat Darussyifa' di sini, semalam.



Tiga tokoh arif dalam bidang masing-masing dilantik menjadi ahli penasihat Darussyifa’ yang baharu, iaitu Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulfikli Mohamad Al-Bakri; Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan pakar perunding otorhinolaryngologi Hospital Serdang, Dr Mohamad Doi.


Menurutnya, penubuhan universiti tersebut adalah sebagai menyambung hasrat pengasas persatuan itu, Allahyarham Datuk Dr Haron Din bagi mengembangkan rawatan Islam.

Dengan lebih 10,000 graduan yang dilahirkan Darussyifa’ setelah ditubuhkan kira-kira 29 tahun lalu, Abdul Rahman yakin, hasrat itu dapat direalisasikan.

Sebagai langkah untuk menubuhkan universiti itu, Darussyifa telah menubuhkan koperasi dan yayasan bagi mengumpul wang serta dana bagi membina pusat pengajian tinggi itu.

No comments:

Post a Comment