Thursday, 25 May 2017

Fatini: Isu buku Hannah Yeoh tanda ‘pensyarah bangkit’



Berita
"

KUALA LUMPUR, 24 Mei — Usaha pensyarah mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meneliti perlembagaan DAP perlu diraikan, kata pengkaji sejarah rusuhan Natrah.
Fatini Yaacob, pengarang Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata, menyifatkan tindakan itu sebagai “kebangkitan ahli akademik yang membisu” dalam isu Islam. 


“Untuk ini, kita raikan sebagai satu tanda, insya Allah, kepada kebangkitan kumpulan ahli akademik ini, yang selama ini diam membisu,” katanya kelmarin.
Bercakap dalam diskusi isu Natrah di Singapura pada 1950, yang membangkitkan kemarahan etnik itu, beliau suka jika pensyarah tidak mengikut kepentingan parti.
Kamarul Zaman Yusoff, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), mengambil tindakan itu selepas mendakwa aktiviti DAP bertentangan dengan Islam.
Beliau mengumpul lebih 100 tandatangan rakan sejawatan susulan aduan polis terhadap Speaker Selangor Hannah Yeoh berhubung isu Kristian.
Kamarul Zaman mendakwa buku Becoming Hannah: A Personal Journey cuba mempengaruhi pembaca termasuk Muslim agar cenderung kepada agama itu.
Yeoh menafikan dakwaan itu dan membuat aduan polis terhadap ahli akademik tersebut.
Mengulas lanjut, Fatini menyifatkan pendedahan Kamarul — yang meneliti butiran buku tersebut dengan terperinci — mengejutkan pemimpin DAP.
“[Pendedahan] itulah menjadi huru-hara di kalangan DAP. Segala sumpah seranah dan maki hamun [orang ramai] datang kepadanya,” kata pengarang itu lagi.
Tambahnya, beliau membangkitkan semula isu rusuhan Natrah demi mengingatkan Melayu yang “hebat tetapi tidak sedar diri” supaya bangun daripada tidur.
“Sebenarnya orang Melayu, rakyat marhain dengan pengorbanan, [sanggup] berkorban nyawa, sanggup dipenjara kerana kasih kepada agama.
“Apabila merdeka, tanggungjawab ini dipindahkan kepada kerajaan. Manakah kita apabila Islam dan Melayu dihina?” katanya.
“Kenapa keazaman politik tidak boleh menjawab, [atau] mematikan isu?”
Beliau juga menyatakan rasa kesal apabila orang Islam didakwanya tidak sepakat menyokong rang undang-undang (RUU) pindaan Akta 355 yang diusulkan oleh PAS.
Demonstrasi Natrah atau nama asalnya Maria Huberdina Hertogh, remaja Belanda yang dibesarkan sebagai Islam di Terengganu, meledak di Singapura apabila ibu bapanya ingin mengambilnya semula.
Kisah perebutan hak penjagaan itu, yang melibatkan proses mahkamah, mencetuskan kebangkitan orang Melayu terbesar sebelum kemerdekaan.
sumber : https://kelatedaily.blogspot.my/2017/05/fatini-isu-buku-hannah-yeoh-tanda.html

No comments:

Post a Comment