Sunday, 28 May 2017
Azmin sokong henti keluar lesen pusat hiburan keluarga
SHAH ALAM: Menteri besar Selangor menyambut baik gesaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri berhenti mengeluarkan lesen pusat hiburan keluarga kerana terlalu banyak kes salah guna lesen untuk tujuan perjudian.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri itu sejak awal berpendirian aktiviti tidak sihat perlu dihentikan, tetapi memerlukan kerjasama polis untuk menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan.
“Kita akan lihat di bawah peruntukan undang-undang, bidang kuasa mana yang keluarkan lesen, terlibat dengan penguatkuasaan. Apa yang penting, perlu ada kerjasama antara PBT dan polis.
“Bidang kuasa PBT amat terhad dan kita perlukan kerjasama juga dari polis supaya usaha ini dapat kita pantau dan dikuatkuasakan kerana mahu masyarakat Selangor terjamin keselamatannya,” katanya selepas majlis perasmian mengagihkan bubur lambuk di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Semalam, Khalid dilaporkan berkata, tidak adil untuk mana-mana pihak menuding jari kepada polis dalam isu pencegahan judi, sedangkan PBT sendiri yang mengeluarkan lesen dan mempunyai peruntukan undang-undang bagi membendungnya.
Khalid berkata demikian susulan penahanan pegawai polis disyaki mengutip wang daripada pengusaha pusat judi tanpa lesen dan rumah urut di sekitar Melaka, baru-baru ini.
Sehingga kini, 13 individu termasuk 9 pegawai dan anggota polis di Melaka ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.
Sebelum ini, beberapa pemimpin di Selangor turut mempertikaikan lambakan rumah urut di negeri itu sejak ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat pada 2008.
Malah, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos pada 25 Januari lalu membawa katil bujang dan bantal ke pintu utama bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, sebagai bantahan terhadap lambakan rumah urut di Selangor yang mengundang gejala tidak sihat.
Labels:
Keluarga Sosial Dan Komuniti
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment