Thursday, 13 July 2017

Titisan Air Di Batu Mengajar Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani Erti Hidup



Syihabuddin Abul Fadhl Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Mahmud bin Ahmad bin Hajar al-Kannani al-Qabilah al-Asqalani atau lebih dikenali sebagai Ibnu Hajar al-Asqalani merupakan seorang ulama, ahli hadis dan ahli sufi yang terkemuka dari Mazhab Syafie.

Beliau juga mendapat gelaran Syeikhul Islam. Beliau digelar ‘al-Asqalani’ kerana disandarkan dari tempat asal keturunannya di Asqalan, sebuah kota yang terletak berdekatan Gaza, Palestin.

Beliau dilahirkan pada 12 Syaaban tahun 773H bersamaan tahun 1372M di pinggir Sungai Nil, Mesir.

Pada usianya empat tahun, ayahnya seorang ulama yang berkhidmat di pejabat mufti Mesir telah meninggal dunia, dan disusuli pula oleh ibunya, bernama Tujjar beberapa tahun selepas itu.




Maka, bermulalah perjalanan hidup Ibnu Hajar al-Asqalani sebagai seorang yatim piatu. Namun begitu, beliau bernasib baik kerana masih mempunyai seorang kakak yang menjaganya.

Beliau membesar dan menjalani kehidupan dengan penuh kesederhanaan, di bawah asuhan dan didikan kakaknya sendiri.

Peribadi Ibnu Hajar al-Asqalani banyak dipengaruhi oleh kakaknya yang amat cerdas dan rajin mentelaah kitab.

Hal ini turut diakui oleh Ibnu Hajar al-Asqalani sendiri yang memujinya;


“Beliau adalah ‘ibuku’ setelah ibu yang melahirkanku. Beliau juga adalah wanita yang memiliki banyak ijazah ilmu dari ulama Mekah, Damaskus, Balbek dan Mesir.”


“Beliau mempelajari khat, menghafal al-Quran, bahkan termasuk dalam kalangan orang yang banyak menelaah kitab, beliau bijak dalam hal itu. Dan, beliau amat baik dan sangat sayang padaku.”

Seperti anak muda yang lain, Ibnu Hajar al-Asqalani dihantar ke madrasah untuk menuntut ilmu. Namun, beliau agak ketinggalan berbanding teman-temannya yang lain.


Beliau sering lupa akan pelajaran yang diajarkan oleh gurunya di madrasah. Hal itu membuatkannya patah semangat dan berputus asa.

Beliau pernah meninggalkan sekolahnya dan berjalan pulang ke rumah. Namun, di tengah-tengah perjalanan, hujan turun dengan lebatnya. Lantas, beliau segera mencari tempat berteduh dan menemui sebuah gua. Lalu, berteduh di gua itu.

Ketika hatinya amat gundah dan kecewa dengan dirinya sendiri, dilihatnya sekeliling gua itu dan secara tiba-tiba, pandangannya tertumpu pada seketul batu yang berada tidak jauh darinya.

Dia terlihat titisan hujan yang jatuh ke atas seketul batu melubangi batu itu. Beliau sangat tertarik dengan apa yang dilihatnya.

Ujar Ibnu Hajar al-Asqalani yang tergamam dengan apa yang dilihatnya;


“Ini benar-benar ajaib! Tidak mungkin batu itu boleh berlubang hanya kerana titisan air?”

Beliau terus mengamati titisan air yang mengenai batu itu, lalu membuat kesimpulan bahawa batu itu berlubang kerana titisan air yang jatuh secara terus-menerus.

Melihat peristiwa itu, beliau memperolehi suatu pengajaran penting atau bermakna yang mengubah tindakan dan pemikirannya. Beliau berbisik kepada dirinya;


“Batu yang keras saja boleh berlubang dengan hanya titisan air, apatah lagi kepalaku ini yang tidak sekeras batu. Oleh itu, kepalaku ini mesti boleh menyerap segala ilmu pelajaran jika aku lebih tekun, rajin dan sabar.”

Sejak itu, semangatnya untuk menuntut ilmu semakin membara. Beliau segera kembali ke madrasah dan menemui gurunya, lantas menceritakan peristiwa yang dilihatnya itu.

Melihatkan semangat yang berkobar-kobar dalam diri Ibnu Hajar al-Asqalani, gurunya menerimanya kembali menjadi murid di madrasah itu.

Semakin hari perubahan Ibnu Hajar al-Asqalani semakin menonjol. Gurunya turut mengakui akan kecerdasan anak muridnya itu yang mengatasi teman-temannya yang sudah bergelar ulama ketika itu.

Ibnu Hajar terus menjadi seorang murid yang bersemangat tinggi, bijak, memiliki hafalan yang kuat dan pemahaman yang baik.

Hal itu sangat memudahkan beliau untuk menguasai pelbagai disiplin ilmu yang diajarkan padanya. Sehinggakan seawal usia 12 tahun, beliau telah dilantik menjadi imam solat Tarawikh di Masjidil Haram.

Beliau berguru dengan ramai alim ulama ketika itu, bahkan sanggup merantau ke daerah yang jauh dari tempat tinggalnya, semata-mata ingin mendalami ilmu.

Antara gurunya ialah, al-Hafiz al-Iraqi; seorang syeikh yang terkenal sebagai ahli fiqh dan mahir tentang Mazhab Syafie.

Selain itu, beliau turut berguru dengan Nuruddin al-Haitsami (ilmu Hadis), Syamsuddin al-Ghumari (Kesusasteraan Arab), Syeikh Ibrahim at-Tanukhi (Qiraat), Syeikh Abu Hafsh Sirajuddin al-Kinaani (ilmu Fiqh) dan ramai lagi guru-guru yang hebat.

Berkat kegigihannya, beliau dikenali sebagai salah seorang ulama tersohor di seluruh dunia dengan kemahiran luar biasa dari sudut Bahasa, Nahu dan Sastera.

Bahkan, beliau turut dikenali sebagai seorang Mu’arrikh (sejarawan), kerana gemar membuat kajian mengenai sejarah, peristiwa dan kehidupan para perawi hadis secara teliti.

Selain itu, Ibnu Hajar al-Asqalani turut dikenali sebagai seorang Mufassir (ahli Tafsir). Selain turut menghafal dan memahami al-Quran, mengetahui Qiraat serta mendalami ilmu al-Quran.


Ibnu Hajar al-Asqalani turut menguasai ilmu Hadis Dirayah dan Riwayah, serta mampu mengesan kecacatan sesebuah hadis, sanad, nama perawi hadis, biografi para perawi, jarh dan ta’dil, sesuai dengan gelarannya sebagai ulama ilmu hadis.

Beliau juga dikenali sebagai seorang faqih (ahli Fuqaha’) kerana mempunyai kaedah tersendiri dalam mendalami ilmu Fiqh; iaitu dengan menggabungkan antara Fiqh dan Hadis.
Beliau mampu melakukan istinbath (mengambil kesimpulan hukum dari nas), dan menggabungkan beberapa pendapat sehingga bergelar muhaddis al-fuqaha’ (pakar hadis) dan faqih al-muhaddisin (pakar hadis). Hal ini amat jarang dilakukan oleh seseorang dengan sekaligus.

Ibnu Hajar al-Asqalani turut memiliki banyak kitab hasil karangan beliau sendiri yang menjadi rujukan umat Islam sehingga ke hari ini.

Antara kitabnya yang terkenal, ialah Kitab Fathul Bari Syarh Shahih Bukhari, yang merupakan penjelasan dari kitab Shahih milik Imam Bukhari dan disepakati sebagai kitab penjelasan Shahih Bukhari yang paling terperinci.

Selain itu, karya lainnya ialah Bulughul Maram min Adillatil Ahkam, Al-Ishabah Fi Tamyizish Shahabah, Tahzibut Tahzib, Ad-Durarul Kaminah, Taghliqut Ta’liq, Inbaul Ghumr bi Anbail Umr dan banyak lagi.

Menurut salah seorang muridnya iaitu Imam asy-Syakhawi, Ibnu Hajar al-Asqalani memiliki 270 buah kitab yang dikarang sendiri.

Sebahagian pengkaji mendapati dan menemui terdapat 282 buah kitab, yang kebanyakannya berkaitan dengan pembahasan hadis, secara riwayat dan dirayat (kajian).

Begitulah serba sedikit mengenai perjalanan hidup seorang ulama besar Islam, yang juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Qadhi Mesir iaitu, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani.

Walaupun dibesarkan tanpa ibu bapa tercinta, beliau masih boleh berdikari bersama kakaknya yang sentiasa mendorong dirinya untuk menjadi insan berguna.

Beliau bermula daripada seorang pelajar yang dianggap lemah dalam pelajaran, namun berjaya dikenali di seluruh dunia sebagai seorang ulama terkenal yang pakar dalam bidang agama.

Ini kerana semangatnya yang tinggi dalam menuntut dan mencintai ilmu daripada para ulama zaman silam mendorongnya untuk berada sebaris bersama-sama mereka.

Kisah beliau patut menjadi inspirasi dan motivasi bagi kita semua. Sungguh, tiada istilah ‘terlewat’ untuk mencipta kejayaan selagi tekad dan kesungguhan menggunung dalam diri. Hal ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t;


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sehingga ia sendiri yang mengubah keadaan mereka sendiri.”Surah ar-Ra’d :11

Beliau wafat pada tahun 852H di Mesir, selepas solat Isyak ketika usianya 79 tahun setelah beberapa bulan sakit.

Jenazahnya dikebumikan sekitar Qarafah as-Sughra, di Perkuburan bani al-Kharubbi berdekatan dengan makam Imam Syafie dan Syeikh Muslim as-Silmi.

Ramai yang hadir pada majlis pengebumiannya termasuk sultan, khalifah, dan para pembesar. Dikatakan seramai 50,000 hadirin membanjiri kawasan pengebumiannya ketika itu.

Semoga Allah s.w.t merahmati beliau. Amiin.


“Belajar sesuatu ilmu hendaklah dilakukan dengan bertahap. Ini kerana jika sesuatu permulaannya mudah, ia akan menarik bagi orang-orang yang mempelajarinya. Jika hal itu terjadi, maka pelajaran pun akan diterima dengan mudah. Akhirnya, sedikit demi sedikit ilmunya akan bertambah.”Kata Mutiara Ibnu Hajar al-Asqalani dari Kitab Fathul Bari

No comments:

Post a Comment