Thursday, 13 July 2017

Lebih Seribu LGBT Disantuni JAKIM – Ketua Pengarah JAKIM



PUTRAJAYA: Demi menangkis gejala homoseksual yang semakin menular di kalangan rakyat Malaysia khasnya orang Melayu Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan program kerohanian khusus untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dinamakan sebagai Program Mukhayyam JAKIM. Menurut Ketua Pengarah JAKIM Tan Sri Dato’ Haji Othman Bin Mustapha, tujuan program berbentuk perkhemahan selama 3 hari 2 malam bagi setiap siri ini adalah bagi membimbing dan memberi kesedaran kerohanian kepada komuniti LGBT melalui pendekatan agama demi mengembalikan mereka kepada fitrah. 




Program Mukhayyam ini sudah dimulakan sejak bulan Mei 2011 dan masih berjalan sehingga ke hari ini. Seramai 1195 orang peserta dari kalangan gay, lesbian dan transgender telahpun menjayakan program tersebut. “Program Mukhayyam ini disokong oleh aktiviti susulan seperti usrah dan kelas pengajian al-Quran. Ia sangat penting agar kesedaran melakukan perubahan ke arah kehidupan yang menepati kehendak syariat ini berpanjangan.” Secara umumnya, program Mukhayyam ini berjaya mencapai objektif apabila kebanyakan peserta menunjukkan respon yang positif dan memberangsangkan. 

Peserta yang sebelum ini mengubah penampilan, kembali berpenampilan mengikut fitrah. Bagi yang masih berpenampilan selain fitrah sekurang-kurangnya mereka tidak lagi pulang ke lorong mencari pelanggan. Mereka sama-sama bermujahadah dalam menangani ketertarikan sama jenis (lesbian dan gay) serta berusaha meninggalkan perlakuan homoseksual. “Respon para peserta Mukhayyam mengakui mereka dapat mengingati semula asas agama seperti solat dan fardhu ain, menginsafi tanggungjawab diri terhadap Allah dan orang lain, membetulkan salah faham terhadap golongan agama dan masyarakat yang selama ini dianggap bersifat menghukum terhadap golongan yang melakukan kesalahan serta membina semula keyakinan diri,” kata Tan Sri Dato’ Haji Othman Bin Mustapha. 

Apabila ditanya, bagaimana golongan LGBT yang berjaya dipulihkan meneruskan kehidupan mereka? Tan Sri Dato’ Haji Othman menjawab bahawa mereka (peserta Program Mukhayyam) berusaha mencari pekerjaan yang lebih baik seperti berniaga dan bekerja sendiri serta bekerja dengan majikan yang bersesuaian. “Bantuan modal awal perniagaan untuk ekonomi sara diri sama ada melalui insiatif komuniti atau agensi seperti Jakim, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri dan NGO juga diberi.” Buat masa ini, program anjuran JAKIM ini dilaksanakan di semua negeri kecuali di negeri Perlis yang akan dilaksanakan dalam masa akan datang

Read more at: https://www.menara.my/lebih-seribu-lgbt-disantuni-jakim-ketua-pengarah-jakim/

No comments:

Post a Comment