Sunday, 2 July 2017

Qatar tegas tolak 13 tuntutan negara Arab


Post Pic
 
 
DUBAI: Qatar bakal berdepan sekatan tambahan daripada negara Arab, selepas Doha bertegas negara itu tidak akan memenuhi tuntutan yang dikemukakan, menjelang tarikh akhir pada tengah malam ini. 
 
Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, berkata semua tuntutan itu dikemukakan dengan tujuan untuk ditolak, kerana ia bukan dibuat berdasarkan matlamat menangani keganasan, sebaliknya bagi menjejaskan kedaulatan negaranya. 
 
Bagaimanapun, ketika bercakap kepada pemberita di Doha, Sheikh Mohammed berkata, mereka bersedia berbincang bagi menangani segala kebimbangan yang ditimbulkan oleh negara jiran Arabnya. 
 
"Senarai tuntutan itu memang dibuat untuk ditolak. Ia bukan dibuat untuk kami menerimanya atau untuk berbincang. 
 
"Qatar menolak tuntutan itu atas dasar prinsip, kami sedia mengadakan dialog, menyediakan syarat yang sesuai bagi mengadakan dialog selanjutnya," kata Sheikh Mohammed di Rome. 
 
Malah, beliau berkata, tidak ada mana-mana pihak berhak untuk mengenakan tuntutan kepada sebuah negara berdaulat. 
 
Krisis itu meletus bulan lalu, selepas Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dan perjalanan dengan Qatar, atas tuduhan negara itu menyokong keganasan, selain menyokong musuh rantau Arab, iaitu Iran. 
 
Namun, Qatar menafikan semua tuduhan berkenaan. 
 
Semua negara terbabit, kemudiannya mengemukakan senarai 13 tuntutan dipenuhi oleh Doha dalam tempoh 10 hari dan diserahkan oleh Kuwait, selaku orang tengah bagi menyelesaikan krisis berkenaan. 
 
Jika Qatar gagal memenuhi semua tuntutan itu, sekatan tambahan akan dikenakan ke atas negara itu. 
 
Antara tuntutan itu termasuk menutup pangkalan tentera Turki di Qatar dan menutup operasi rangkaian televisyen Al-Jazeera.

No comments:

Post a Comment