Saturday, 29 July 2017

Pusat Sufi Sedunia akan ditubuhkan


Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi - Foto Bernama


    KUALA LUMPUR - "Pusat Sufi Sedunia akan ditubuhkan di sini sebagai pusat untuk menjalankan kajian dan menghimpunkan pandangan mengenai amalan itu, seterusnya menyebarkannya ke seluruh dunia," kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Beliau berkata, sebagai permulaan seorang derwaman bersetuju untuk menyumbang US$1 juta bagi tujuan itu.

    "Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada ilmuwan, ulama-ulama dan pemikir-pemikir Islam yang mengamalkan sufisme di seluruh dunia dan mengetepikan perbezaan-perbezaan pendapat dalam kalangan kita.

    "Kita gunakan usaha (penubuhan pusat itu) di Kuala Lumpur ini, di Malaysia ini untuk menyatukan pemikiran kita supaya umat Islam di seluruh dunia menjadi kuat semula," katanya semasa berucap bagi menyempurnakan penutupan Konferens Ulama Antarabangsa dan Majlis Zikir Perdana Sedunia 2017 di sini, hari ini.

    Katanya, penubuhan pusat itu juga diharap dapat membantu membetulkan pandangan serong, prasangka dan prejudis terhadap agama Islam.

    Idea penubuhan pusat itu dipersetujui para ulama, mufti dan ilmuwan Islam daripada 38 negara yang berhimpun di sini pada persidangan itu yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam keseluruhannya untuk memperbetulkan pandangan serong penganut agama lain terhadap agama Islam yang berpunca daripada perbuatan ekstremisme segelintir pihak.

    Katanya, umat Islam perlu memberitahu dunia bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan keamanan dan perlu menyisihkan kumpulan pelampau seperti Daesh dan IS daripada agama itu.

    "Islamophobia mesti dihakis dari hati penganut agama lain dan Islam juga perlu diterima sama seperti agama lain," katanya.

    Dalam konteks Malaysia pula, Ahmad Zahid berkata rakyat negara ini perlu bersyukur dengan keamanan yang dikecapi di sini dan berterima kasih kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam mengekalkan keadaan itu.

    "Kita harus berterima kasih kepada mereka dalam kalangan pemimpin atau siapa sahaja yang mungkin berada dalam kumpulan yang berbeza untuk tanda syukur kita kepada Allah SWT," kata timbalan perdana menteri.

    Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia Datuk As'ari Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas majlis itu memberitahu, pusat itu akan mengkaji permasalahan umat Islam terutama dalam mengamalkan amalan sufi.

    Katanya, buat permulaan pusat itu yang dijangka ditubuh pada hujung tahun ini akan dikendalikan oleh pertubuhan itu yang mungkin akan bekerjasama dengan pihak universiti tertentu.

    "Untuk pusat sekretariatnya mungkin kita boleh tubuhkan dalam tahun ini dan selepas ada bangunan sendiri nanti kita akan pindah ke bangunan itu kerana untuk ada bangunan sendiri akan ambil masa," katanya.

    Turut hadir pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. – Bernama

    No comments:

    Post a Comment