Wednesday, 26 July 2017
Ariel Sharon, Firaun Zaman Moden?
“Israel mempunyai hak untuk mendakwa orang lain, tetapi tiada siapa yang berhak untuk mendakwa orang Yahudi dan Israel.” (Israel may have the right to put others on trial, but certainly no one has the right to put the Jewish people and the State of Israel on trial). Kata-kata ini diungkapkan oleh Ariel Sharon pada tahun 2001 apabila golongan pencinta kemananan berbangsa Yahudi membidas tindakan keras dan kasarnya terhadap rakyat Palestin. Menurut Sharon, kata-kata ini merupakan doktrin ketenteraan yang dipegang dalam misi hidupnya.[1]
Siapakah Ariel Sharon? Ariel Sharon (Arik Sharon), bekas Perdana Menteri Israel yang ke-11 ini merupakan salah seorang penyambung legasi kekejaman dan kezaliman terhadap rakyat Palestin. Dilahirkan pada 26 Februari 1928, Ariel Sharon atau nama sebenarnya Ariel Scheinerman sedari kecil lagi telah berjinak-jinak dengan aktiviti terorisme.[2] Seawal usia 14 tahun, Ariel Sharon menyertai Haganah, sebuah kumpulan teroris Zionis yang berjuang untuk menubuhkan Israel dan kemudiannya dikembangkan menjadi Pasukan Pertahanan Israel (IDF). Unit Haganah Ariel Sharon terlibat dalam Pertempuran Untuk Jerusalem (Battle for Jerusalem) yang menyaksikan perkampungan Arab dimusnahkan secara total tanpa belas kasihan.
Setelah beberapa tahun dalam Haganah, Sharon kemudiannya dilantik menjadi ketua unit khas pertama tentera Israel iaitu Unit 101 atas arahan Ben-Gurion, Perdana Menteri Israel ketika itu. Unit 101 merupakan unit pertama dalam sejarah IDF yang menjalankan teknik pembantaian terhadap pihak lawan. Dibawah pimpinan kejam Sharon, Unit 101 terlibat dalam pembunuhan rakyat Palestin dan negara-negara Arab yang lain. Salah satu siri kekejaman yang dijalankan oleh Unit 101 adalah pembunuhan di Qibya.[3]
Pembunuhan beramai-ramai Qibya berlaku sewaktu Operasi Shoshana pada tahun 1953 telah menyebabkan seramai 69 penduduk Palestin terbunuh dan banyak infrastruktur yang dimusnahkan. Majoriti penduduk yang dibunuh terdiri daripada kalangan wanita dan kanak-kanak. Tindakan tidak berperikemanusiaan ini mendapat kecaman daripada pelbagai pihak seperti Jabatan Negara Amerika Syarikat (US State Department) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang akhirnya melumpuhkan operasi Unit 101.[4]
Dunia menyaksikan rakyat Palestin terus bermandikan darah, setahun selepas Sharon menjawat jawatan Menteri Pertahanan dalam peristiwa Sabra dan Shatila. Beribu-ribu rakyat Palestin yang tidak bersalah dibunuh di kem Sabra dan Shatila oleh puak militan Kristian Phalangist. Sharon mendakwa bahawa kejadian ini adalah dengan tujuan untuk menghapuskan lubuk ahli-ahli Organisasi Pembebasan Palestin (PLO) yang dianggap sebagai pengganas.[5]
Kematian para pejuang dan orang awam semakin meningkat selepas Sharon menjadi Perdana Menteri Israel. Pemerintahannya dihiasi dengan kemusnahan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa. Hampir semua kegiatan yang bertentangan dengan hak asasi manusia khususnya hak asasi rakyat Palestin diketuai oleh Sharon seperti perluasan penempatan haram Israel dan pemusnahan penempatan rakyat Palestin. Sharon diserang strok buat kali kedua pada tahun 2006 yang menyebabkannya dilucutkan jawatan sebagai Perdana Menteri Israel. Pemerintahannya diambil alih oleh Ehud Olmert. Setelah koma selama 8 tahun, penguasa zalim ini akhirnya meninggal dunia pada 11 Januari 2014.[6]
Namun, penderitaan fizikal dan jiwa rakyat Palestin masih lagi tidak berakhir. Terkini, mereka berhadapan pula dengan kekejaman Zionis yang bertindak menutup Masjid Al Aqsa dan menyekat rakyat Palestin daripada menunaikan solat di dalamnya. Walaupun ditindas puluhan tahun lamanya, namun keimanan yang tinggi dan semangat juang dalam jiwa setiap seorang dari rakyat Palestin tetap membara demi agama Islam dan negara tercinta. Mereka percaya bahawa Palestin akan mendapat hak dan dapat dibebaskan suatu hari nanti.
[1] Ishamael J. Poetry of Love and Protest, (2007.) Telesend Gateway Inc, p.84.
[2] www.jewishvirtuallibrary.org/ariel-sharon
3] http://www.npr.org/2014/01/15/5132166/reports-ariel-sharon-whose-life-and-career-shaped-israeli-history-dies
[4] Byman, Daniel (2011). A High Price: The Triumphs and Failures of Israeli Counterterrorism
[5] Malone, Linda A. (1985). “The Kahan Report, Ariel Sharon and the SabraShatilla Massacres in Lebanon: Responsibility Under International Law for Massacres of Civilian Populations”
[6] http://www.israelnationalnews.com/News/News.aspx/175845
Read more at: https://www.menara.my/ariel-sharon-firaun-zaman-moden/
Labels:
Dunia Islam Global
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment