Wednesday, 16 November 2016

Amerika mahu Islam gaya mereka, bukan dari Allah


IMRAN AL-MALIZI | .


Wawancara: “Isu Umat Islam di Timur Tengah” - Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi

DUNIA Islam kini seakan membisu daripada membicarakan isu Umat Islam di Timur Tengah terutamanya isu Palestin dan perkembangan berkaitan serangan pemikiran yang melanda gerakan Islam di segenap pelusuk dunia. Namun, Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi yang dikenali sebagai tokoh ilmuwan Islam tidak pernah sunyi memperjuangkan isu-isu umat Islam di rantau tersebut. Ikuti temubual koresponden Harakah bersama beliau di ibu negara Amman – Jordan baru-baru ini.

HARAKAH: Apakah jangkaan tuan berkenaan perkembangan politik di Palestin setelah berlaku pertemuan antara pemimpin Hamas-Fatah, Khalid Mishaal dan Ismail Haniyeh bersama Mahmoud Abbas di Qatar pada 27 Okt 2016 baru-baru ini?

DR. SOLAH: Di Palestin terdapat dua aliran. Satu aliran penentangan, pertahanan dan perjuangan jihad yang diketuai oleh Hamas di Gaza dan Tebing Barat. Satu lagi adalah aliran golongan yang berkhidmat kepada Israel ialah Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dipimpin oleh Mahmoud Abbas dan Muhammad Dahlan daripada golongan Fatah. Mereka ini ibarat khadam kepada Yahudi (Zionis). Terdapat hubungan keselamatan dan penyelarasan perisikan antara PA dan penjajah Israel. PA akan melaporkan apa sahaja aktiviti yang berlaku di Tebing Barat secara konsisten.



Sekarang ini terdapat pertelingkahan antara Abbas dan Dahlan. Saya berpendapat Abbas sedang menunjukkan tanda protesnya melalui pertemuan dengan musuh mereka iaitu Hamas sehingga dilihat adanya kerjasama untuk menentang kelompok Dahlan dalam Fatah.

Namun, Hamas bertindak dengan bijak dalam isu ini apabila dalam pertemuan tersebut, Mishaal dan Haniyeh tetap menegaskan pendirian mereka iaitu tetap teguh dengan perjuangan dalam berhadapan dengan pihak penjajah, tiada rundingan keselamatan dengan Zionis. Manakala Abbas tidak boleh menerimanya, lalu pertemuan itu tidak mencapai apa-apa kejayaan dan gagal. Tiada apa-apa persefahaman antara Hamas dan Abu Mazen (Mahmoud Abbas). Umpama cahaya dan kegelapan. Bagaimana kedua-duanya dapat bersatu? Itu tidak mungkin.

HARAKAH: Adakah benar terdapat takwilan hadis berkenaan pokok “Gharqad” yang menjadi benteng orang-orang Yahudi itu adalah simbolik kepada para pemerintah negara-negara Arab saat ini?

DR. SOLAH: Pemerintah sekular yang mengikut telunjuk Yahudi? Ini perkara biasa. Hadis ini berbicara tentang pengakhiran orang-orang Yahudi dalam peperangan yang terakhir (dengan kaum Muslimin). Sabda Nabi SAW: “Tidak akan berlakunya Kiamat sehinggalah kaum Muslimin memerangi orang-orang Yahudi, lalu orang-orang Islam membunuh mereka sehingga orang Yahudi berlindung di sebalik batu dan pokok kayu. Lalu berkatalah batu atau kayu itu; Wahai Muslim! Wahai Hamba Allah! Ini Yahudi berlindung di belakangku, datanglah dan bunuhlah dia. Kecuali pokok al-Gharqad kerana sesungguhnya ia adalah pohon Yahudi.” (Sahih Muslim).

Sebenarnya kita boleh menerima perkataan “Gharqad” ini dengan dua makna. Pertama secara hakikatnya ia adalah sejenis pohon yang berduri dan batangnya kecil. Pohon ini dulunya terdapat di tepi jalanan Amman, Jordan. Dikenali sebagai pohon padang pasir yang tiada berbuah. Hanya terdapat biji-bijian kecil berwarna merah dan tidak dimakan kecuali oleh haiwan liar. Bagi orang-orang Yahudi, pohon itu seakan-akan menjadi pelindung mereka. Itu jika difahami pohon yang wujud itu secara hakiki.

Namun jika kita melihat makna secara metafora, para pemerintah negara-negara Arab sekarang ini mereka itulah “Pohon-pohon Gharqad”. Merekalah yang berkawal menjaga keselamatan orang-orang Yahudi di bumi Palestin. Kaum Yahudi (Zionis) sangat bersiaga agar jangan tertegaknya pemerintahan Islam di rantau ini. Apabila Presiden Dr. Muhammad Mursi berusaha untuk menegakkan hukum Islam di Mesir, mereka mendatangkan Jeneral Abdul Fattah As-Sisi merampas kuasa agar Islam tidak dapat memerintah.

Ini kerana mereka mengetahui jika Islam berkuasa, Yahudi akan lenyap di rantau ini dan Islam akan menang dengan izin Allah Ta’ala. Oleh itu para pemimpin Arab kini adalah pengawal yang menjaga negara penjajah Yahudi (Israel) di bumi Palestin.

Boleh jadi hadis ini menunjukkan dua makna. Pohon Gharqad sememangnya ditanam di Bir al-Sabi’ oleh para pendatang Yahudi dan menjadi sebahagian landskap penempatan mereka. Rasulullah SAW memberitahu bahawa terdapat hubungan kecintaan Yahudi dengan pohon itu kerana ia adalah “Pohon Yahudi”.

HARAKAH: Apa pula pandangan tuan tentang strategi musuh yang melaga-lagakan umat Islam dengan pertentangan aliran-aliran seperti Sunni-Syiah, Salaf-Khalaf, Wahhabisme-Sufisme dan seumpamanya dalam negara-negara umat Islam mutakhir ini?

DR. SOLAH: Perbezaan antara aliran-aliran dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh diterima. Tiada masalah antara Al-Asya’irah dan al-Salafiyyah walau pun ada perbezaan, namun masih boleh diterima. Secara umumnya tiada masalah.

Apa yang menjadi masalah ialah pertentangan antara kelompok dan kumpulan. Seperti Sunni dan Syiah pada hari ini (yang menjadi pertembungan politik). Syiah adalah kelompok minoriti dalam Islam yang mana pengikutnya tidak sampai 100 juta. Manakala pengikut Sunni berjumlah kira-kira 1400 juta.

Apa yang berlaku pada hari ini Amerika Syarikat (AS) dan Israel tidak mahu kelompok Sunni memerintah negara-negara umat Islam. Pergerakan Al-Ikhwan Al-Muslimin adalah pertubuhan yang kuat, besar, berorganisasi dan bersistem di dunia Arab dan Islam adalah daripada kelompok Sunni. Mereka digulingkan apabila mendapat kuasa di Mesir. Apabila Hamas berkuasa di Gaza, mereka ditekan dengan sekatan dan pengepungan yang cukup dahsyat.

Apabila AS menakluk Iraq pada 2003, mereka menyerahkan negara itu kepada kelompok Syiah pada 2004. Kini Syiah berkuasa di Iran, Iraq, Syria, Lubnan dan Yaman. Kini berlaku pula penyembelihan di Fallujah dan Mosul di Iraq. Pada pemerhatian saya ISIS juga adalah ciptaan perisikan AS. Namun rakyat di negara-negara Arab menyedari permainan ini. Semua ini adalah untuk mewujudkan pertembungan antara kelompok-kelompok ini.

HARAKAH: Beberapa hari lalu berlaku serangan roket misil di Mekah dan dikatakan sasarannya adalah Jeddah. Apakah benar ia ada kaitan dengan kelompok Syiah Houthi di Yaman?

DR. SOLAH: Ya, kira-kira tiga hari lepas dikatakan serangan itu dari Wilayah Al-Hajar di Yaman dan menimpa kawasan sejauh 65 km dari Mekah.

HARAKAH: Pihak Houthi tidak mengaku serangan itu dari pihak mereka.

DR. SOLAH: Tiada jaminan. Ini serangan yang pertama, siapa yang dapat menjamin pada masa akan datang? Jika selepas ini ada lagi serangan roket yang sampai ke Kaabah. Apa akan berlaku? Musibah!
Ketika kelompok Syiah Al-Qaramitah berkuasa pada kurun ke-4, bacalah sejarah. Mereka pernah memerintah sebelah timur semenanjung Arab. Mereka pernah menyerang Kaabah dan membunuh beribu-ribu jemaah ketika musim haji. Mereka merampas Hajar al-Aswad selama lebih 20 tahun. Ketuanya bernama Abu Tahir al-Jannabi, bacalah sejarah tentang peristiwa ini.

Oleh itu, saya berpendapat pertentangan pemikiran antara Salafi-Khalafi boleh diterima (bukan isu pokok). Namun pertembungan kelompok-kelompok yang merosakkan ini tidak dapat diterima.

HARAKAH: Apakah pandangan tuan berkenaan gerakan Liberalisme? Golongan yang melaungkan tidak perlu pelaksanaan syariah, apa yang penting ialah mencapai maqasid?

DR. SOLAH: Apakah dia maqasid? Maqasid al-Syari`ah? Mereka itu tidak memahami kalimah Maqasid al-Syari`ah! Mereka itu adalah orang-orang yang bodoh. Golongan Liberal adalah bodoh dan jahil. Istilah yang difahami seperti itu kita tidak menerimanya.

Kita mahukan Islam yang bersifat Rabbani, bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah, Islam yang dibawa oleh Rasulullah Muhammad SAW. Itu yang kita cintakan. Istilah-istilah yang lain itu semua adalah bida’ah! Islam yang dikaitkan dengan Liberalisme, Demokrat. Itu semua tinggalkan. Tiada apa-apa nilai. Kita mahukan Islam yang sahih. Sekarang ini Amerika mahu mengajarkan Islam yang ia kehendaki dan bukan Islam yang datang daripada (Allah) Tuhan Sekalian Alam.

Tahukah kamu kini orang-orang Yahudi juga mengusahakan terjemahan al-Quran dalam Bahasa Ibrani? Apa yang mereka lakukan? Mereka menghapuskan ayat-ayat tentang jihad dan yang berbicara tentang Yahudi. Apa lagi yang tinggal?

Amerika juga mahukan demikian. Golongan Liberal itu berkata apa yang penting ialah ruh Islam. Apakah Islam yang seperti itu? Islam itu ialah secara keseluruhan, agama dan kenegaraan, mushaf dan pedang (pertahanan), jihad dan dakwah, pendirian yang teguh dan manhaj kehidupan secara menyeluruh. Itulah dia Islam, mereka tidak mahukan ini.

Mereka mahukan Islam yang kononnya baik, roh engkau bersama Allah, tetapi tak perlu solat, kalau hendak minum arak tiada halangan, hendak berzina pun boleh, asalkan engkau cintakan Islam. Islam apakah seperti itu? Islam yang boleh tunduk kepada Yahudi? Islam yang menerima gaya Amerika? Siapa yang menentang Islam seperti itu akan digelarkan “pengganas”. Kini gerakan-gerakan Islam dipanggil “pengganas”.

Muslim yang diterima di kalangan mereka ialah yang boleh bercampur dengan wanita, boleh minum arak, mendengar muzik yang melalaikan dan meninggalkan jihad di jalan Allah. Itulah muslim yang mulia pada pandangan mereka. Itulah masalahnya.

Akhirnya, kita perlu tetap berpegang teguh dengan Islam yang sebenar. – HARAKAHDAILY 4/11/2016
Latar belakang Dr Solah
Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi merupakan tokoh mufassir dan pengarang kitab yang prolifik pada  zaman kita ini. Beliau dilahirkan di bandar Jenin, Palestin pada 12 Januari 1947 M/18 Muharam 1367 H.

Beliau memulakan pengajian di Fakulti Syariah, Universiti al-Azhar (1965-1970), kemudian menyambung di peringkat sarjana pada tahun 1977 di Universiti Islam Imam Muhammad Saud di Riyadh, tesis yang disampaikan oleh beliau tentang Sayyid Qutb dan Keindahan Tafsir Al-Quran.

Kemudian beliau mendapat PhD dalam bidang Tafsir al-Quran pada 1984 dari universiti yang sama dengan kajian tentang Tafsir Fii Zilalil-Quran karya Sayyid Qutb. Dikenali sebagai Murabbi yang dihormati dan Khatib yang membangkitkan semangat para pemuda Gerakan Islam

No comments:

Post a Comment