Thursday, 8 September 2016

Rebutlah Keistimewaan 10 Hari Pertama Bulan Zulhijjah



Pada bulan Dzulhijjah, terdapat padanya satu ibadah yang sangat besar pahalanya di sisi ALLAH `Azza wa Jalla, iaitu ibadah mengerjakan haji bagi sesiapa yang mampu.  Ia melengkapkan rukun ISLAM pada diri seseorang Muslim.

Disebut di dalam hadith bahawa ganjaran yang menanti bagi jemaah haji yang memperolehi haji yang mabrur ialah Syurga.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam telah bersabda:

اَلْعُمْرَةُ إِلَى اَلْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا, وَالْحَجُّ اَلْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا اَلْجَنَّةَ
“Satu umrah ke satu umrah berikutnya adalah kaffarah (penebus dosa-dosa) antara keduanya. 
Dan haji yang mabrur tiada balasan untuknya kecuali Syurga.”
(HR al-Bukhari & Muslim)

Bagi ummat ISLAM yang tidak mempunyai kesempatan untuk mengerjakan ibadah haji, ALLAH `Azza wa Jalla tetap menyediakan keistimewaan yang besar untuk direbut pada 10 hari pertama bulan Dzulhijjah.

Apakah amalan-amalan itu?

1)  Memperbanyakkan amalan soleh dan ibadah sunat sepanjang 10 hari pertama pada bulan Dzulhijjah.

Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
ما مِن أيَّامٍ العملُ الصَّالحُ فيها أحبُّ إلى اللَّهِ من هذِهِالأيَّام يعني أيَّامَ العشرِ، قالوا : يا رسولَ اللَّهِ ، ولا الجِهادُفي سبيلِ اللَّهِ ؟ قالَ : ولا الجِهادُ في سبيلِ اللَّهِ، إلَّا رَجلٌخرجَ بنفسِهِ ومالِهِ ، فلم يرجِعْ من ذلِكَ بشيءٍ
“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi ALLAH selain dari hari-hari ini iaitu hari yang sepuluh ini (10 hari awal bulan Dzulhijjah).”
Para sahabat bertanya:  “Wahai Rasulullah, walaupun berjihad di jalan ALLAH?”
Baginda bersabda:  “Walaupun berjihad pada jalan ALLAH, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (mati syahid).”
(HR al-Bukhari)

Perbanyakkanlah amalan soleh pada 10 hari pertama Dzulhijjah

Para salafussoleh merebut kelebihan yang terdapat pada 10 hari pertama bulan Dzulhijjah dengan menghidupkan siang dan malam mereka dengan amalan-amalan soleh dan ibadah-ibadah sunat.  Siangnya ramai di kalangan mereka yang berpuasa sunat (kecuali pada 10 Dzulhijjah kerana ia adalah `Eidul-Adha – haram berpuasa).  Malamnya pula mereka melakukan qiamullail.  Mereka benar-benar mengisi 10 hari awal Dzulhijjah dengan amalan-amalan soleh demi mendapat keredhaan ALLAH Jalla wa A`la.

Pada 10 hari awal Dzulhijjah juga digalakkan kita memperbanyakkan tahlil (ucapan لا إله إلا الله), takbir (ucapan الله أكبر) dan tahmid (ucapan الحمد لله).
Diriwayatkan dari Ibnu `Umar radhiAllahu `anhuma bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:

ما من أيامٍ أعظمُ عندَ اللهِ ولا أحبَّ إليه العملُ فيهنَّمنهذهِ الأيامِ العشرِ فأكثروا فِيهنَّ من التهليلِ والتكبيرِ والتحميدِ
“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi ALLAH dan lebih dikasihi olehNYA dilakukan amalan pada hari tersebut lebih dari hari-hari yang sepuluh ini (10 hari awal bulan Dzulhijjah).  
Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
(HR Ahmad.  Sanadnya sahih)


2)  Puasa pada hari `Arafah iaitu pada 9 Dzulhijjah

Dalam petikan hadith yang panjang Abu Qatadah al-Ansari radhiAllahu `anhu ada berkata:
سُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ فَقَالَ ‏”‏ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ ” ‏
Telah ditanya mengenai puasa hari `Arafah, lalu Baginda menjawab:
“Ia dapat menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.”
(HR Muslim)

Kelebihan Puasa Hari Arafah

3)  Solat `Eidul-Adha

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan dua hari istimewa kalian itu dengan dua hari yang lebih istimewa daripadanya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.”
(HR Abu Daud:  1134, al-Albani mensahihkannya di dalam as-Silsilah as-Sahihah: 2021)

Di dalam hadith lain, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya sebaik-baik hari di sisi ALLAH adalah Hari Raya Aidiladha.”
(HR Abu Daud:  1765, al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih Abu Daud)
4)  Menyembelih haiwan korban selepas Solat `Eidul-Adha.

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang sangat disukai ALLAH ialah menyembelih korban.  Sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya.  Sesungguhnya ALLAH akan menerima penyembelihan korban itu sebelum darahnya tumpah ke bumi.  Maka, kamu hendaklah ikhlaskan diri semasa melakukan korban itu.”
(Ibn Majah:  3117 dan at-Tirmizi:  1412)

Begitulah di antara beberapa amalan yang wajar menjadi rebutan buat kita ummat ISLAM dalam menambah bekalan menuju Hari Akhirat.
Semoga dengan adanya peringatan ini menjadikan kita di kalangan insan yang beruntung dalam mengambil faedah 10 hari-hari terawal bulan Zulhijjah.
ALLAHU A`LAM.

sumber https://muzir.wordpress.com

No comments:

Post a Comment