Wednesday, 7 September 2016

Payung Ajaib Untuk Jemaah Haji Ciptaan Palestin (bersama video)




It & Teknologi

JEDDAH - Lebih tiga juta jemaah dari serata dunia berhimpun di tanah suci setelah melakukan perjalanan melalui pesawat, kapal laut waima berjalan kaki di bawah panas terik matahari demi menunaikan ibadah haji.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi dalam pada itu menasihati para jemaah untuk menggunakan payung bagi melindungi diri mereka daripada terdedah kepada sinaran terik matahari secara berlebihan sepanjang mengerjakan Rukun Islam kelima tersebut.

Namun sebuah syarikat Palestin yang berpangkalan di Arab Saudi dipanggil sebagai Knowledge-Base mendapat perhatian luas seluruh dunia setelah berjaya mencipta sebuah payung ‘ajaib’ yang dikatakan boleh melakukan lebih daripada sekadar fungsi biasa.

Dinamakan “Kafya” sempena kain penutup kepala tradisional masyarakat Palestin, payung ‘bijak’ itu mampu mengumpulkan pancaran kuat dari matahari dan menukarnya kepada tenaga elektrik menerusi panel-panel solar yang dipasang di bahagian atas payung.



Tenaga elektrik yang disimpan di dalam bahagian pemegang payung boleh menyalakan lampu suluh, kipas dan sistem pengesanan global atau GPS yang dipasang pada payung itu, sekali gus membantu jemaah untuk mencari anggota keluarga mereka jika sesat jalan.

Ia juga boleh digunakan untuk mengecas telefon dan komputer riba menerusi tiga penyambung USB yang ditempatkan di bawah pemegang, demikian dijelaskan oleh pencipta Manal Dandis, seorang konsultan dari Palestin, kepada agensi berita antarabangsa Reuters.

“Kami memulakan idea ini daripada pengalaman urusan haji itu sendiri,” menurut Dandis. “Rakan niaga saya pula secara kebetulan merupakan seorang sukarelawan haji selama 40 tahun dan dia benar-benar tahu apa yang diperlukan para jemaah haji dari seluruh dunia.




Di Makkah, memang tiada alat penyesuai soket atau ‘adapter’ bagi pelbagai kepala suis elektrik selain masalah remeh apabila ada tiga hingga empat juta orang yang perlu mengecas telefon bimbit mereka setelah kehabisan bekalan kuasa bateri.

Produk ini bakal berguna untuk 10 tahun akan datang, apabila musim haji jatuh antara bulan Jun dengan September. Semasa bulan-bulan tersebut, suhu di kawasan itu boleh cecah ke paras sangat tinggi dan kes keletihan akibat cuaca panas dan strok haba dijangka meningkat.

Terdapat lebih 1,000 kes keletihan akibat cuaca terlalu panas yang dilaporkan berlaku semasa musim ibadah haji pada 2015 lalu, dengan sekitar 700 kes strok haba serta lebih 1,700 kes masalah berkaitan cuaca panas yang lain.

Dandis dan rakan niaganya, seorang saintis dari Arab Saudi bernama Kamel Badawi, sedang mencipta prototaip untuk payung mereka itu. Mereka memberitahu laman The Media Line bahawa payung itu belum dapat siap digunakan pada musim haji kali ini.

Mereka memaklumkan Reuters bahawa syarikat tersebut sedang berusaha untuk mendapatkan paten bagi ciptaan tersebut, dan mencari pelabur sebelum mereka boleh mula memasarkannya secara lebih komersial pada harga berpatutan.

Buat masa ini, mereka akan memulakan ‘crowdfunding‘ atau mengumpul dana modal sendiri dan terlebih dahulu hanya memasarkannya secara online kepada orang yang memang ingin membeli payung tersebut secara eksklusif.

Mereka berharap untuk menghasilkan sekurang-kurangnya sejuta unit payung itu untuk pasaran rantau Timur Tengah dan kosnya dijangka adalah lebih murah, menurut Dandis yang bagaimanapun tidak mendedahkan harga sebenarnya.

Kafya hanyalah satu daripada beberapa ciptaan teknologi seperti aplikasi telefon bijak dan gelang elektronik yang dicipta untuk menepati keperluan jemaah, dan meningkatkan kecekapan di Makkah semasa musim haji yang sibuk. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

Post a Comment