Wednesday, 28 September 2016

Mampukah semut jadi penyelesaian kepada krisis antibiotik?




MADISON, 27 Sept — Krisis kegagalan antibiotik telah mendorong para saintis untuk mencari sumber baru bagi ubat tersebut. Kini, sejenis semut mungkin adalah jawapan yang dicari mereka.

Para saintis mendapati sesetengah spesies semut, termasuk semut pemotong daun dari Amazon, menggunakan bakteria untuk mempertahankan sarang dari serangan kulat serta mikrob, yang berpotensi untuk dijadikan antibiotik untuk kegunaan manusia.
Salah seorang saintis yang terlibat dalam penyelidikan itu, Prof Cameron Currie daripada University of Wisconsin-Madison di Amerika Syarikat sini berkata bahan kimia yang dikumuhkan oleh bakteria tersebut dipercayai mempunyai kesan antibiotik yang kuat.




“Ketahanan antibiotik adalah masalah yang semakin meningkat. Bagaimanapun, mengenal pasti antibiotik baru menggunakan teknik biasa melalui persampelan tanah untuk bakteria adalah sukar.
“Secara purata, hanya satu dalam sejuta jenis bakteria memberi harapan. Namun, kami telah membongkar satu jenis bakteria bagi setiap 15 jenis yang telah disampel dari sarang semut itu,” katanya minggu lalu seperti dilaporkan The Guardian.

Kumpulan semut yang dimaksudkan itu adalah spesies yang “membiak” kulat untuk dimakan di kawasan tropika di Amerika Utara dan Selatan.

“Semut ini menyelongkar bahan tumbuhan untuk dibawa pulang ke sarang mereka untuk memberi makan kepada kulat. Mereka memakan kulat selepas kulat mengurai bahan tumbuhan itu,” kata Profesor Jon Clardy dari Harvard Medical School.

Namun, sarang semut ini sering diserang kulat merbahaya yang membunuh kulat yang dibiak mereka.
Sebagai tindakbalas, semut ini telah menghasilkan pertahanan diri menggunakan bakteria anti-kulat di seluruh badan mereka, yang nampak seperti mereka dicelup dalam gula.

Bakteria ini sama dengan yang digunakan oleh syarikat-syarikat farmaseutikal untuk membuat antibiotik.
Semut dan bakteria jenis ini telah bertanding sejak jutaan tahun dan hasil keputusannya telah menghasilkan beberapa antibiotik yang sangat menarik, kata para saintis.

Kegagalan antibiotik kini merupakan antara ancaman terbesar kepada kesihatan manusia sedunia, menyebabkan lebih kurang 700,000 orang maut setiap tahun.

No comments:

Post a Comment