Thursday, 1 September 2016

Buku Ibnu Sina rujukan doktor di Eropah



Umum

SEBELUM kedatangan ilmu perubatan Islam, tidak ada ilmu perubatan bernilai yang diamalkan di Eropah. Adalah diakui semua ahli sejarah moden bahawa perkembangan ilmu perubatan Barat dipengaruhi oleh perubatan Muslim.

Di Eropah pada abad ke-14 hingga ke-17, ilmu perubatan Islam dikaji dengan bersungguh-sungguh oleh penuntut di Eropah. Hanya seabad lalu iaitu pada abad ke-19, perubatan Muslim dihapuskan daripada kurikulum institusi pelajaran di sekolah dunia Barat.

Pada abad ke-19, Eropah telah mula menyatakan bahawa Copernicus (meninggal dunia pada 1543) adalah tokoh pertama dalam lapangan astronomi dan Paracelsus (meninggal dunia pada 1541) adalah tokoh dalam bidang kedoktoran dan kimia.

Ilmu perubatan Muslim bermula pada zaman pemerintahan Bani Umaiyyah (661-720 Masihi) tetapi kemajuan yang pesat dalam bidang perubatan berlaku pada zaman Abbasiyyah (750-1258 Masihi).




Perkembangan sains dan ilmu perubatan mempunyai perhubungan erat antara satu sama lain kerana Islam mementingkan kesihatan umatnya.

Oleh itu, pada masa itu didapati intelek dinamakan ‘hakim’ yang menjadi pakar dalam bidang sains dan falsafah serta pada masa yang sama seorang doktor perubatan.

Banyak ilmu perubatan umat Islam ditimba daripada sumber asing khasnya dari Parsi, Kristian atau Yahudi dari Yunani, India dan Mesir. Oleh itu, ilmu perubatan Muslim lahir sebagai gabungan antara teori perubatan Yunani, tradisi Hippocrates dan Galen serta pengalaman bangsa Parsi dan India. Ini kerana doktor Parsi dan India berpengalaman khususnya dalam bidang farmakologi.

Pada zaman Abbasiyyah (750-1258) wujud dua pusat perguruan tinggi yang masyhur bagi perubatan, satu di Jundisyapur di Parsi dan satu lagi di Harran di Syria. Pengajarnya adalah doktor dari Parsi, Syria dan Yunani.

Jundisyapur pada mulanya adalah pusat untuk ilmu perubatan Yunani Hippocrates. Pada zaman Abbasiyyah, ramai doktornya dibawa ke Baghdad, ibu kota kerajaan Abbasiyyah.

Jirjis, seorang doktor Kristian Syria selaku pengarah di Jundisyapur dijemput untuk mengubati khalifah Al-Mansur apabila beliau sakit teruk.

Ibn Maskawaih (meninggal dunia 857) adalah seorang doktor dan ahli farmakologi dari rumah pesakit di Jundisyapur. Beliau adalah pengarang naskhah optalmologi yang pertama dan menjadi ahli optalmologi (berkenaan mata) serta doktor peribadi wazir Harun Al-Rasyid (meninggal dunia 809) di Baghdad.

Penterjemah Hunain Ibn Ishaq yang terkenal pada zaman penterjemahan (750-900 Masihi) adalah penterjemah agung dan pada masa sama ahli perubatan terkemuka.

Pada zaman perkembangan ilmu pengetahuan (900-1100 Masihi), pada mulanya tokoh perubatan Muslim berpandukan kepada tulisan ilmuwan Yunani seperti Hippocrates, Galen, Oribasius, Paul, Alexander, Thales dan Dioscorides, tetapi kemudian melanjutkan penyelidikan mereka dan memberi sumbangan yang asli.

Ibnu Sina, tokoh masyhur pada abad ke-10 Masihi berasal dari Parsi, pada awal bukunya bertajuk Al-Qanun fit Tibb (Peraturan dalam Perubatan), yang mengandungi 14 jilid berkata:

l Perubatan adalah satu cabang ilmu mengenai kesihatan dan sakit pada tubuh manusia.

l Tugas doktor untuk pemulihan atau penjagaan keadaan keseimbangan yang disebut kesihatan. Tugas doktor adalah pemulihan dan penjagaan kesihatan.

l Selaras dengan patologi unsur Hippocrates (Yunani), tokoh perubatan Muslim menganggap tubuh badan mengandungi empat unsur iaitu darah, lendir, hempedu kuning dan hempedu hitam. Dunia alam dibahagikan kepada empat unsur iaitu api (darah), udara (hempedu kuning), air (lendir) dan tanah (hempedu hitam).

Tiap unsur badan mempunyai dua sifat iaitu darah – panas dan lembap; lendir – dingin dan lembap; hempedu kuning – panas dan kering; hempedu hitam – dingin dan kering.

Campuran empat unsur berkenaan menentukan keadaan kesihatan. Jika seimbang, maka sihatlah badan.

l Tiap-tiap individu mempunyai campuran humor berkenaan yang unik seperti uniknya organ individu dan temperamen individu itu. Tidak balas seseorang terhadap stumulan eksternal yang sama adalah tidak sama.

l Tenaga badan yang mempertahan dan memperbaiki keseimbangan dan menentukan kesihatan badannya.

l Ubat membantu pesakit, badan sendirilah yang melakukan proses ke arah kesihatan. Tabii yang memulihkan.

l Keadaan tubuh atau temperamen setiap individu akan menentukan bahan makanan yang bermanfaat baginya.

l Ibnu Sina mencatatkan bahawa sebab penyakit adalah umur, jantina, pekerjaan, tempat kediaman, cuaca dan musim, adat dan kebiasaan, rehat, pergerakan (pembuangan air besar dan kecil), makanan dan minuman, udara dan air, aktiviti fizikal dan mental.

Cara perubatan Ibnu Sina merangkumi bahan makanan, udara, aktiviti fizikal dan mental, rehat dan sebagainya.

Pengaruh Ibnu Sina sebagai seorang ahli falsafah dan doktor perubatan dalam kebudayaan Eropah adalah luas. Buku karangan beliau Al-Qanun fit Tibb dianggap sebagai himpunan perbendaharaan ilmu perubatan.

Ilmu perubatan moden banyak mendapat pelajaran daripada Ibn Sina dari segi penggunaan ubat, diagnosis dan pembedahan.

Pada abad ke-12 Masihi, Gerard Cremona (lahir 1114 Masihi) yang berpindah ke Toledo, Sepanyol menterjemahkan buku Ibnu Sina ke bahasa Latin. Buku itu menjadi rujukan utama di universiti Eropah hingga 1500 Masihi.

Bukunya disalin (cetak) sebanyak 16 kali, 15 edisi bahasa latin dan sebuah edisi bahasa Yahudi (Hebrew). Pada abad 16 Masihi, buku itu dicetak 21 kali.

Penulis Barat menganggap Ibnu Sina sebagai bapa doktor kerana Ibnu Sina berjaya menyatupadukan teori perubatan Yunani Hippocrates dan Galen serta pengalaman daripada ahli perubatan India, Parsi serta pengalaman beliau sendiri.

Dalam masalah tauhid (ketuhanan), Ibnu Sina terpengaruh dengan falsafah Plato dan Aristotle seperti dihuraikan Imam Al-Ghazali dalam bukunya Tahafut Al-Falasifah (Ketidaksinambungan dalam Pemikiran Failasuf).

Sumbangan umat Islam yang ketara dalam ilmu perubatan adalah dari segi pengalaman dan kebolehan untuk mengubat.

Ibnu Sina mengembangkan ilmu psikologi dalam perubatan dan membuat beberapa penemuan dalam ilmu yang dikenali hari ini sebagai ilmu perubatan psikosomatis (psychosomatic medicine).

Beliau memperkembangkan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung untuk mengenal pasti dalam masa beberapa detik ketidakseimbangan humor yang berkenaan.

Diagnosis melalui denyut jantung ini masih dipraktikkan oleh hakim (doktor Muslim) di Pakistan, Afghanistan dan Parsi yang menggunakan ilmu perubatan Yunani.

Seorang doktor tabii dari Amerika (1981) melaporkan bahawa ‘hakim’ di Afghanistan, China, India dan Parsi sangat berkebolehan dalam menentukan penyakit melalui denyutan jantung.

Kaedahnya bukan saja membilang berapa denyut jantung di tempat yang dirasai tetapi mutunya yang pelbagai merangkumi kuat atau denyut yang lemah, masa antara denyutan, kandungannya lembap pada paras kulit dekat denyutan itu.

Daripada ukuran denyutan jantung seseorang, ‘hakim’ mungkin mengetahui dengan tepat penyakit yang dihidapi di dalam tubuh pesakit.

Ibnu Sina turut menyedari kepentingan emosi dalam pemulihan iaitu apabila pesakit mempunyai sakit jiwa disebabkan pemisahan daripada kekasihnya. Beliau mendapati nama dan alamat kekasihnya itu melalui cara berikut:

Caranya untuk menyebut banyak nama dan mengulanginya dan ketika itu jarinya diletakkan atas denyutan, apabila denyutan itu tidak teratur atau hampir berhenti, seseorang hendaklah mengulangi proses berkenaan. Dengan cara demikian, nama, jalan, rumah dan keluarga disebutkan.

Ibn Sina berkata, jika anda tidak dapat mengubat penyakit melainkan dengan menemukan pesakit dengan kekasihnya, menurut peraturan syariah, buatlah.

Ibnu Sina adalah doktor perubatan pertama yang mencatatkan bahawa penyakit paru-paru (pulmonary tuberculosis) adalah penyakit berjangkit.

Beliau menceritakan dengan tepat tanda-tanda penyakit kencing manis dan masalah yang timbul daripadanya.

Beliau juga sangat berminat dalam bidang mengenai kesan akal atas jasad dan banyak menulis berkenaan gangguan psikologi.

Ibnu Sina menghasilkan 250 karya yang masih kekal hingga hari ini termasuk 116 karya dalam bidang ilmu perubatan. Banyak karyanya ditulis dalam bahasa Arab dan Parsi.

Al-Qanun fit Tibb adalah karyanya yang termasyhur dan diulang cetak di Eropah dan menjadi buku rujukan utama di universiti Eropah hingga abad ke-17.

No comments:

Post a Comment