Monday, 19 September 2016

MAIS Ada Asas Kukuh Untuk Mengharamkan NGO Sisters In Islam



Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 17 Julai 2014 lepas telah mewartakan fatwa pengharaman NGO Sisters In Islam (SIS) setelah mendapati pertubuhan itu terlibat secara aktif dalam menyebarkan fahaman Islam Liberal dan pluralisme yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Pengharaman itu selaras dengan ketetapan yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 2006 yang menyimpulkan mana-mana aliran pemikiran atau fahaman liberal dalam beragama adalah menyeleweng dari aspek akidah dan syariah.

Bagaimana pun, dua hari lepas SIS yang tidak berpuas hati dengan fatwa MAIS telah memfailkan semakan kehakiman terhadap pengharaman tersebut dengan alasan mereka tidak menentang sebarang undang-undang sebaliknya hanya menggunakan hak kebebasan sebagai orang Islam & rakyat Malaysia yang dijamin Perlembagaan.
Sekilas lalu nampak seperti ada benarnya hujah SIS kerana Perlembagaan Negara memang menjamin hak kebebasan individu atau pertubuhan untuk menyuarakan pendapat mereka. Begitu juga Perlembagaan Malaysia turut menjamin hak kebebasan beragama di kalangan warganegaranya.


Namun SIS lupa betapa kebebasan tetap ada had batasannya sebagai Perlembagaan menetapkan dalam Perkara 10 Fasal 2, 3 dan 4 yang menggariskan batasan dan sekatan yang boleh dikenakan terhadap individu atau pertubuhan sekiranya aktiviti mereka boleh menjejaskan kesejahteraan umum.
Demikian halnya di mana Perlembagaan Malaysia juga memperuntukkan ketetapan dalam Perkara 11 berkaitan Kebebasan Beragama di mana Fasal 4 membolehkan setiap negeri-negeri menggunakan kuasa secara perundangan untuk menghalang sebarang doktrin yang dikira berbahaya kepada orang Islam.
Barangkali dari satu sudut kebebasan ala barat SIS berhak mempertikaikan fatwa pengharamannya oleh MAIS namun di sudut yang lain SIS perlu menerima hakikat MAIS bertindak betul dan ada asas kukuh kerana bertindak dalam ruang lingkup kuasa yang diperuntukkan kepadanya selaku agensi agama Islam yang bertauliah.
Malah penulis percaya sebahagian besar umat Islam di negara ini sedia berdiri di belakang MAIS dan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mempertahankan kesucian Islam apatah lagi di saat kerancakan kempen-kempen penyebaran fahaman Islam Liberal & pluralisme yang giat dilakukan pihak tertentu.
SIS mungkin merasakan pihaknya teraniaya dengan pengharaman itu tapi hakikatnya khalayak tidak lupa SIS adalah antara NGO yang berlabel Islam yang telah secara terbuka bersekongkol dengan gabungan NGO COMANGO dalam usaha mereka untuk menghalalkan LGBT, Syiah dan kebebasan agama ala Barat.
SIS juga terlibat langsung membela kumpulan ajaran sesat seperti Ayah Pin apabila mempertikaikan dan menyelar tindakan JAKIM & Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu (JAIT) yang berusaha membanteras penyelewengan akidah kumpulan itu suatu ketika dulu yang dianggap oleh SIS sebagai tidak demokratik dan menyalahi hak asasi.
Begitu juga SIS pernah aktif dalam Suruhanjaya Antara Agama (IFC) atau dulunya dikenali sebagai Inter Religiouc Council (IRC) yang menuntut supaya semua agama adalah sama tarafnya dan hak kebebasan beragama turut meliputi orang Islam sekaligus mengancam akidah Islam sekiranya tuntutan mereka dipenuhi.
Paling diingati umum tentunya penglibatan SIS sebagai antara NGO yang terkehadapan membela penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 dan secara terbuka mengecam tindakan pihak berkuasa mengharamkan program yang mengiktiraf golongan LGBT itu.
Itu antara asas kukuh yang penulis percaya telah diambil kira oleh MAIS dan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mengharamkan penyebaran fahaman Islam Liberal & pluralisme di negara ini.
Mungkin bagi SIS semua yang dilakukannya menunjukkan liberalisasi pemikiran dan toleransi mereka sesuai dengan hak kebebasan dan hak asasi manusia, namun NGO SIS dan pendukungnya perlu menerima hakikat liberal dan toleransi ada had batasannya dalam Islam.
Islam agama yang menganjurkan tolenrasi, itu betul tapi Islam tidak bertolak ansur atau bertolenrasi dalam hal beragama khususnya bila melibatkan pemikiran songsang atau sebarang aktiviti yang didapati bercanggah dengan Islam atau boleh mengancam akidah dan syariat Islam.
Jika faham perkara itu, SIS sepatutnya memahami hak MAIS dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menghalang sebarang usaha penyebaran fahaman Islam Liberal & pluralisme, di masa yang sama belajar menerima hakikat perlunya untuk SIS mencermin diri dan memperbetulkan hala tujunya


No comments:

Post a Comment