Sunday, 29 January 2017

Trump tingkatkan permusuhan terhadap Islam


MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Sekali lagi secara konsisten, tetapi dengan cara penetapan polisi luar negara yang tidak normal, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan satu lagi Executive Order pada 27 Januari 2017 mengenai "langkah baru saringan yang ketat" (new extreme vetting measures) terhadap pendatang dan pelarian Muslim dari Timur Tengah terutama dari Syria.

Arahan Eksekutif Presiden ini ditandatangani pada hari Peringatan Holokos (Halacoust Memorial Day) dan dengan itu meletakkan nilai kemanusiaan yang selama ini kononnya disanjung oleh AS, tidak bermakna lagi.



Tujuannya mengikut kata Trump, adalah untuk membersihkan dari bumi AS apa yang digelar "Teroris Islam Radikal" (Radical Islamic Terorrist).

Rasional polisi ini adalah atas alasan keselamatan dalam negeri akan tetapi ia menjadi tanda tanya sebab tindakan terorisme di AS selama ini tidak pernah dilakukan oleh pelarian dari luar sebaliknya di kalangan rakyat AS sendiri.

Jadi polisi ini yang mensasarkan pendatang atas asas pegangan agama atau dari negara mana mereka dilahirkan adalah tidak masa akal.

Trump mengelakkan diri dari mengistiharkan "larangan ke atas Muslim" (Muslim Ban) kerana ia akan dicabar atas nama Perlembagaan Negara AS. Jadi beliau mengguna alasan arahan peraturan imigresen kerana kuasa Presiden membolehkan keputusan itu diambil.

Sebelum ini sudah terdapat 21 langkah saringan oleh pihak Keselamatan Dalam Negeri AS,  sebelum seseorang pendatang diterima masuk. Dengan arahan baru ini mungkin elemen ideologi iaitu menguji tahap sejauh mana seorang pendatang sayang kepada Amerika akan dijadikan kriteria. Ini sangat subjektif dan akan dilakukan dengan penuh kecurigaan terhadap seorang pendatang Muslim.

Beliau mengumumkan menggantung penerimaan pendatang dan pelarian dari Syria selama 120 hari walaupun ada kenyataan sampingan bahawa pendatang penganut Kristian akan lebih utama untuk diterima kerana beliau mendakwa kononnya kelompok Kristian paling tertindas di Syria.

Beliau juga menyatakan AS hanya mahu menerima mereka yang menyokong dan menyayangi secara mendalam rakyat AS.

Inti kepada polisi Trump ini adalah mengisytharkan bahawa Muslim tidak diterima di AS dan Muslim akan menjadi penganut paling dicurigai di AS. Pengumuman ini adalah petanda permulaan kepada polisi yang lebih besar iaitu polisi untuk menekan negara-negara Muslim seluruh dunia.

Kami mengutuk polisi Trump ini kerana jelas kali ini AS telah mengesahkan permusuhan terbuka tehadap Islam dan Muslim. Sebahgian Negara Islam dan ketua negara Islam yang selama ini menjadi budak dan alat kepada US, bukan sahaja untuk menjaga kepentingan AS tetapi melindungi Israel.

Mereka perlu faham bahawa AS kini akan mengukuhkan kedudukannya; ekonomi, politik dan ketenteraan tanpa mempedulikan kesan kepada umat Islam.

Retorik kempen Trump ketika pilihan raya Presiden AS, kini diterjemahkan dalam bentuk Executive Order dengan sikap permusuhan yang jelas terhadap Islam.

Kami mengingatkan kepada Kerajaan Malaysia bahawa sebarang perhubungan dengan AS kini harus dikaji semula sebelum negara ini menjadi sasaran Trump untuk mengenakan polisi "American First".

Malaysia perlu mampu membaca setiap kenyataan Trump yang dikeluarkan beliau secara tergopoh gapah (hastily), membingungkan (bewildering) dan tidak melalui proses konvensyenal (sering melalui twitter) tetapi membawa implikasi besar kepada bagaimana Malaysia harus berurusan dengan AS sama ada dalam perundingan diplomatik mahupun urusan perdagangan. - HARAKAHDAILY 28/1/2017
Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia.

No comments:

Post a Comment