Thursday, 26 January 2017

Surah Al Hujurat : Manhaj Pembentukan dan Penyusunan Umat Berakhlak


Surah Al-Hujurat memiliki 18 ayat, ia merupakan surah madaniyah yang mengandungi manhaj pembentukan dan penyusunan umat beradab. Ia sekaligus menerangkan beberapa nasihat tarbawiyah tentang personaliti dan identiti seorang Muslim agar dipraktikkan di dalam sebuah jemaah Islamiyah. Pada permulaan kandungan ayat di dalam surah ini mengandungi seruan nasihat yang mesra, “Wahai orang-orang yang beriman...”

Sayyid Qutb memperluaskan huraiannya di dalam “Fi Zilaalil Quran” dengan membahagikan penafsiran surah ini kepada beberapa topik;
  • Tata krama orang beriman terhadap Nabi s.a.w (أدب المؤمنين مع نبيهم صلى الله عليه وسلم).
  • Memastikan kebenaran khabar berita (التثبت من الأخبار).
  • Bersikap damai sesama saudara (الصلح بين الأخوة).
  • Larangan bersikap angkuh, prasangka dan mengumpat (النهي عن السخرية والظن والغيبة).
  • Mereka yang paling mulia adalah yang paling tinggi takwanya (أكرمكم أتقاكم).
  • Hakikat iman dan pengukuhannya (حقيقة الإيمان والثبات عليه).
Menurut Sayyid Qutb lagi, surah ini mengandungi huraian tentang hakikat keagungan akidah dan syariat serta hakikat-hakikat kemanusiaan, termasuklah hakikat-hakikat yang membuka wawasan yang luhur bagi hati dan akal.



1-5
Tata Krama Orang Beriman Terhadap Rasulullah s.a.w
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat kebenaran) Allah dan Rasul-Nya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Hujurat:1)
  • Kata (تُقَدِّمُوا) “tuqaddimu” diambil daripada perkataan (قَدَّمَ“qaddama” yakni mendahului. Dalam erti kata lain, jangan kamu tergesa-gesa (mendahului) memutuskan sesuatu hukum sebelum adanya petunjuk daripada Allah dan Rasul dalam segala hal. Demikian kesimpulan majoriti ulama’ antaranya, Ad-Dhahak yang menghuraikan:
لا تقضواْ أمرا دون الله ورسوله من شرائع دينكم
Maksudnya : “Janganlah kamu memutuskan suatu persoalan yang menyangkut perihal syariat agamamu tanpa Allah dan Rasul-Nya.” (Mukhtasar Ibnu Kathir)
  • Penyebutan nama Allah di dalam ayat ini digandingkan dengan Rasul-Nya, bertujuan untuk menggambarkan bahawa mendahului Rasulullah s.a.w sama seperti mendahului Allah Taala, sebagaimana taat kepada Rasul adalah juga bermakna taat kepada-Nya. Etika yang terkandung dalam ayat ini lama-kelamaan berputik dalam hati para sahabat sehingga setiap kali Rasulullah s.a.w bertanya kepada mereka, mereka segera menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” 
  • Sebab turunnya ayat ini sebagaimana yang diriwayatkan Imam Bukhari bahawa ada satu rombongan Arab Badwi dari kabilah Bani Tamim ingin menemui Rasulullah s.a.w. Belum pun sempat Rasulullah s.a.w keluar menemui mereka, Umar al Khattab r.a dan Abu Bakar al-Siddiq r.a berselisih pendapat untuk melantik siapakah yang layak menjadi ketua di kalangan Bani Tamim. Abu Bakar mencadangkan Qa’ Qa’ bin Ma’bad, manakala Umar mencadangkan Al-Aqra’ bin Habis.
  • Perselisihan itu berlaku sehingga tanpa disedari kedua-dua sahabat Rasulullah s.a.w yang mulia ini bertegang urat dan beradu pendapat. Lalu turunlah ayat permulaan surah Al-Hujurat tersebut. Menurut Ibnu Kathir, kita hendaklah mengakhirkan pandangan, pendapat dan ijtihad setelah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w dilumati hujjahnya. Seandainya ijtihad didahulukan, sebelum kaedah hukum yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah dikemukakan, yang demikian termasuk salah satu sikap mendahului Allah dan Rasul-Nya. Ayat seterusnya :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَن تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنتُمْ لا تَشْعُرُونَ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.” (Al-Hujurat:2)
  • Diriwayatkan oleh Mujahid, ayat ini diturunkan kepada golongan Arab Badwi Bani Tamim yang ingin bertemu Rasulullah s.a.w kerana mahu memperdengarkan syair di hadapan baginda. Imam al-Baidhawi menyebut bahawa jumlah mereka sekitar 70 orang. Apabila mereka masuk ke dalam masjid Nabi s.a.w, mereka memekik memanggil-manggil Nabi berulang-ulang kali dengan panggilan nama sahaja;
يا محمد اخرج إلينا
Maksudnya : “Muhammad, keluarlah kamu bertemu dengan kami!”
  • Larangan mengangkat suara bukan sahaja semasa bersama-sama Rasulullah s.a.w, tetapi juga setelah baginda s.a.w wafat iaitu apabila dibacakan hadis-hadis, kita mestilah diam menghormati petikan sabda Rasulullah s.a.w sebagaimana kita disuruh diam ketika mendengar bacaan al-Quran.
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُواْ لَهُ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya : “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (Al-‘Araf:204)
  • Berdasarkan ayat tersebut Imam al-Qurtubi r.hm menerangkan bahawa umat Islam ditegah menyebut baginda Nabi s.a.w sekadar panggilan ‘Muhammad’ sahaja, atau ‘Ahmad’ sahaja, mestilah menyebutnya ‘Rasulullah’ ataupun ‘Nabi Allah’ sebagai tanda penghormatan kepada baginda s.a.w. Seiring dengan firman Allah dalam surah yang lain;
لا تَجْعَلُوا دُعَاء الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاء بَعْضِكُم بَعْضًا
Maksudnya : “Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain.” (An-Nur:63)
  • Apa yang dilakukan oleh mereka yang melaung-laung nama Nabi ini disifatkan Allah sebagai tidak berakhlak dan jahil mengenai adab-adab Islam, apatah lagi perbuatan mereka bertemu Rasulullah s.a.w pada waktu tengahari, iaitu waktu lazimnya manusia beristirehat. Firman Allah;
إِنَّ الَّذِينَ يَغُضُّونَ أَصْوَاتَهُمْ عِندَ رَسُولِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ امْتَحَنَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ لِلتَّقْوَى لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah (s.a.w), – merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertakwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.” (Al-Hujurat:3)
  • Sesungguhnya umat yang mendahulukan akhlak di hadapan Rasulullah s.a.w, mereka itulah orang-orang yang telah dibersihkan Allah akan hati mereka. Kerana umat manusia yang memiliki pelbagai kelemahan pastinya pernah tergelincir melakukan kesalahan, maka Allah melanjutkan bagi orang yang bertakwa itu, “mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.”
Sabda Rasulullah s.a.w;
كُلُّ بن آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Maksudnya : “Setiap anak Adam itu ada kesilapan (dosa) dan orang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat.” (Riwayat at-Tirmizi)
Kata Umar al-Khattab r.a;
مراجعة الحق خير من التمادي فى الباطل
Maksudnya : “Kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada terus-menerus berada dalam kebatilan.”(Ibnu Qayyim Al-Jauzi, I’laam al-Muwaqi’ein)
Firman Allah:
إِنَّ الَّذِينَ يُنَادُونَكَ مِن وَرَاء الْحُجُرَاتِ أَكْثَرُهُمْ لا يَعْقِلُونَ
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib).” (Al-Hujurat:4)
  • Oleh kerana itu, di kalangan sarjana Islam mengatakan bahawa menziarahi para alim ulama’ itu hendaklah pada masa yang munasabah sehingga tidak menjejaskan waktu rehatnya. Sayyid Qutb mengisahkan bahawa ada seorang ulama’ bernama Abu ‘Ubaid berkata, “Aku tidak pernah mengetuk pintu rumah ulama’, tetapi aku menunggunya hingga dia keluar pada saatnya.”
Seterusnya firman Allah Taala:
وَلَوْ أَنَّهُمْ صَبَرُوا حَتَّى تَخْرُجَ إِلَيْهِمْ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya : “Dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga engkau keluar menemui mereka, tentulah cara yang demikian lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat:5)
  • Allah berhak menghukum orang yang berteriak kuat memanggil Rasulullah saw dengan cara membisukannya, akan tetapi Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Teguran ini bertujuan untuk mentarbiyah sahabat Rasulullah s.a.w agar menjadi pengajaran dan tauladan kepada generasi Islam selepasnya. Ata’ al-Khurasani menaqalkan bahawa Thabit bin Qais r.a menduga permulaan ayat di dalam surah al-Hujurat ini diturunkan tentang sikapnya yang biasa bersuara lantang melebihi suara Rasulullah s.a.w. Hal itu menyebabkan Thabit bin Qais selalu mengurungkan diri di dalam rumah dan menangis.
  • Rasulullah s.a.w merupakan manusia yang paling baik akhlaknya, selalu mengambil berat akan sahabat-sahabatnya. Apa yang dilakukan oleh Thabit bin Qais r.a, akhirnya diketahui Rasulullah s.a.w. Lantaran tindakan Thabit bin Qais itu Rasulullah menegaskan, “Sesungguhnya dia (Thabit bin Qais r.a) ialah ahli Syurga. Dia mengakhiri hidupnya sebagai seorang yang syahid di medan perang.”
  • Semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a, telah terjadi perang menentang golongan murtad di Yamamah. Pasukan tentera Islam dipimpin oleh Khalid bin al-Walid r.a memerangi golongan murtad yang diketuai oleh Musailamah al-Kazzab. Thabit bin Qais turut berjuang di dalam perang tersebut, mengetuai pasukan Islam dari golongan Ansar sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya terakhir di sana.
6-8
Memastikan Kebenaran Khabar Berita
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.” (Al-Hujurat:6)
  • Imam Ahmad meriwayatkan tentang penurunan ayat ini tentang Al-Walid bin ‘Uqbah bin Abi Mu’ith yang diutuskan Rasulullah s.a.w untuk memungut zakat daripada kabilah Bani Mustalaq. Ketika Al-Walid tiba di perkampungan Bani Mustalaq, berbondong-bondong penduduknya keluar sehingga dia menyangka dirinya sedang terancam. Maka, Al-Walid melarikan diri dari perkampungan tersebut, sedangkan tujuan penduduknya keluar dari rumah-rumah mereka adalah kerana ingin menyerahkan zakat. Apabila Al-Walid tiba di Madinah, dia bertemu Rasulullah s.a.w dan mengkhabarkan bahawa penduduk Bani Mustalaq telah murtad, lalu baginda mengarahkan Khalid al-Walid memimpin pasukan tentera menghukum terhadap perbuatan Bani Mustalaq. Baginda berpesan kepada Khalid agar menyiasat terlebih dahulu sebelum memulakan serangan dan jangan bertindak terburu-buru.
  • Sepanjang perjalanan Khalid al-Walid bersama pasukannya ke perkampungan tersebut, beliau mengutuskan unit perisikannya untuk mengintip perkampungan Bani Mustalaq. Apa yang mengejutkan, unit perisikannya melaporkan masih terdengar azan dan melihat penduduknya mendirikan solat. Berita yang mendakwa Bani Mustalaq murtad ternyata palsu. Lantaran itu Khalid membatalkan tujuan perang dan pulang bersama pasukan tenteranya ke Madinah menemui Rasulullah s.a.w.
  • Berhubung dengan peristiwa tadi, Al-Walid bin ‘Uqbah yang menyampaikan khabar tidak benar mengenai Bani Mustalaq pernah dilantik menjadi gabenur di Kufah pada zaman kekhalifahan Uthman al-Affan r.a. Suatu ketika dalam keadaan mabuk Al-Walid mengimami solat subuh berjamaah sebanyak empat rakaat. Ketika dia ditegur para jamaah tentang perbuatannya, lalu Al-Walid berkata,“Mahukah aku tambah lagi bilangan rakaatnya?” 
  • Al-Walid kemudiannya dipecat oleh Uthman al-Affan r.a akibat kesalahannya itu. (Ibnu Athir, “Usdu al-Ghabah fi Ma’rifat as-Sahabah”)
  • Mengenai ayat enam (6) surah al-Hujurat, hasil tindakan tidak segera memunggah informasi-informasi yang belum jelas kebenarannya, maka kaum Bani Mustalaq terselamat daripada serangan tidak wajar akibat perkhabaran yang tidak benar. Kita perlu menyiasat dengan teliti sebelum membuat suatu tindakan yang merugikan. Ia akan menjadi malapetaka ke atas umat Islam jika tidak berhati-hati dan meneliti kebenaran sumber berita yang diterima.
  • Sehinggalah ke saat dunia tanpa sempadan hari ini banyak fitnah dan berita bohong dijadikan sandaran. Kita ‘share’ sesuatu berita bukan kerana keabsahan informasi yang terkandung di dalamnya, tetapi ukuran tersebut dibuat berasaskan berapa ramai yang ‘like’ dan ‘hangat’nya info tersebut. Fahamilah bahawa jumlah ‘like’ mahupun ‘dislike’ tersebut bukanlah syarat ‘mutawatir’ berita tersebut, adakalanya dasar perkhabaran yang disebarkan itu mempunyai bukti kekeliruan dan palsu. 
Firman Allah Taala:
وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّهِ لَوْ يُطِيعُكُمْ فِي كَثِيرٍ مِّنَ الأَمْرِ لَعَنِتُّمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الإِيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ أُوْلَئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ
Maksudnya : “Dan ketahuilah! Bahawasanya di kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan kamu mendahuluinya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus.”(Al-Hujurat:7)
  • Rasulullah s.a.w seorang yang maksum, maka baginda terhindar daripada perkara buruk berdasarkan perkhabaran yang tidak benar melalui wahyu Ilahi. Sekarang Rasulullah s.a.w sudah tiada, maka kita hendaklah merujuk sumber-sumber wahyu yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w secara kaffah (keseluruhan) serta berserah diri kepada takdir Allah.
  • Sayyid Qutb mengembangkan mengenai ayat ini bahawa Allah Maha Mengetahui siapakah di kalangan hamba-Nya yang berhak mendapat petunjuk, dan siapakah yang disesatkan. Kepada orang yang benar-benar beriman kepada-Nya, maka Allah hiasi hati-hati mereka sukakan kepada kebenaran, keadilan, kebaikan, benci kepada kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan. Firman Allah Taala:
فَضْلا مِّنَ اللَّهِ وَنِعْمَةً وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Maksudnya : “(Mereka dijadikan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian daripada Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Hujurat:8)
Sabda Rasulullah s.a.w;
مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ
Maksudnya : “Siapa di antara kamu yang masih hidup selepasku (kewafatan Rasulullah s.a.w) kamu akan saksikan perselisihan yang banyak, maka hendaklah kamu menuruti sunnahku dan sunnah para khulafa’ ar-rasyidin. Berpegang teguhlah kamu seerat-eratnya dan gigitlah dengan gigi geraham kamu.” (Riwayat Abi Daud)
9
Memilih ‘Jalan Islah’ Ketika Berlaku Perselisihan
وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya : “Dan jika dua puak daripada kalangan kaum beriman berperang, maka perbaikkanlah di antara mereka; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Hujurat:9)
  • Dalam ayat ini Allah masih menghukum kedua-dua kelompok bertikai sebagai orang-orang yang beriman, sedangkan dalam penilaian akal manusia yang sering hanyut dengan sentimen perasaan dan selirat kebencian pasti akan berlaku tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah, kafir-mengkafir, ejek-mengejek dan sebagainya.
  • Di dalam ayat ke-(9) ini disebut hal berkaitan “bughah”, iaitu suatu hukum mengenai pemberontakan yang dilakukan terhadap pemerintahan yang adil dan sah. Menurut jumhur ulama’, hanya penderhakaan yang menggunakan kekuatan fizikal sahaja boleh dianggap sebagai jenayah “bughah”. Manakala Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut di dalam “Fiqh Jihad”, ada tiga perkara utama yang layak dilabelkan dalam kategori jenayah “bughah”, iaitu :
  1. Menentang pemerintah (yang meletak Allah dan Rasul-Nya sebagai sumber rujukan tertinggi).
  2. Penentangan secara kekerasan atau bersenjata.
  3. Berniat melakukan jenayah.
  • Perlulah diingatkan bahawa golongan pemberontak itu tidak boleh diserang kecuali mereka menyerang atau bersiap sedia dengan kelengkapan untuk menyerang. Di dalam Perang Siffin, Ali bin Abi Talib r.a telah mengambil tindakan memerangi Muawiyah bin Abi Sufyan r.a dan pasukan tenteranya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda;
بُؤْسَ ابْنِ سُمَيَّةَ تَقْتُلُكَ فِئَةٌ بَاغِيَةٌ
Maksudnya : “Malangnya anak Sumayyah (Ammar bin Yasir), engkau dibunuh oleh kumpulan pemberontak.” (Riwayat Muslim)
  • Ammar bin Yasir dibunuh ketika beliau bersama-sama tentera Ali bin Abi Talib r.a. Pembunuh Ammar bin Yasir merupakan salah seorang daripada tentera yang menyertai pasukan Muawiyyah bin Abi Sufyan r.a iaitu Abu al-Ghadiyah al-Juhani. Kedua-dua sahabat RasuliLlah s.a.w yang mulia ini (Ali dan Muawiyah) berperang disebabkan perselisihan ijtihad dan masing-masing mendakwa kebenaran bersama-sama mereka.
  • Ternyata berdasarkan hadis tadi Ali benar dalam ijtihadnya dan Muawiyah tersalah dalam ijtihadnya. Walau bagaimanapun, perselisihan ini tidaklah menyebabkan salah seorang daripada mereka menjadi kafir atau fasik. Peristiwa ini menyebabkan lahirnya mazhab-mazhab di kalangan umat Islam sebagaimana yang telah ditentukan Allah ekoran pembunuhan sahabat yang dikasihi Rasulullah s.a.w, iaitu Uthman ibn Affan r.a.
  • Dalam konteks politik kontemporari pula, kehadiran pembangkang dalam sistem pemerintahan tidaklah termasuk dalam kategori hukum “bughah”. Ini kerana pembangkang dalam institusi politik memberikan maksud wujudnya pertalian kumpulan manusia yang bertindak bersama untuk menggerakkan keupayaan negara secara kolektif. Allah memerintahkan agar kita bersikap adil dalam menyelesaikan masalah kerukunan masyarakat dengan mengutamakan jalan perdamaian sesama saudara. Jika terdapat khabar yang meragukan, carilah kebenaran dengan bertanya kedua-dua belah pihak. Jangan kerana kebencian kita terhadap satu kelompok itu, menyebabkan kelompok tersebut teraniaya.
10
Orang Beriman Saling Bersaudara
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya : “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”(Al-Hujurat:10)
  • Jika dua kelompok orang beriman berperang (sama ada secara fizikal atau mental yakni dengan cara memaki hamun) akibat bercanggah fahaman dan ijtihad, berselisih aliran dan pemikiran, sedangkan daripada sisi faktor lain mereka bersatu secara faktualnya, iaitu masing-masing percaya bahawa Allah Maha Esa, percaya akan Rasul-Nya, percaya kebenaran Kitab-Nya dan kerukunan iman yang lain, maka potensi penyatuan (taqrib) hendaklah diusahakan.
  • Persaudaraan yang ampuh dan kukuh pernah memberikan impak kemenangan umat Islam pada tahun 1973 Masihi – peperangan antara Mesir dan Israel. Dr. Toha Rayyan, Prof. Syariah Islamiyah di Universiti al Azhar menceritakan bahawa faktor utama kemenangan Mesir pada waktu itu ialah perpaduan umat Islam. Hal ini termasuk tindakan seluruh negara Arab (bukan sahaja Mesir) memboikot negara-negara Barat, menghentikan segala hubungan perdagangan dengan Barat termasuk industri petroleum.
  • Tetapi, itu semua sudah menjadi debu tebal sejarah. Hakikatnya, umat Islam pada waktu ini amat lemah sekali kerana perpecahan dalaman mahupun luaran sedangkan jumlah umat Islam di seluruh dunia pada hari ini bukanlah sedikit. Menurut laporan kajian populasi masyarakat dunia, penduduk Islam dijangka akan bertambah dua kali ganda lebih pantas berbanding penduduk bukan Islam dalam tempoh 20 tahun akan datang.
  • Dari sudut ekonomi pula, negara Islam merupakan negara pengeluar rizab minyak terbesar. Negara-Negara Teluk, termasuk Arab Saudi, Kuwait, UAE, Qatar, Iran dan Iraq mempunyai rizab minyak ratusan ribu bilion tong daripada keseluruhan rizab minyak dunia. Namun, mengapa sumber-sumber ini tidak menjadi senjata strategik untuk menundukkan kebiadaban rejim Zionis Antarabangsa?
  • Jawapannya disebabkan Islam yang menyatukan ummah tidak menjadi ideologi pemimpin Muslim di negara-negara yang berkenaan. Kekayaan tidak menjadi pemacu pembangunan kemandirian masyarakat Islam, sebaliknya menjadi punca tubuh umat Islam diratah rejim musuh dan proksi-proksi mereka. Mazhab dan aliran-aliran pemikiran pula tidak menjadi suatu manhaj yang menyatukan perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w, sebaliknya menjadi dogma pencelaan dan perlekehan antara satu sama lain.
مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
Maksudnya : “Iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” (Ar-Ruum:32)
11
Larangan Mempersenda, Mencela dan Memanggil Panggilan Yang Buruk
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَى أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلا نِسَاء مِّن نِّسَاء عَسَى أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ وَلا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلا تَنَابَزُوا بِالأَلْقَابِ بِئْسَ الاِسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الإِيمَانِ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya : “Wahai orang-orang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; janganlah pula panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruk sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat, maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Al-Hujurat:11)
  • Manusia diberikan kelebihan oleh Allah anugerah ‘lisan’ untuk berbicara dalam pelbagai bahasa dan berkomunikasi sesama mereka. Lisan ibarat pedang bermata dua, ia boleh mencegah kemungkaran di tengah komuniti masyarakat dan ia juga boleh memecah-belahkan kaum Muslimin menurut kehendak syaitan.
  • Di dalam ayat ke-(11) surah al-Hujurat menyenaraikan beberapa bentuk kejahatan lisan, antaranya perbuatan merendah-rendahkan sesama saudara yang terbit atas dasar kesombongan dan keangkuhan. Rasulullah s.a.w bersabda:
الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
Maksudnya : “Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia.” (Riwayat Muslim)
  • Ibnu Asyur menafsirkan bahawa penghinaan dan perlecehan itu terangkum dalam perbuatan sama ada ia dilakukan dengan isyarat bibir, tangan atau kata-kata yang difahami sebagai ejekan atau ancaman. Sabda Rasulullah s.a.w :
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ أَوْحَى إِلَيَّ أَنْ تَوَاضَعُوا حَتَّى لَا يَفْخَرَ أَحَدٌ عَلَى أَحَدٍ
Maksudnya : “Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu merendah diri sehingga tiada yang besikap bongkak, seorang ke atas kamu dan tiada yang bersikap angkuh, seorang ke atas kamu.” (Riwayat Ibnu Majah)
12
Larangan Berburuk Sangka, Mengumpat dan Mengintip Kesalahan Orang Lain
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu dosa; dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu) Bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Al-Hujurat:12)
  • Ayat ini merupakan lanjutan kepada ayat yang lalu. Ibnu al-Munzir meriwayatkan daripada Ibnu Juraij bahawa, “Ayat ini diturunkan berkenaan peristiwa yang menimpa Salman al-Farisi. Suatu ketika Salman tidur lalu berdengkur, lantaran itu seseorang yang mengetahui perihal Salman itu menceritakan keadaan makan dan minumnya di khalayak orang ramai.” (As-Suyuti, “Lubab an-Nuqul fi Asbab an-Nuzul”)
  • Buruknya dosa mengumpat sehingga ia digambarkan seolah-olah memakan daging saudara kita sendiri. Namun, ulama’ fekah membahaskan bahawa hukum mengumpat menjadi harus sekiranya terjadi alasan-alasan sedemikian;
  1. Meminta fatwa, yakni seseorang bertanya tentang hukum dengan menyebut perihal seseorang. Sebagai contoh Hindun bertanya kepada Nabi s.a.w mengenai sikap Abu Sufyan yang kedekut. Lalu bolehkah isteri mengambil wang tanpa pengetahuan suaminya.
  2. Menyebut keburukan seseorang yang memang tidak malu memperlihatkan keburukannya di depan khalayak. Seperti menyebut si fulan adalah pemabuk, kerana memang dia memang kaki botol di hadapan umum masyarakat.
  3. Menyampaikan khabar keburukan seseorang terhadap pihak yang berkuasa dengan tujuan mencegah terjadinya kemungkaran.
  4. Menyampaikan informasi mengenai seseorang kepada pihak yang berhak mengetahui perihal si fulan tersebut, seperti dalam konteks menerima lamaran.
  5. Memperkenalkan seseorang yang tidak dikenali kecuali dengan menyebut aib atau kekurangannya. Contohnya, “Si fulan yang berkerusi roda itu.”
  • Manakala dalam masalah “tajassus” (mengintip), kebenaran yang formal dicari oleh kita tidak sewajarnya sampai ke tahap melampaui batas, para salaf melarang kita menyebarkan informasi dengan hanya cara hipotesis, menduga dan menyangka. Tidak sepatutnya kita mencari-cari kejelekan orang lain untuk dijadikan bahan penghinaan dengan cara menyelongkar perbuatan individu yang telah ditutup oleh Allah daripada pengetahuan kita. Sabda Rasulullah s.a.w;
إِنِّيْ لَمْ أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ النَّاسِ وَلَا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ
Maksudnya : “Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia) ataupun mengorek perut mereka.” (Riwayat Bukhari)
13
Tingginya Nilai Takwa
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya : “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat:13)
  • Islam mengajar umat manusia untuk saling mengenali dan secara jelas menolak rasisme, ta’assub kumpulan, perkauman ataupun sikap assobiyah yang merosakkan. Rasulullah s.a.w telah menunjukkan tauladan kepada umatnya, mempersatukan penduduk Madinah yang berbilang kabilah, bangsa dan agama.  Rasulullah telah membentuk komuniti bersatu ‘Aus dan Khazraj, Muhajirin dan Ansar dalam satu wilayah pemerintahan agar semuanya dapat menjalani kehidupan aman dan damai.
  • Manusia yang menyatakan keunggulan satu ras dan mempercayai bahawa mereka lebih unggul dari bangsa yang lain, mereka sebenarnya telah melupakan satu hakikat penting bahawa tiada satu pun nilai-nilai tersebut bersifat abadi. Setiap manusia yang beriman mahupun kafir, hidup atau mati, akan meninggalkan semua yang dimilikinya di dunia ini. Segala amal usahanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Pada hari itu, tidak seorangpun mampu menolong yang lain, tiada ras dan warna kulit. Allah menggambarkannya dalam sebuah ayat:
فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ فَلا أَنسَابَ بَيْنَهُمْ يَوْمَئِذٍ وَلا يَتَسَاءَلُونَ
Maksudnya : “Apabila sangkakala ditiup maka tiada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak pula mereka saling bertanya.” (Al- Mu`minun:101)
  • Allah turut menjelaskan dalam ayat yang lain bahawa hubungan keakraban dan persaudaraan seharusnya ditegakkan atas dasar takwa dalam firman-Nya;
الأَخِلاَّء يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلاَّ الْمُتَّقِينَ
Maksudnya : “Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Az-Zukhruf:67)
  • Sayyid Qutub menyatakan dalam tafsirnya “Fi Zilal al-Quran”, Takwa adalah kepekaan hati, kehalusan perasaan, rasa khuatir yang terus menerus dan hati-hati terhadap semua larangan-larangan Allah di dalam kehidupan.
14-18
Hakikat Keimanan
قَالَتِ الأَعْرَابُ آمَنَّا قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا وَلَكِن قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ وَإِن تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لا يَلِتْكُم مِّنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya : “Orang-orang Arab Badwi berkata; ‘Kami telah beriman’. Katakanlah (wahai Muhammad); ‘Kamu belum beriman’, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja; ‘Kami telah Islam’. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah Rasul-Nya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat:14)
  • Berkata Ibnu Abbas r.a, ayat ini diturunkan berkenaan perbuatan Arab Badwi dari kabilah Bani Asad. Di peringkat awal mereka masuk Islam, mereka berkata, “Kami telah beriman.” 
  • Mereka juga berkata kepada Rasulullah s.a.w, “Orang-orang Arab memerangimu (wahai Muhammad), sedangkan kami tidak memerangimu.” (Mukhtasar Ibnu Kathir)
  • Mereka berkata demikian kerana mengira bahawa keIslaman mereka merupakan jasa dan bakti yang besar di sisi Rasulullah s.a.w, dan seharusnya baginda terhutang budi terhadap perbuatan mereka. Lalu Allah menurunkan ayat ini bagi meluruskan hakikat sebenar martabat keimanan di sisi-Nya. Firman Allah Taala:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Al-Hujurat:15)
  • Dalam ayat ke (15) di atas, Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni dalam tafsirnya “Sofwatu at-Tafasir”menyatakan bahawa ada tiga ciri utama umat beriman, iaitu;
1-    Membenarkan Allah dan Rasul-Nya. (  إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ )
2-    Tidak syak dan ragu. (ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا  )
3-    Berjihad dengan harta dan diri. ( وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ )
  • Sementara itu Sayyid Qutb menerangkan hakikat iman melalui tafsiran ayat ini bahawa sebenarnya kitalah yang perlu bersyukur atas nikmat-nikmat iman yang dikurniakan oleh Allah, kerana Dia-lah yang melimpahkan hidayah kepada kita dengan menunjukkan jalan keimanan. Firman Allah Taala;
قُلْ أَتُعَلِّمُونَ اللَّهَ بِدِينِكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya : “Katakanlah (kepada orang-orang Arab Badwi itu wahai Muhammad); ‘Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang agama kamu (dengan berkata; ‘kami telah beriman’)? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Al-Hujurat:16)
يَمُنُّونَ عَلَيْكَ أَنْ أَسْلَمُوا قُل لّا تَمُنُّوا عَلَيَّ إِسْلامَكُم بَلِ اللَّهُ يَمُنُّ عَلَيْكُمْ أَنْ هَدَاكُمْ لِلإِيمَانِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Maksudnya : “Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka); ‘Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budi-Nya kepada kamu, kerana Dia-lah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”(Al-Hujurat:17)
إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.” (Al-Hujurat:18)
  • Surah ini ditutup dengan pernyataan bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat apa yang ghaib di langit dan di bumi, bererti Dia (Allah) mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati dan mengetahui hakikat perasaan. Pengetahuan Allah terhadap manusia tidak bersumber kata-kata yang dilontarkan oleh lidah mereka. Tetapi, dari perasaan yang terbit halus dalam kalbu mereka. Ini merupakan peringatan yang cukup jelas agar kaum Muslimin tidak mendahului Allah dan Rasul-Nya sebagaimana pesanan pertama surah ini.
Referensi :
  • Sayyid Qutb, “Tafsir Fi Zilal al-Quran” 
  • Imam al-Hafiz Imaduddin Ibnu Kathir, “Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir” 
  • Tuan Guru Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang, “Tafsir Surah Al Hujurat”

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysi

No comments:

Post a Comment