Friday, 9 June 2017

Krisis Qatar Dan Negara Teluk: Topeng Yang Terdedah


Artikel

Dunia Islam dikejutkan dengan keputusan empat buah negara Teluk Arab iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir untuk memutuskan hubungan dengan Qatar atas alasan negara teluk kecil ini masuk campur dalam urusan dalaman dan menyokong gerakan keganasan. Ini diikuti pula oleh Libya Timur, Yaman dan Maldive yang mengambil keputusan sama.

Keputusan yang agak mengejutkan ini diambil selepas 17 hari lawatan Donald Trump ke Arab Saudi dan Israel. Lawatan yang membuka lembaran baru hubungan Israel dan negara-negara Arab. Dalam artikel saya sebelum ini yang bertajuk, "Lawatan Trump : Yang Tersurat dan Tersirat" ada mengulas matlamat utama lawatan ini tidak lain dan tidak bukan melainkan untuk memastikan keselamatan Israel terjamin di rantau Asia Barat. Ia agak mengejutkan dengan perkembangan baru yang sedang berlaku seolah-olah ianya membenarkan teori untuk mewujudkan pakatan NATO negara-negara Arab dengan menyisihkan mana-mana negara yang mengancamnya.  




Strategi Pengukuhan Israel

Perkembangan baru yang sedang berlaku ini perlu dilihat dengan pandangan yang luas dan menyeluruh. Ia bukan sahaja melibatkan perbalahan antara negara-negara Teluk Arab bahkan lebih daripada itu, ia satu 'grand design' yang sedang berlaku bagi memetakan semula Dunia Islam untuk kepentingan Zionis-Freemason.

Perancangan untuk memecah belahkan Dunia Islam bukan satu rahsia lagi. Setelah kejayaan kuasa barat yang berpaksikan Zionis-Freemason memecah belahkan Dunia Islam era Perang Dunia Pertama dan Kedua melalui perjanjian-perjanjian jahat Sykes-Picot dan Balfour. Hasilnya Dunia Islam umumnya dan Asia Barat khususnya berpecah kepada berpuluh-puluh buah negara. Palestin diserahkan kepada British yang berakhir dengan penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948.

Fasa kedua pula ialah mengukuh kedudukan Israel dan mengekang negara-negara yang menyokong perjuangan umat Islam untuk membebaskan Palestin. Ini berlaku selepas termeterainya perjanjian Camp David, Madrid dan Oslo antara Israel dan pihak-pihak yang bertelagah dengannya.

Perjanjian Camp David pada tahun 1978 antara Mesir dan Israel menyaksikan keselamatan Israel terjamin setelah kekalahannya dalam perang dengan Mesir pada tahun 1973. Permusuhan antara kedua-dua negara ini berjaya dilunakkan. Perjanjian Madrid pada tahun 1991 pula meluaskan lagi keselamatan Israel dari sudut luaran. Jika perjanjian Camp David hanya melibatkan negara Mesir sahaja, adapun perjanjian Madrid melibatkan negara-negara Arab lain kecuali Syria dan Libya. Perjanjian ini kononnya untuk mewujudkan keamanan di rantau Asia Barat setelah kekalutan serangan Iraq pimpinan Saddam Hussein ke atas Kuwait dan seterusnya menyerang Israel dengan slogan Pembebasan Palestin. Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya bertindak cepat dengan menyekat Saddam Hussein dan menaja perjanjian Madrid yang bertujuan menjamin keselamatan Israel agar ancaman seperti Iraq tidak akan berulang pada masa akan datang daripada negara-negara arab lain. Perjanjian Oslo pada tahun 1993 pula menyaksikan Israel mengukuhkan cengkamannya dari sudut dalaman dengan menundukkan PLO pimpinan Yaseer Arafat. Ia secara tidak langsung satu pengiktirafan kepada negara haram Israel daripada pihak penentangnya dari kalangan nasionalis Arab. 

Gangguan Arab Spring

Dalam tempoh ini, Israel berada dalam keadaan tenang kecuali ancaman gerakan militan Islam; HAMAS, Jihad Islami dan Hizbullah. Israel terus membina kekuatannya dengan bergaya. Tidak perlu takut lagi kepada negara-negara di kelilingnya, semuanya sudah berjaya dijinakkan melalui khadamnya Amerika Syarikat. Akan tetapi suasana tenang ini terganggu dengan berlakunya gelora Arab Spring yang menyaksikan kejatuhan regim Arab yang memerintah dengan kuku besi. Kejatuhan regim Hosni Mubarak di Mesir amat dirasai, apatah lagi yang menggantinya ialah Mohamed Morsi, pimpinan Ikhwan Muslimin yang menjadi pencetus kepada penubuhan HAMAS dan Jihad Islami.

Pasca Arab Spring memecahkan Dunia Arab kepada dua blok, pendokong dan penentang. Pendokong utama ialah Qatar yang menunjukkan secara terang-terangan sokongannya kepada Presiden Mesir, Mohamed Morsi. Adapun penentangnya ialah Arab Saudi dan UAE yang membelanjakan ratusan juta dollar bagi menjatuhkan Morsi dan mengekang Arab Spring supaya tidak berkembang ke negara-negara Teluk. Natijahnya Arab Spring tidak mengeluarkan bunga dan buah yang bermanfaat, akan tetapi menjadi sungai-sungai darah yang membasahi bumi Libya, Mesir, Yaman, Iraq dan Syria.

Topeng yang Terdedah

Tindakan yang dikenakan ke atas Qatar disusuli dengan pendedahan yang mengaitkan hubungan UAE dengan gerakan Zionis-Freemason. Sekumpulan penggodam dari Rusia berjaya memintas e-mel dari Yousef Al-Otaiba, duta UAE ke AS yang mengandungi hubungan intim beliau dengan badan pemikir yang mendokong Zionis-Freemason, Foundation for Defense of Democracies (FDD). Pendedahan dokumen sebanyak 55 muka surat ini antara lain menyebut penglibatan UAE terhadap cubaan rampasan kuasa di Turki. Dalam e-mel yang diutuskan oleh penasihat FDD, John Hanna kepada Al-Otaiba pada 16 Ogos 2016, beliau menyebut: “Saya kepilkan di sini satu artikel daripada akhbar Turki yang menyatakan kami daripada (FDD) bersama-sama dengan UAE dan lain-lain lagi merancang bagi rampasan kuasa di Turki”.

Dalam e-mel lain pula mendedahkan desakan Al-Otaiba supaya AS menyekat saluran persenjataan kepada Mesir di era Mohamed Morsi menjadi presiden dengan alasan keselamatan. Ini diikuti pula dengan pendedahan hubungan intim antara Al-Otaiba dan bekas Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates. Beberapa hari sebelum pendedahan ini, Robert Gates dilaporkan mengeluarkan kenyataan dalam satu majlis anjuran FDD mengecam polisi luar Qatar. Seterusnya pendedahan pakatan antara AS dan UAE untuk menggagalkan muktamar HAMAS di Doha.

Pendedahan ini membuktikan pelakon-pelakon sebenar di sebalik wayang-wayang yang sedang dimainkan. Wayang rampasan kuasa di Mesir dan Turki. Wayang Al-Qaeda dan ISIS. Wayang serangan ke atas gerakan Islam sederhana dan wayang-wayang lain yang sedang dan akan dilakarkan. Bak kata pepatah; bangkai gajah manakan dapat disorokkan.

Qatar: Apakah Seterusnya?

Qatar walaupun sebuah negara kecil tetapi perlu diakui peranannya dalam mengekang kekuasaan Zionis-Freemason di Asia Barat dengan kelicikannya berpolitik. Ini menyebabkannya menjadi duri dalam daging kepada negara-negara Arab lain. Qatar menyokong HAMAS dalam masa yang sama membenarkan AS membina pengkalan tentera di buminya untuk melancarkan serangan ke atas puak Al-Houthi dan Al-Qaeda di Yaman. Di samping kelunakannya dalam hubungan dengan Iran yang menjadi seteru utama kepada negara-negara Arab Teluk. Justeru tidak syak lagi ia menjadi sasaran utama dalam kemelut yang sedang berlaku ini.

Babak yang sedang berlaku ini memberikan Qatar dua pilihan; samada mengikut kehendak pendesaknya atau berdepan dengan ‘rampasan’ kuasa secara bersistematik. Sehingga ada penganalisa politik tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa secara kekerasan dikenakan ke atas Qatar bagi mencabut duri dalam daging ini. 

Hari ini Emir Qatar, Syeikh Tamim bin Hamd Al-Thani mengadakan lawatan rasmi ke Kuwait yang dilihat oleh penganalisa sebagai usaha untuk memulihkan hubungan dengan Saudi Arabia dan UAE. Sebagai rujukan, sebelum ini Kuwait pernah menjadi orang tengah memulihkan hubungan antara Qatar dan negara-negara Teluk dalam krisis diplomasi pada tahun 2014.

Episod yang sedang berlaku ini natijah akhirnya ialah perpecahan sesama umat Islam dan mengukuhkan penguasaan Israel ke atas bumi Palestin. Alangkah baik jika kesatuan umat Islam dieratkan dan masing-masing meletakkan matlamat kepentingan ummah di hadapan. Akan tetapi, ia bukan satu perkara yang mudah. Kehidupan ini adalah ujian, yang meletakkan umat Islam samada berada dalam kubu kebenaran atau kubu kebatilan. 

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS 2017/19
9 Ramadhan 1438/6 Jun 2017

No comments:

Post a Comment