Monday, 10 October 2016

Yahudi berpuasa tetapi tolak hukum jenayah Islam





PERISTIWA Asyura (10 Muharram) mengingatkan kita tentang selamatnya Nabi Musa dan Bani Israel daripada Firaun, kaum dan kezalimannya, serta tenggelamnya Firaun dan bala tenteranya di dalam laut yang menandakan berakhirnya sebuah pemerintahan yang zalim.

Ini ditunjukkan oleh  orang Yahudi di Yathrib yang berpuasa pada 10 Muharram. Nabi SAW bertanya mereka tentang puasa tersebut. Lantas mereka beritahu bahawa pada 10 Muharram itulah Musa diselamatkan dan Firaun tenggelam, lalu mereka berpuasa sebagai tanda syukur. Nabi SAW menyebut bahawa ‘kami lebih berhak dengan Musa daripada kamu’. Nabi perintah para Sahabat berpuasa 9 Muharram dan 10 Muharram supaya tidak sama dengan Yahudi.



Peristiwa di atas memberi pengajaran kepada kita dalam beberapa perkara:

1.Nabi dan umatnya lebih berhak dengan Nabi Musa daripada orang Yahudi.

2.Orang Yahudi sedia berpuasa tetapi tidak bersedia menerima ajaran Taurat yang lain seperti hukum jenayah, bahkan mereka telah mengubah hukum-hukum di dalam Taurat tersebut. Perkara ini hampir sama dengan masyarakat kita yang bersedia untuk berpuasa tetapi tidak bersedia menerima hukum jenayah yang ada di dalam al Quran.

3.Dalam ibadat berpuasa pun, Nabi SAW perintahkan kita supaya tidak sama dengan Yahudi, maka apatah lagi dalam perkara kehidupan yang lain.

4.Nabi Musa dan Bani Israel selamat daripada Firaun, bala tentera dan kezalimannya. Kezaliman Firaun sampai kepada kemuncak apabila mengaku dirinya Tuhan dan menzalimi Bani Israel.

Zalim banyak tahap. Paling tinggi syirik kepada Allah. Allah sebut: ‘Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman paling besar.” Syirik pula ada yang terang seperti menyembah berhala. Ada pula yang tersembunyi seperti ria’ (ibadat untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain).

Ada juga syirik yang berbentuk mengadakan hukum selain hukum Allah. Yahudi banyak mengubah hukum dalam Taurat, termasuk hukum terhadap penjenayah zina. Barangkali ada umat Islam yang berpuasa Tasua dan Asyura, hari ini dan esok tetapi kuat pula menentang usul pindaan RUU 355. Yang tak puasa langsung, lagi kuat menentang.

Zalim juga berlaku dalam bentuk sistem pemerintahan, politik, ekonomi dan lain-lain. Pada zaman Firaun, tenaga dan keringat diperas daripada Bani Israel. Yang ada harta tetapi tiada tenaga, dipaksa bayar cukai kepada Firaun. Kekayaaan, emas, perak sangat mewah, tetapi bukan untuk rakyat. Piramid yang hebat bukan untuk rakyat tetapi untuk makam seorang raja.

Inilah peninggalan sistem Firaun yang diwarisi. Justeru, Asyura bukan sahaja untuk berpuasa sunat atau mengacau bubur asyura, tetapi ia juga mengingatkan kita bahawa sebenarnya selamat daripada sistem zalim dan pemerintahan yang zalim itu adalah nikmat yang besar. –HARAKAHDAILY 10/10/2016

Penulis adalah Timbalan 1, Jabatan Perhubungan Awam, IT Dan Media Baharu, Dewan Ulama PAS Pusat dan Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulama PAS Terengganu

No comments:

Post a Comment