Friday, 14 October 2016

AL-KAFI #397: HUKUM MENJUAL PRODUK YANG DIRUQYAH DENGAN ALATAN ELEKTRONIK

Hukum jual produk diruqyah dengan alatan elektronik

http://muftiwp.gov.my/ | .



AL-KAFI LI AL-FATAWI: SOALAN 397 (28 SEPTEMBER 2016M / 26 ZULHIJJAH 1437H)
SOALAN:

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum menjual produk yang diiklankan bahawa dirukyah tetapi bacaan itu dibuat secara bacaan elektronik menerusi pemain audio dan sebagainya. Terima kasih.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Perbuatan menjual produk-produk ruqyah atau jampi meskipun menggunakan ayat suci al-Quran dan doa-doa yang baik maksudnya, boleh membuka kepada pintu fitnah. Justeru, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Malaysia Kali Ke-108 yang bersidang pada 2-3 November 2015 telah membincangkan mengenai Hukum Penjualan Produk Menggunakan Ayat Ruqyah (Ayat Al-Quran) Untuk Tujuan Komersial.

Muzakarah berkenaan telah membuat keputusan seperti berikut:

1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam tidak menafikan penggunaan ruqyah dan Rasulullah S.A.W. menyebutkan bahawa sebaik-baik ubat ialah ayat-ayat Al-Quran dan Baginda membolehkan untuk meruqyah selama mana tidak berlaku syirik.



2. Berdasarkan dapatan kajian yang dikemukakan, Muzakarah mendapati bahawa isu produk yang dilabelkan sebagai ‘makanan sunnah’ dan makanan/minuman yang diruqyahkan dengan ayat Al- Quran serta zikir semakin berleluasa dan menjadi pelan pemasaran pengusaha produk-produk makanan dan barangan di Negara ini. Ia telah menjadi kaedah untuk melariskan produk bersandarkan perkataan ‘makanan sunnah’ dan ruqyah.

3. Sehubungan itu, sebagai Sadd az-Zarai’ kepada unsur-unsur penipuan dan penyalahgunaan ayat-ayat Al-Quran untuk tujuan komersial, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan ruqyah dan istilah ‘makanan sunnah’ secara tidak bertanggungjawab untuk tujuan mengaut keuntungan dan melariskan produk perlu dihentikan kerana dibimbangi ia termasuk dalam perbuatan memperdagangkan ayat-ayat Al-Quran yang ditegah oleh ajaran Islam.

4. Oleh hal yang demikian, Muzakarah menggesa supaya perbuatan tersebut ditangani segera supaya istilah ‘makanan sunnah’ ini tidak difahami oleh masyarakat dalam konteks yang tidak tepat, dan penggunaan ruqyah tidak disalahgunakan sehingga menggugat akidah sekiranya masyarakat meyakini keberkesanan ruqyah pada sesuatu produk tersebut mengatasi usaha dan ikhtiar serta kekuasaan Allah S.W.T.

5. Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya penggunaan ruqyah pada sesuatu produk untuk tujuan komersial tidak dibenarkan sama ada untuk tujuan pelabelan, pengiklanan atau promosi.

Kami bersetuju dengan keputusan tersebut dan menyeru orang ramai agar tidak memasarkan produk yang diruqyah, sama ada dijampi secara lisan mahupun secara elektronik, agar tidak mendatangkan fitnah kepada agama. Semoga kita menjadi orang yang berniaga mengikut apa yang diajar Rasulullah dan Syariat Islam dengan menjarakkan diri daripada unsur gharar supaya Allah memberkati perniagaan kita.

Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment